KiniDia.com sekali lagi menghubungi kami untuk mengulas salah satu filem yang ditayangkan di platform penstriman tersebut. Kali ini filem Kamar Seksa pula menjadi pilihan. Filem ini telahpun ditayangkan di pawagam pada April 2017 tetapi daripada apa yang admin baca, ia tidak mendapat pendedahan yang diharapkan. Admin telah menonton filem ini dan berikut adalah pendapat admin mengenai filem ini.
Kamar Seksa – Paparan Isu Panas [Review]
Kamar Seksa memaparkan dua kisah wanita berlainan, satu mengenai seorang pembantu rumah bernama Mona yang diupah oleh seorang wanita pengkid bernama Kathy yang bersifat dominen. Ia juga memaparkan kisah seorang isteri dan ibu yang menghadapi tekanan hidup kerana mempunyai suami yang tidak bertanggungjawab dan malas bekerja. Filem ini mendedahkan segala keperitan yang dilalui oleh dua wanita ini.
Tontonlah filem ini di KiniDia.com untuk mengetahui keseluruhan kisahnya.
Review
Filem Kamar Seksa memaparkan topik yang agak kontroversi secara terang-terang. Pertama adalah isu lesbian dan pengkid. Umum tahu memang terdapat golongan wanita lesbian dan pengkid di kalangan masyarakat kita, namun tidak ramai yang selesa bercakap mengenainya. Dalam filem ini, kehidupan Kathy dipaparkan dengan penuh dan walaupun babak-babak intim tidak ditunjukkan secara terus, penonton boleh mengagak apa yang berlaku daripada apa yang dilihat dalam babak-babak tersebut.
Isu kedua ialah isu penderaan pembantu rumah. Admin tidak pasti samada persekitaran seperti yang dilihat dalam rumah Kathy boleh mewakili persekitaran di mana penderaan pembantu rumah banyak berlaku, namun adalah agak pelik untuk seorang wanita (pengkid) yang bujang untuk mengupah pembantu rumah. Anggapannya ialah biasanya pembantu rumah diupah oleh sebuah keluarga. Tapi, admin tak mengetahui statistik penderaan pembantu rumah, jadi admin tidak boleh mengulas.
Isu ketiga ialah keluarga di mana suaminya jenis pemalas bekerja dan selalu meminta duit daripada isteri sehingga tergadai semua barang kemasnya. Isu ini banyak kita dengar dalam media massa dan banyak drama TV yang telah mengulas topik ini.
Secara keseluruhan, admin dapat menyimpulkan bahawa filem Kamar Seksa ini lebih kepada paparan isu-isu yang disebut di atas dari mata mereka yang mengalaminya. Ia tidak mempunyai jalan cerita yang lebih dari apa yang perlu untuk menceritakan kisah penganiayaan yang berlaku. Ia hanya menceritakan apa yang berlaku, tidak lebih dari itu. Ia tidak mencadangkan penyelesaian atau menerangkan punca ia berlaku. Ia seolah satu pesanan khidmat masyarakat untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terhadam isu yang disebut di atas.
Jelas sekali filem ini mempunyai bajet yang rendah. Secara umumnya ia dirakam di dua lokasi rumah dan menggunakan pelakon yang minimum. Malah muka suami watak Nur juga tidak diperlihatkan dalam mana-mana babak, hanya badan atau bahagian belakangnya diperlihatkan. Namun, harus dipuji mutu lakonan Sazzy Falak, Noorkhiriah, Aiyuni Hashim dan Ieda Moin memang menyerlah. Skrip yang digunakan juga tidak terlalu rigid dan lebih bersifat natural. Ini secara tidak langsung menyelamatkan filem ini dari terus dianggap filem gagal.
Akhir kata, filem ini bukanlah untuk penonton yang ingin mencari hiburan, sebaliknya lebih merupakan filem untuk memberi kesedaran mengenai isu yang diketengahkan kerana suka tidak suka, perkara-perkara ini sememangnya berlaku dalam masyarakat kita.
Positif vs Negatif
Positif
- Isu yang diketengahkan adalah isu panas.
- Mutu lakonan yang menyerlah.
Negatif
- Bukan untuk mereka yang ingin berhibur.
Penilaian
Jalan cerita – 4/10
Lakonan/Rekaan watak-watak –7/10
Nilai hiburan – 3/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 4/10