Sejujurnya, admin tidak pernah mengikuti siri animasi TV Egen Ali, namun admin sedar tentang kewujudannya sebagaimana admin mengetahui mengenai kewujudan Upin dan Ipin. Namun, sejak tayangan filem animasi Ejen Ali The Movie bermula minggu lepas, komen-komen di media massa dan media sosial sepakat mengatakan filem animasi ini terbaik, termasuk rakan-rakan admin sendiri yang dewasa. Ini menyebabkan admin tekad untuk menonton sendiri filem animasi ini di pawagam. Berikut adalah ulasan kami mengenai filem tersebut.
Ejen Ali The Movie : Filem Animasi Malaysia Terbaik Setakat Ini
Selepas secara tidak sengaja direkrut sebagai seorang mata-mata, Ejen Ali, 12 tahun, kini semakin selesa dengan peranannya dalam agensi rahsia Meta Advance Tactical Agency (MATA) untuk melindungi bandaraya Cyberaya yang futuristik dari ancaman luar. Ali terkejut mendapati bahawa dia bukan lagi satu-satunya pengawal bagi alat Infiniti Retina Sistem Perisikan (IRIS), memandangkan MATA kini telah menaiktaraf kepada IRIS Neo untuk semua ejen MATA. Apabila ciptaan baru itu menyebabkan Ali untuk mempersoalkan tempatnya dan tugasnya di MATA, dia didatangi oleh seorang watak jahat yang mendakwa mengetahui tentang hubungan peribadi yang tidak disangka kepada Ali. Mempertaruhkan kesetiaannya kepada MATA, Ejen Ali memulakan penyasatan mendebarkan untuk membongkar hubungan misteri ini.
Review
Sepertimana dijelasakan di atas, admin tidak pernah mengikuti siri animasi TV Ejen Ali, jadi admin tidak mengetahui latarbelakang watak-watak dalam filem ini. Sungguhpun demikian, itu tidak mengkalan admin atau mana-mana penonton untuk memahami jalan cerita filem animasi ini. Segala latarbelakang mengenai watak-watak, organisasi dan teknologi dalam filem ini dijelaskan secara tidak langsung sepanjang jalan ceritanya.
Secara keseluruhan, kami amat kagum dengan jalan ceritanya. Ia bukan jalan cerita mudah-mudah seperti animasi lain, contohnya Wheely oleh KRU Studios. Jalan ceritanya agak mendalam dengan putaran plot yang tidak dijangka, konflik yang dialami oleh watak utama bukan biasa-biasa, pendek kata jika anda biasa menonton filem anime seperti filem-filem animasi Naruto, jalan cerita dan konflik peribadi dalam filem animasi Ejen Ali setaraf dengan anime tersebut. Memang terbaik.
Apa yang kami fikir terbaik mengenai rekaan konsep dan jalan cerita Ejen Ali the Movie ialah bagaimana ia mengintegrasikan budaya Malaysia dalam konsep animasinya tanpa menonjolkannya secara keterlaluan. Babak-babak yang mengetengahkan watak mamak memang kelakar habis! Tak henti-henti kami gelak. Unsur budaya Malaysia inilah yang kami rasa menjadikan filem ini sangat unik dan kami berbangga dengan cara ia diadaptasikan dalam filem animasi ini.
Animasi babak-babak berlawan juga adalah satu aspek yang harus diberi pujian. Jelas sekali babak-babak lawannya diinspirasikan oleh anime seperti Naruto dan Dragonball Z, cuma kesan impak tidak sedahsyat anime-anime tersebut. Tak ada bangunan yang pecah atau kawah terbentuk apabila Ejen Ali terhumban ke lantai. Tapi, asasnya, koreografi dan animasi babak lawannya sememangnya pada tahap yang sama dengan anime Jepun.
Soundtrack juga satu aspek yang sangat menonjol dalam filem ini. Memang terbaik lagu “Bukalah Matamu” dan “Kita Jaga Kita”. Anda boleh mendengarkannya di Spotify melalui pautan ini .
Secara ringkasnya, apa yang anda boleh harapkan dengan menonton filem Egen Ali ialah gabungan antara anime Dragonball Z, filem hindustan, konflik dalaman ala animasi Holywood dan pada masa yang sama elemen Malaysia yang sangat kuat yang mengaitkan semua unsur tadi menjadikan sebuah filem animasi terbaik dikeluarkan sebuah syarikat animasi tempatan setakat ini.
Positif vs Negatif
Positif
- Kualiti animasi yang terbaik
- Jalan cerita di tahap Hollywood/Anime Jepun
- Elemen Malaysia dalam rekaan konsepnya menjadikan filem ini unik
Negatif
- Dalam kebanyakan babak, perincian kecil di latarbelakang tidak di tekankan menyebabkan babak nampak kosong tanpa element latarbelakang yang cukup. Contohnya babak perhimpunan mendengar ucapan Dato’ Othman di bahagian akhir. Sikit sangat orang hadir???
Kesimpulan
Kesimpulannya, tanpa ragu lagi filem Agen Ali The Movie adalah filem animasi tempatan terbaik setakat ini dan tidak keterlaluan mengatakan ia boleh bersaing dengan filem-filem animasi Holywood bila-bila masa. Ia bukan menyasarkan kanak-kanak semata-mata, sebaliknya semua peringkat umur boleh menonton filem animasi ini tanpa malu. Sesiapa yang boleh menonton Naruto, sesuai menonton Ejen Ali The Movie. Tak perlu fikir panjang. Tonton saja filem ini!













