Review: Dont Breath 1 & 2 (Netflix)
Genre: Seram, thriller
Sesuai untuk: penggemar filem seram 18 tahun ke atas (Banyak adegan ganas).
Siri filem Dont Breath 1 & 2 baru sahaja dimasukkan ke dalam pustaka Netflix baru-baru ini. Admin telah menonton Dont Breath 1 tidak lama dahulu tetapi tidak membuat review manakala terlepas tayangan Dont Breath 2 di pawagam tidak lama dahulu. Kini ia telah memasuki Netflix, jadi admin terfikir lebih baik review kedua-dua filem dalam siri filem ini untuk impak yang lebih baik.
Sinopsis Dont Breath 1 & 2
Dalam Dont Breath 1, rumah “The Blind Man” lakonan Stephan Lang, dicerobohi 3 sekawan (2 lelaki 1 perempuan) yang mensasarkan untuk mencuri wang milik bekas Navy Seals yang sudah 90% buta itu. Malangnya, apa yang mereka anggap kerja mudah, rupanya menjadi pertarungan hidup mati apabila didapati The Blind Man jauh lebih handal dari jangkaan mereka. Tambahan pula, beliau mempunyai satu rahsia yang tidak dijangka.
Dont Breath 2 pula adalah sambungan kepada filem pertama di mana The Blind Man menjaga seorang budak perempuan sekitar 11/12 tahun yang melarikan diri dari kebakaran rumah di kawasan perumahannya. Beliau menjaganya seperti anak sendiri dan menamakannya Phoenix . 8 tahun kemudian, bapa budak perempuan terserempak dengannya dan mengekorinya pulang ke rumah. Beliau dan konco-konconya bukan orang yang baik-baik, serta bercadang untuk merampas semula Phoenix dari The Blind Man. Namun kisahnya tidak tamat begitu sahaja.
Tontonlah kedua-dua filem ini untuk mengetahui keseluruhan kisah The Blind Man.
Review
Secara umumnya kedua-dua filem Dont Breath ini merupakan filem seram pop corn. Maksudnya filem ini dibikin hanya untuk hiburan semata-mata. Jalan ceritanya OK sahaja, manakala tumpuan diberikan kepada aspek suspens dan keganasan visualnya. Jika anda gemarkan babak-babak suspens yang membuatkan nadi anda turun naik, filem-filem ini sesuai untuk hiburan anda. Namun ia tidak akan dicalonkan dalam mana-mana anugerah Oscar.
Menariknya, perwatakan The Blind Man dalam kedua-dua filem ini berbeza sama sekali di mana dalam filem pertama, beliau lebih dilihat sebagai antagonis, manakala dalam filem kedua beliau lebih kepada seorang anti-hero. Samada beliau jahat atau baik, terpulang kepada interpretasi anda sendiri. Filem-filem ini sememangnya kabur mengenai siapa baik dan siapa jahat.
Kedua-dua filem ini menampilkan satu plot twist di pertengahanya, tetapi plot twist dalam filem pertama lebih tidak dijangkan berbanding filem kedua. Walaupun jalan ceritanya agak ringkas, tetapi ia cukup menghiburkan untuk mengekalkan minat penonton untuk menonton hingga ke akhir. Admin lebih gemar filem pertama, namun filem kedua umpama satu usaha The Blind Man menebus semula kesalahan lampaunya.
Harus diberi amaran juga filem ini menampilkan aksi ganas yang kurang sesuai untuk golongan bawah 18 tahun. Kalau mereka meniru aksi-aksi yang ada dalam filem ini akan mendatangkan masalah kepada keluarga anda.
Sejujurnya admin mencadangkan anda menonton filem-filem ini berturut-turut memandangkan kedua-duanya berdurasi sekitar 1 jam setengah sahaja. Tambahan pula, filem ini hanya filem thriller ringan sahaja yang menumpukan kepada babak-babak suspens untuk hiburan mereka yang meminati filem sebegini. Sediakan pop corn secukupnya.