The Kings Man merupakan sebuah filem yang admin teringin untuk menonton sejak tayangan trailer tidak lama dahulu. Admin sempat menontonnya semalam dan berikut admin kongsikan pendapat admin mengenainya.
The Kings Man – Kisah Asal Usul Agensi Kingsman [Review]
The Kings Man mengisahkan Duke of Oxford, ahli Red Cross yang ingin mengubah dunia berdasarkan kepercayaan “pacifist” beliau. Semasa satu misi bantuan ke Afrika Selatan dalam peperangan Boer, beliau telah kehilangan isteri beliau dan sebelum menghembuskan nafas terakhir isterinya memintanya untuk tidak mendedahkan anak mereka, Conrad kepada sebarang peperangan atau situasi berbahaya. Beliau pun berjanji.
12 tahun kemudian dunia semakin kacau dan menghampiri perang dunia pertama. Dengan Conrad hampir mencapai umur dewasa, ia semakin sukar untuk melindunginya dari kejahatan dunia. Apakah Duke of Oxford dapat mempertahankan anaknya dari bersemuka dengan segala mara bahaya perang? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Secara keseluruhan, filem ini diilhamkan dari watak-watak dan kejadian-kejadian sebenar yang berlaku sekitar perang dunia pertama, namun ia tidaklah mengikut 100% fakta sejarah. Sungguhpun demikan penonton perlu tahu sedikit sebanyak mengenai watak-watak perang dunia pertama ini untuk benar-benar menghargai jalan ceritanya. Contohnya sejarah Rasputin serta raja-raja British, Jerman dan Russia yang sebenarnya merupakan sepupu. Dengan pengetahuan mengenai sejarah dunia, anda sedikit sebanyak boleh membezakan mana fakta sejarah, dan mana dramatisasi untuk melariskan filem The Kings Man.
Bercakap mengenai jalan ceritanya, ia bijak mengubahsuai fakta-fakta sejarah dengan mengekalkan keberadaannya dalam jalan cerita The Kings Man, tetapi mengubahnya dari segi menokok tambah dalang-dalang di sebalik kejadian-kejadian bersejarah tersebut. Di situlah kisah The Kings Man berlangsung. Pengolahannya memang menjadi dan admin agak sukakan hasil kerja para pembikin filem ini. Paling mengejutkan adalah putaran plot tak disangka di pertengahan filem ini yang mengubah terus sangkaan admin mengenai filem ini.
Koreografi babak-babak aksi dan berlawannya juga dibuat dengan baik dan admin secara peribadi sukakan perlawanan antara para protagonis dengan Rasputin dengan Rasputin berlawan seakan berdansa, di tambah dengan muzik latarbelakang klasik, memang menjadikan babak berlawan tersebut sangat menghiburkan dan mendebarkan pada masa yang sama.
Jika anda perhatikan betul-betul, ada sekurang-kurangnya seorang daripada watak-watak yang dikitar semua dari filem-filem The Kingsman 1 dan 2. Watak Merlin lakonan Mark Strong dalam kedua-dua filem Kingsman moden merupakan salah satu pengasas agensi Kings Man dari Amerika. Walaupun ia hanyalah cameo, admin tetap perasan watak tersebut. Samada penyertaan beliau dalam filem prequel ini mempunyai sebarang makna, admin pun tidak tahu.
Kesimpulannya filem The Kings Man merupakan sebuah filem aksi yang menghiburkan dan tak klise. Terutamanya dengan adanya putaran plot di bahagian tengah filem ini, segala jangkaan penonton akan meleset. Apa yang pastinya filem ini lebih bermakna dari filem Kingsman moden dan memberi pengajaran bahawa perang tidak membawa ke mana dan sentiasa ada pihak yang akan mengembil kesempatan daripada kebencian sesama manusia untuk mendapat manfaat dari perang. Jangan lupa juga untuk menonton babak pertengahan kredit untuk mengetahui hala tuju francais filem ini.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita dan putaran plot yang menarik
- Koreografi berlawang yang menghiburkan dan mendebarkn
- Lakonan mantap pelakon-pelakon utama.
Negatif
- Bukanlah luar biasa kehebatan filem ini.
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10
Nilai hiburan – 8/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10