Admin agak berminat untuk menonton siri Netflix ini sejak admin menonton trailer The Silent Sea di Youtube tempoh hari. Memang nampak menarik siri dengan tema angkasa ini. Admin telah menonton keseluruhan 8 episod siri ini dalam masa 2 hari dan berikut adalah pendapat admin mengenainya.
The Silent Sea – Thriller Korea Ala Aliens [Review]
The Silent Sea mengisahkan dunia di masa hadapan di mana cuaca melampau telah menyebab bumi ketandusan air. Di Korea, air terpaksa dicatu dan jumlah air yang boleh diperolehi oleh seseorang bergantung kepada pangkatnya dalam masyarakat.
Namun, di bulan Republic of Korea’s Space and Aeronautics Division (SAA) mempunyai sebuah makmal penyelidikan yang menyelidik mengenai air di bulan. Malangnya 5 tahun lalu, ia telah ditinggalkan kerana dilaporkan berlaku kebocoran radiasi teruk di sana menyebabkan semua orang di sana mati.
Sepasukan yang terdiri dari penyelidik dan tentera telah ditugaskan SAA untuk pergi ke makmal bulan itu membawa pulang sampel air bulan untuk tujuan kajian di bumi. Tanpa disangka, tugasan itu bukanlah seperti yang dijangka.
Tontonlah siri ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Pandangan pertama admin sejurus bermula episod pertama ialah siri ini bijak menggunakan gaya penceritaan menggunakan suntingan berita TV antarabangsa untuk menggambarkan keadaan bumi yang menghadapi masalah berkaitan bekalan air yang kronik.
Ia juga agak berjaya menggambarkan masyarakat masa depan distopia yang menghadapi kesukaran kerana masalah air. Cuma ia tidak memasuki banyak aspek kehidupan penduduk bagi menggambarkan secara mendalam kesukaran tersebut.
Dari segi rekaan set dan kapal angkasa tidaklah sehebat Holywood, namun bagi sebuah siri Korea, ia dikira boleh bersaing dengan Holywood. Set makmal angkasa di bulan dibuat dengan baik dan tidak mustahil para pembikin telah membina satu makmal sebenar sebagai set penggambaran memandangkan hampir keseluruhan siri ini dirakam di set makmal angkasa.
Walaubagaimanapun CGI yang digunakan terutamanya dalam animasi pergerakan manusia yang bergerak pantas agak mengecewakan dan boleh diperbaiki.
Jalan cerita siri ini juga bukan calang-calang. Semua elemen suspen, misteri dan sedikit babak aksi dibikin dengan baik dan boleh bersaing rapat dengan filem seperti Aliens, Life dan Event Horizon. Cuma ia tidak seganas atau seseram filem Holywood berkenaan.
Pendek cerita, bagi mereka yang minat filem atau siri sci-fi genre thriller dan misteri, siri ini untuk anda. Jarang ada filem/siri genre ini keluaran negara Asia yang berjaya bersaing dengan Holywood, tetapi The Silent Sea pada admin mampu bersaing dengan Holywood, walaupun Holywood masih mendahului dalam genre ini. Tiada babak atau prop murahan yang mengganggu kualiti filem ini.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita dan putaran plot yang menarik
- Rekaan set yang boleh bersaing dengan Holywood.
- Lakonan mantap
Negatif
- Kesudahan yang agak tidak memuaskan sangat dan sedikit tidak logik telah merosakkan semuanya (pendapat peribadi).
- CGI animasi pergerakan manusia yang agak mengecewakan.
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10
Nilai hiburan – 8/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10