Mimaland – Satu Lagi Filem Seram Clickbait[Review]

mimalandSepertimana kami katakan dalam review sebelum ini, kami memang teringin untuk menonton filem Mimaland di pawagam. Seperti umum ketahui, Mimaland sememangnya satu taman tema yang meninggalkan kisah lagenda dan kami mengharapkan filem ini akan merungkai kisah di sebalik taman tema tersebut. Kebetulan pula hari Selasa setiap minggu merupakan hari TGV Cinemas mempunyai promosi khas di mana semua tiket wayang dijual pada harga RM9 sepanjang hari. Kami menggunakan peluang ini untuk menonton filem ini yang kami tidak pasti bagus atau tidak.

 

Mimaland – Satu Lagi Filem Seram Clickbait [Review]

Filem Mimaland mengisahkan Ariel lakonan Fatah Amin dan krew rakamannya yang berjaya mendapat bajet untuk merakamkan dokumentari yang mereka rancang di Mimaland. Tetapi penaja mereka mempunyai idea berbeza dan ingin membuat rancangan berkonsepkan cabaran dengan menyertakan watak dari Korea.

Sejak mereka menjejakkan kaki ke Mimaland, perkara-perkara pelik mula berlaku kepada setiap anggota krew mereka. Tontonlah filem ini untuk menyaksikan apa yang berlaku kepada mereka dalam filem ini.

mimaland

Review

Mula-mula sekali kami ingin menyatakan kami memahami bahawa merakamkan sebuah filem seram di kawasan yang “keras” sememangnya sebuah pengalaman yang sukar. Kami mendengar bahawa ada beberapa anggota krew rakaman filem ini telah mengalami kerasukkan  semasa merakamkan filem ini. Kami juga menyedari bahawa mungkin disebabkan perkara ini, lokasi rakaman tidak semuanya tertumpu di tapak asal Mimaland dan ada juga babak-babak yang dirakam di tempat yang kami percayai di Cameron Highlands atau Frasers Hill (kami tidak pasti).

Berbalik kepada review. Sejujurnya, dari awal lagi filem ini sudah menampakkan kegagalannya. Dari intro Gangnam Style di hadapan pintu masuk Mimaland, kami dah rasakan aura kegagalannya. Rakaman pasukan Ariel juga bukan satu hari sahaja, tetapi mengambil masa beberapa hari. Anehnya, memandangkan perkara-perkara yang pelik yang berlaku pada hari pertama, mereka tetap mahu teruskan rakaman rancangan mereka.

Apa yang lebih aneh ialah watak penaja mereka yang muncul di awal filem ini, tiba-tiba hilang dari ingatan krew rakaman.Kami tak perasan pula, penaja tersebut meminta untuk membatalkan rakaman kerana di pertengahan filem krew Ariel tiba-tiba sudah tidak fikir mengenai merakamkan sebuah rancangan TV. Dengan kata lain, idea bahawa krew ini sedang merakamkan sebuah rancangan TV telah hilang di pertengahan filem ini dan bertukar menjadi pengembaraan berpaksikan peribadi. Apa yang kami mahu menyimpulkan di sini adalah jalan cerita filem ini agak berterabur dan pengolahannya kelam-kabut. Adakah ia disebabkan kejadian rasukkan di kalangan krew rakaman sehingga jalan ceritanya terpaksa diubah secara ad-hoc?

Sunggupun demikian, secara keseluruhannya, jika and menonton dengan sepenuh perhatian, jalan cerita sebenarnya boleh difahami. Sejujurnya, plot dan jalan ceritanya boleh tahan juga, malah lebih baik dari filem seram seperti siri filem Jangan Pandang Belakang. Cuma pengolahannya kelam-kabut menjadikan penonton keliru dan tidak menyerlahkan potensi maksimanya. Satu perkara penting juga ialah filem ini BUKAN mengenai Mimaland, sebaliknya Mimaland hanya dijadikan tema yang digunakan untuk menarik penonton seperti kami. Dalam bahasa media sosial, ia adalah clickbait. Jadi sesiapa yang mengharapkan filem berkisah mengenai Mimaland akan hampa.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan ceritanya sebenarnya OK, cuma diolah dengan kelam kabut.
  • Ada banyak syot yang berkualiti dan cantik.

Negatif

  • Pengolahan yang kelam-kabut dan tidak koheren
  • Watak-watak “Korea” yang sebenarnya tidak berapa perlu
  • Lebih bergantung kepada elemen terkejut dan bunyi yang menjengkelkan untuk membuatkan penonton terkejut
  • Secara umumnya, ia lebih sesuai untuk telemovie berbanding wayang

Kesimpulan

Secara umumnya kami tidak merekomen filem ini kepada anda. Namun, jika anda tetap mahu menontonnya, separuh pertama filem ini sememangnya agak cringe-worthy. Namun, semakin anda memahami latarbelakang jalan ceritanya, ia sebenarnya tidaklah begitu teruk cuma penyampaiannya gagal menampilkan potensi sebenar jalan ceritanya. Tontonlah ia atas budi bicara sendiri.

Penilaian

Jalan cerita – 6/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 3/10

Nilai hiburan –3/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 3/10

FINAS

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *