Geran – Filem Silat yang Hebat [Review]

Filem Geran tular di media sosial tidak lama dahulu kerana memenangi anugerah di Festival Filem New York 2020. Sejujurnya pada ketika itu admin belum menonton filem tersebut dan ketika ditayangkan di TV juga admin terlepas. Mujurlah filem ini kini ditayangkan di Netflix di bawah tajuk The Deed of Death. Admin sempat menontonnya baru-baru ini dan berikut pendapat admin mengenainya.

Geran – Filem Silat yang Hebat [Review]

Geran mengisahkan keluarga Pak Nayan yang mempunyai 3 orang anak yang telah dewasa, Ali, Fatimah dan Mat Arip. Semua handal dalam silat. Namun Mat Arip mempunyai masalah suka berjudi lalu berhutang dengan gang Haji Daud dengan cagaran geran tanah milik keluarganya. Pak Nayan tahu bahawa Haji Daud yang dulu merupakan kawan rapatnya memang mencari helah untuk merampas semua tanah-tanah penduduk kampung dengan cara menggunakan hutang.

Apakah yang akan dilakukan oleh keluarga Pak Nayan untuk mempertahankan tanah mereka? Tontonlah filem ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Akhirnya tercapai hajat admin untuk menonton filem Geran. Sebenarnya jalan cerita Geran ini agak mudah tapi berkesan. Mesej utamanya adalah bagaimana hutang dijadikan alat untuk orang menggadaikan harta pusaka termasuk tanah dan kadang-kala untuk sebab yang tak munasabah. Seperti dalam contoh yang diberi dalam filem ini, ada seorang penduduk kampung yang berhutang dengan Haji Daud kerana hendak membeli motosikal untuk anaknya. Habis tanahnya tergadai.

Walaupun Mat Arip ini bermasalah dan menjadi titik kelemahan dalam usaha keluarga Pak Nayan mempertahankan tanah miliknya, seluruh keluarganya bersatu untuk menentang kezaliman Haji Daud dan konco-konconya. Semua ini dilakukan dengan ilmu persilatan hebat.

Maka inilah kekuatan terbesar filem ini, koreografi silatnya. Fuh, babak-babak lawannya memang terbaik di Malaysia. Semuanya realistik, berimpak dan bertepatan dengan gerakan silat di Malaysia (macam lah saya pakar silat? hahaha). Ia boleh menandingi babak lawan terbaik dari Hong Kong mahupun Korea. Penonton seolah-olah boleh merasakan setiap pukulan yang dilihat di kaca skrin. Pendek kata, sebahagian besar penilaian positif admin adalah kerana babak lawannya yang bukan calang-calang.

Dari segi lakonannya pula, semua pelakon utama memang memberikan persembahan terbaik. Cuma admin kurang berpuas hati dengan lakonan Aeril Zafrel yang over-acting sikit. Tapi memang admin tak suka lakonan dia, jadi ada sedikit bias di situ. Selain itu, pelakon tambahannya agak OK dan tahniah kepada semua stuntman yang pastinya berlebam-lebam selepas sesi rakaman babak lawan.

Akhir kata, Geran ialah sebuah filem aksi persilatan dan disasarkan kepada mereka yang gemarkan filem sebegini termasuk para penggiat seni silat di Malaysia dan di seluruh dunia. Kualiti babak lawannya memang berada di tahap tinggi. Cuma mungkin jalan cerita tidak di beri penekanan yang tinggi. Bukan hendak mengatakan jalan ceritanya teruk, tetapi jalan ceritanya dibuat cukup untuk menjustifikasikan babak lawannya. Admin rekomen sangat anda menontonnya. Cari filem The Deed of Death di Netflix.

Geran

Positif vs Negatif

Positif

  • Babak berlawan silat yang berkelas dunia
  • Jalan cerita yang mudah difahami
  • Watak-watak utama yang berkesan

Negatif

  • Tidak mempunyai jalan cerita yang sofistiketed
  • Ada seorang watak komedi, iaitu rakan Mat Arip, yang agak slapstik

Geran

Penilaian

Jalan cerita – 7/10

Lakonan/Rekaan watak-watak –7/10

Nilai hiburan – 9/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10

Netflix

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *