Admin telah lama perhati filem Wild Robot ditayangkan di pawagam, tetapi tidak berkesempatan untuk menontonnya. Tetapi baru-baru ini ia telah mula ditayangkan di saluran MAX di Astro dan admin telah dapat menontonnya tempoh hari.

[Review] Wild Robot
Wild Robot mengisahkan sebuah robot model ROZZUM Unit 7134 atau ROZ telah tercicir dari kapal kargo dan terdampar di sebuah pulau. Robot itu kemudiannya dihidupkan dan mula mencari pemilik atau orang yang sudi memberi tugasan ataupun meminta pertolongan darinya. Namun pulau itu hanya didiami haiwan liar, jadi tiada siapa yang faham percakapannya. Tetapi, lama kelamaan dia mempelajari bahasa haiwan dan mula berinteraksi dengan mereka. Malangnya, tanpa sengaja beliau telah terjatuh ke atas satu sarang angsa dan menyebabkan telur-telurnya pecah kecuali satu. Beliau pun mengambil keputusan untuk menjaga telur tersebut dari pemangsa terutamanya Fink, seekor musang yang licik.

Tanpa diduga, telur itu menetas dan muncul lah seekor anak angsa yang sedikit terbantut yang menyangka ROZ adalah ibunya. Setelah “menerima” tugasan untuk menjaga anak angsa itu, dan menamakannya Brightbill. Kini tugasnya ialah melatih Brightbill untuk terbang sebelum musim penghijrahan pada musim salji. Berjayakah beliau dalam tugasannya? Tontonlah filem ini di MAX untuk mengetahui kesudahannya.

Review Wild Robot
Banyak perkara positif mengenai filem animasi ini yang menarik minat admin menontonnya sehingga akhir. Paling utama adalah nilai moral yang diketengahkannya iaitu pertama, bertanggungjawab dengan kesalahan yang dilakukan. ROZ menerima misi untuk menjaga Brightbill walaupun tidak mengetahui langsung cara menjaga seekor angsa, namun beliau tetap belajar. Kemudian, jangan beputus asa. Walaupun Brightbill dilahirkan dengan kekurangan, dia tidak berputus asa. Ketiga, filem ini mengajar cara hidup bermasyarakat. Walaupun semua haiwan memandang serong ROZ, namun pada akhirnya mereka tetap saling bekerjasama dalam keadaan sukar dan untuk menentang penceroboh.
Pelbagai rintangan dilalui ROZ dalam mengajar Birightbill untuk terbang. Semuanya menginspirasikan. Mutu animasi dan rekaan watak-watak dalam filem ini juga dibuat dengan baik dan penuh karakter. Muzik latarbelakang juga dibuat dengan begitu berkesan sekali, menaikkan lagi perasaan yang hendak diketengahkan dalam satu-satu babak itu. Akhir sekali, kesudahan filem ini juga tidak begitu idealistik dan juga tidak begitu pesimistik. Ia realistik.

Kesimpulan
Kekuatan filem Wild Robot terletak pada mutu animasi dan cara penceritaanya yang tenang dan tidak terlalu try hard. Nilai-nilai moral yang diketengahkan juga baik dan cara penyampaian yang penuh dengan lawak jenaka bersahaja menarik minat sesiapa sahaja untuk menonton hingga ke akhirnya.







