Roh (2020) – Filem Seram Malaysia Yang Menarik Perhatian Antarabangsa [Review]

Filem Roh telah diterbitkan dan ditayangkan di Malaysia tahun lepas. Namun, dalam kecelaruan dengan pembukaan panggung wayang selepas tamat PKP 1.0, admin tidak sempat menontonnya di pawagam. Walaubagaimanapun, mulai 1 Jun lalu, filam ini telah mula ditayangkan di Netflix dan Disney+ Hotstar. Admin sempat menonton filem ini di Netflix dan berikut pendapat admin mengenainya.

Roh

Roh (2020) – Filem Seram Malaysia Yang Menarik Perhatian Antarabangsa [Review]

Roh mengisahkan satu keluarga ibu tunggal dan dua anak yang tinggal terasing di dalam hutan yang didatangi seorang budak perempuan pelik yang mengikut anak-anak tersebut pulang dari mengutip kayu di hutan. Ibunya pun mengajak budak perempuan itu masuk kerana menyangka dia telah sesat di hutan memandangkan dirinya tidak terurus. Sejak itu, banyak perkara anih telah mula berlaku.

Siapakah budak perempuan itu dan apakah motifnya datang kepada keluarga tersebut? Tontonlah filem ini di Netflix atau Disney+ Hotstar untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Admin rasa tentu ada di antara anda telahpun menonton filem Roh ini dan sejak ditayangkan di pawagam, ia telah mula menarik minat dunia luar setelah dipilih FINAS untuk mewakili Malaysia bertanding di beberapa anugerah filem luar negara. Walaupun tidak berjaya ke Oscars, ia telah menarik perhatian penonton di luar negara. Satu artikel Al-Jazeera mengatakan ia disebabkan penonton luar negara telah mula bosan dengan klise filem seram Holywood dan mula mencari sesuatu yang baru. Filem seram Asia tenggara menjadi perhatian kerana ia secara reletifnya belum dikenali luar dan penonton luar berasa ingin tahu mengenai filem-filem seram dari  Asia Tenggara.

Pandangan pertama apabila menonton filem Roh, penonton akan mendapati sinematografi dalam filem ini diberi penekanan yang khusus. Sudut kamera, komposisi dan gred warna dibuat sehabis baik oleh krew produksi. Agak mengejutkan untuk mengetahui bahawa keseluruhan filem ini dirakam hanya dalam 2 minggu di sebuah lokasi di kawasan hutan di Sepang dengan bajet sekitar RM360,000 sahaja. Pendek kata dari segi sinematografi, filem ini memang tidak dibikin dengan sambil lewa.

Roh

Walaubagaimanapun, perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk jalan ceritanya. Walaupun admin memuji filem ini kerana menampilkan satu format filem seram yang lain dari lain dan tidak menggunakan taktik kejutan dalam menyampaikan babak seramnya, penyampaian poin-poin ceritanya, admin masiih tertanya-tanya tentang beberapa perkara kerana filem ini tidak berjaya menerangkan dengan jelas jalan ceritanya. Kalau hendak dikira, admin memahami 85% sahaja jalan ceritanya dan masih ada sebahagian kecil jalan ceritanya yang admin kurang faham.

Bagi memberi gambaran kepada anda, filem ini bukan seperti filem seram biasa, ia lebih seperti filem indie di mana aspek artisitik lebih diberi penekanan berbanding nilai komersial. Hasilnya filem ini dipenuhi syot-syot artistik dan jalan cerita yang perlahan dan memerlukan penghayatan. Admin rasakan peminat-peminat filem seram arus perdana mungkin tidak berapa suka filem sebegini.

Roh

Tetapi, itu tidak bermakna filem ini tidak menarik. Malah admin merasakan filem ini adalah satu revolusi dalam filem seram tempatan. Admin sukakan filem ini, cuma admin berasa jika penonton barat yang tidak mengetahui latarbelakang Malaysia (Melayu), mereka mungkin tidak memahami filem ini sepenuhnya.

Apapun, pujian juga harus diberikan kepada para pelakon, terutamanya pelakon cilik yang memainkan watak masing-masing dengan baik sekali. Akhir kata, tontonlah filem ini jika anda peminat filem-filem seram dan inginkan sedikit kelainan yang sukar dijangka kesudahannya.

Roh

Positif vs Negatif

Positif

  • Satu tema baru dalam filem seram Malaysia
  • Sinematografi yang berkualiti
  • Jalan cerita yang sukar dijangka

Negatif

  • Jalan cerita yang perlahan
  • Jika anda bukan orang Malaysia, mungkin sukar untuk memahami filem ini.

Roh

Penilaian

Jalan cerita – 8/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10

Nilai hiburan – 8/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10

Netflix

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *