Tempoh hari admin telah menonton sebuah trailer filem Netflix bertajuk The Midnight Sky. Ia nampak seperti sebuah filem yang menarik untuk ditonton, lebih-lebih lagi admin telah lama tidak melihat George Cloony berlakon dalam sebuah filem. Admin telah menonton filem ini semalam dan berikut ulasan admin mengenai filem ini.
The Midnight Sky – Filem Pengembaran Angkasa [Review]
The Midnight Sky mengambil kisah masa depan di mana bumi sedikit demi sedikit ditelan malapetaka aneh yang menyebabkan kawasan-kawasan di bumi tidak dapat dihuni manusia. Barbeau Observatory Berhampiran kutub utara merupakan antara tempat-tempat terakhir yang belum dicemari malapetaka aneh yang bakal menjadikan bumi tidak boleh dihuni.
Oleh kerana itu, pelbagai agensi angkasa di seluruh dunia telah melancarkan pelbagai misi untuk mencari planet untuk dihuni oleh manusia, salah satunya misi Aether dari NASA. Ia telah berjaya menyiasat K23, iaitu salah satu bulan bagi planet Jupiter dan dalam perjalanan pulang ke bumi. Ia telah lama terputus hubungan komunikasi dengan bumi, jadi krewnya tidak tahu situasi di bumi.
Sementara itu, Dr. Augustine merupakan saintis yang menjumpai K23 dan beliau telah mengabdikan keseluruhan hidupnya kepada kajian K23 sebagai tempat tinggal manusia. Beliau memilih untuk tinggal di Barbeau Observatory dan tidak mengikuti pemindahan manusia ke bunker-bunker. Beliau menghidapi penyakit terminal yang menyebabkan beliau perlu menjalani transfusi darah dari masa ke semasa. Beliau mendapati malapetaka telah berkembang terlalu jauh sehingga mengganggu komunikasi dengan kapal angkasa Aether. Oleh itu, beliau terpaksa berpindah ke sebuah lagi observatory yang mempunyai piring satalit yang lebih berkuasa dan beliau tepaksa menggunakan jalan darat dalam keadaan di bawah paras beku.
Di situlah mulanya cabaran beliau. Adakah beliau akan berjaya? Tontonlah filem ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Sebenarnya topik filem ini sangat menarik bagi admin, iaitu pengembaraan angkasa mencari planet/tempat tinggal alternatif bagi manusia. Walaubagaimanapun, format filem ini mugkin tidak menonjol kepada semua penonton, walaupun mereka minat filem sci-fi. Filem ini bukan filem aksi ala Star Wars atau Star Trek. Sebaliknya sebuah drama seperti Ad Astra berlatarbelakangkan pengembaraan angkasa dengan sedikit babak aksi disertakan.
Filem ini dibikin untuk dihayati bukan setakat ditonton. Jalan ceritanya perlahan dan dipenuhi flashback yang nampak seperti tidak penting, tetapi sangat penting untuk difahami dalam memahami keseluruhan objektif penceritaan filem ini. Oleh itu, anda perlu menonton filem in dalam keadaan relaks dan bukan tergesa-gesa atau tidak sabar-sabar. Admin rasa jika anda jenis yang mengharapkan filem aksi berkelajuan tinggi, anda tidak akan dapat menonton sehingga akhir.
Filem ini menyelami perasaan seorang saintis yang mengabdikan hidupnya untuk umat manusia, tetapi pada penghujung hayatnya tidak dapat melihat hasil daripada usahanya kerana beliau menghidapi penyakit terminal. Beliau tidak dapat “mati dengan tenang” kerana tidak menjumpai penutup atau rangkuman segala usaha hidupnya. Akhirnya, putaran plot di panghujung filem akan menjawab segala persoalannya secara sempurna. Penonton akan memahami sepenuhnya putaran plot terakhir hanya jika mereka menghayati jalan cerita Augustine termasuk butiran-butiran kecil.
Dengan kata lain sepanjang filem ini, penonton mungkin hanya menonton dan mengutip butiran-butiran mengenai Augustine. Tetapi putaran plot terakhir itu walaupun hanya mendedahkan satu fakta penting, ia menjawab persoalan, “Apa tujuan/signifikan semua cabaran hidup Augustine yang dipaparkan dalam filem ini?”. Dengan kata lain juga, ia mendedahkan makna filem ini di penghujung filem dan jika penonton tidak menonton filem ini sehingga akhir, penonton tidak akan tahu dan menganggap filem ini filem yang tak ada makna.
Admin rasakan itulah kekuatan dan kelemahan filem The Midnight Sky. Ia sebuah filem yang berat tetapi pada masa yang sama mudah difahami. Admin juga merasakan akan ada dua jenis reaksi dari dua golongan yang menonton filem ini. Salah satu akan menonton dan merasakan filem ini “Meh….itu saja?”. Satu lagi golongan akan menganggap ia filem yang deep. Semuanya bergantung kepada kebolehan untuk menghayati jalan cerita. Sukar untuk admin menerangkan perkara ini tanpa memberikan spoiler. Pembayang: kuncinya adalah mengetahui siapa budak perempuan yang bersama watak Augustine itu.
Berkenaan perkara lain, lakonan, sinematografi dan kesan khas, semuanya berada di tahap tinggi. Malah babak aksinya sangat dramatik dan mendebarkan. Apa yang menjadi kekuatan/kelemahan filem The Midnight Sky adalah jalan ceritanya. Itulah yang menentukan pendapat anda mengenai filem ini.
Jadi kesimpulannya, admin tidak rasa ramai yang akan mempunyai pandangan yang tinggi mengenai filem ini. Malah IMDB juga memberikan 5.6/10 ketika penulisan review ini. Ia menonjol kepada satu golongan spesifik penonton yang agak rare. Tetapi, bagi admin penulis The Midnight Sky bijak dalam bagaiman ia menceritakan ceritanya dengan cara tersirat dan boleh dikatakan perfect untuk genre (atau sub-genre) filemnya, cuma ceritanya tidak menarik bagi kebanyakan orang yang sukar untuk identify dengan karekter Augustine. Bukan salah sesiapa, semuanya kerana citarasa berbeza.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita yang deep
- Sinematografi, kesan khas dan lakonan yang tip top
Negatif
- Bukan untuk semua orang
- Pacing yang agak perlahan
Penilaian
Jalan cerita – 9/10
Lakonan/Rekaan watak-watak –9/10
Nilai hiburan – 6/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 9/10