Wonder Woman 1984 – Membawa Mesej Bercampur Baur [Review]

Selamat tahun baharu kepada pembaca Wayangkini.com. Sejak pembukaan semula panggung wayang di negeri-negeri atau kawasan-kawasan bukan merah hujung tahun lepas, hanya beberapa filem sahaja berjaya ditayangkan di panggung wayang. Salah satunya adalah Wonder Woman 1984. Admin sempat menonton filem ini untuk memberi pendapat admin mengenainya.

Wonder Woman 1984

Wonder Woman 1984 – Membawa Mesej Bercampur Baur [Review]

Kisah Wonder Woman 1984 berlangsung pada tahun 1984, di mana Diana Prince masih bekerja di Muzeum dan beliau mendapat rakan sekerja baharu, Barbara. Barbara seorang nerda yang sering diabaikan orang sekelilingnya dan sangat menyanjungi Diana Prince atas kekuatan dan keyakinannya membawa diri. Ciri-ciri yang beliau selalu idamkan dalam hidup.

Dalam pada itu, seorang kaki scam bernama Maxwell Lord berusaha mendapatkan satu artifek yang boleh mengurniakan pemiliknya dengan satu hajat. Namun artifek tersebut dirampas oleh FBI dalam satu tangkapan rompakan dan dihantar ke muzeum tempat Diana bekerja untuk mengenalpasti asal usulnya. Tugas ini diamanahkan kepada Barbara. Namun Maxwell Lord mengorak langkah untuk mendapatkan artifek tersebut dari mereka.

Apakah yang bakal terjadi? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Wonder Woman 1984

Review

Pertama sekali, seperti filem sebelumnya, durasi filem Wonder Woman 1984 sangat panjang, iaitu 2 jam 31 minit dan 30 minit pertama diisi dengan babak-babak yang agak membazir, selain babak pertama yang menerangkan kisah Diana Prince semasa kecil. Bahagian awal filem ini dipenuhi dengan kisah latarbelakang, menerangkan mengenai apa yang diinginkan oleh setiap watak utama dalam filem ini. Ia agak perlahan dan agak membosankan juga. Namun ia menjadi latarbelakang kepada kuasa yang dipunyai watak antagonis utama, Maxwell Lord dan Barbara, jadi nak tak nak terpaksa tonton juga.

Namun mungkin itulah yang paling menghampakan mengenai filem ini, temanya mengenai penipuan dan apa yang berasaskan penipuan tidak akan bertahan. Tema ini melahirkan watak antagonis yang admin rasakan tidak cukup jahat. Sebaliknya watak antagonisnya lebih kepada hanyut dalam keinginan diri yang tidak bertepi, iaitu satu sifat manusia yang selalu leka dan alpa dalam menjalani kehidupan. Watak-watak ini tidaklah bersifat jahat secara semulajadi, sebaliknya terdorong melakukan kejahatan akibat desakan atau cabaran hidup. Kesudahan filem ini membuktikannya. Ujian yang sama juga dihadapi Wonder Woman dan beliau terpaksa menghadap ujian tersebut secara terus demi mengalahkan watak antagonis.

Masalah sekarang adalah oleh kerana tema filem sebegini, admin tidak berasa filem ini mempunyai watak jahat yang kuat menjadikan keseluruhan filemnya kurang menarik. Letaklah babak aksi macam mana pun, disebabkan temanya, watak-watak antagonisnya, filem ini seolah-olah tidak bermakna untuk ditonton. Ia seolah bukan sebuah kisah kebaikan mengalahkan kejahatan, tetapi kebaikan membawa orang yang tersesat balik ke pangkal jalan.

Oleh itu sebagai rangkuman, filem Wonder Woman 1984 adalah sebuah filem yang penuh dengan mesej bercampur baur dan tidak ada satu mesej/pengajaran yang begitu dominan atau menonjol. Admin tidak ada masalah dengan babak aksi dan berlawannya, walaupun ia kadang-kala nampak seperti babak lawan dari Spiderman dan sesetengah babak aksinya agak mengarut, cuma tema keseluruhannya tidak menjadikan filem ini menarik.

Positif vs Negatif

Positif

  • Filem yang lebih ringan berbanding filem Wonder Woman asal.

Negatif

  • Kesudahan yang mengarut. Tiada siapa yang masuk lokap.
  • Mesej yang kurang jelas
  • Tiada watak jahat yang dominen
  • Pemaparan “toxic masculinity” yang terlalu sengaja atau”obvious“, apabila ia tak begitu perlu dalam jalan ceritanya.

Wonder Woman 1984

Penilaian

Jalan cerita – 5/10

Lakonan/Rekaan watak-watak –5/10

Nilai hiburan – 6/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *