Review: Fantastic Beasts The Secrets of Dumbledore
Genre: Fantasi Adventure
Sesuai untuk: Semua lapisan masyarakat terutamanya peminat Harry Potter.
Sinopsis Fantastic Beasts The Secrets of Dumbledore
Fantastic Beasts The Secrets of Dumbledore menyambung kisah Fantastic Beasts Crimes of Grindelwald di mana dalam filem ini Grindelwald ingin menguasai dunia wizard dengan pelan memenangi pilihan raya ketua tertinggi organisasi wizard sedunia menggunakan helah jahat.
Dumbledore dan pasukannya bertanggungjawab untuk menghentikan segala muslihat beliau. Dapatkah Grindelwald dihentikan? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Sejujurnya admin bukanlah peminat filem-filem fantasi seperti Harry Potter dan Fantastic Beasts, tetapi admin masih boleh menonton filem genre ini kalau diberi peluang. Fantastic Beasts The Secrets of Dumbledore menerima beberapa kritikan di luar negara, namun admin tidak membaca komen tersebut sebelum menonton filem ini supaya pandangan admin tidak terganggu pendapat luar negara.
Walaubagaimanapun, itu tidak dapat menyelamatkan filem ini pada pandangan admin. Walaupun secara umumnya jalan cerita filem ini mudah difahami, namun ia kurang menarik dan meleret-leret. Terdapat banyak bahagian dalam filem ini di mana admin tertidur kerana jalan cerita yang mendatar dan babak aksi yang kurang menarik.
Selain itu terdapat banyak kepelikan dalam filem ini yang menjatuhkannya. Antaranya terdapat beberapa watak contohnya Yusuf Kama yang seolah-olah tiada peranan dalam filem ini kerana tidak memberi impak dalam jalan cerita filem ini. Credence yang admin sangkakan akan menjadi watak penting, hanya memainkan watak sampingan dalam filem ini. Walaupun berperanan dalam filem ini, watak beliau tidak menonjol sangat.
Mutu lakonan admin tiada rungutan, malah Mads Mikelsen yang menggantikan Johnny Depp juga melakonkan watak Grindelwald dengan cukup baik. Tetapi lakonan sehebat mana pun tidak dapat menyelamatkan filem ini dari jalan cerita yang tidak menarik.
CGI dan kesan khas pula boleh tahan, cuma dalam babak perlawanan antara wizard, tidak banyak magik yang epik digunakan, sebaliknya magic wand digunakan seperti pistol laser. Begitulah kebanyakan babak-babak aksi dalam filem ini.
Admin rasa, jika anda peminat siri filem Fantastic Beast dan meletakkan harapan tinggi pada filem ini, anda tentu akan kecewa, melainkan anda peminat fanatik dan tidak kisah “sedikit” cacat cela padanya. Namun, bagi admin, ia sebuah filem yang mudah untuk dilupakan dan tidak membangkitkan rasa untuk menonton semula filem dalam siri sebelumnya.