Ada Hantu – Filem Hantu yang Ditunggu-tunggu [Review]

Tidak dapat dinafikan beberapa tahun kebelakangan ini industri filem negara memang dilanda kegersangan filem-filem yang berkualiti dan in lebih ketara untuk filem genre komedi dan seram, atau komedi seram. Filem Ada Hantu yang telah dipromosikan sebagai antara filem-filem tempatan yang akan ditayangkan di Disney+ Hotstar. Ia menerima kritikan dan kutukan pada mulanya kerana trailer dan posternya yang bak melepaskan batok di tangga. Admin sempat menonton filem komedi seram ini dan berikut adalah pendapat admin mengenainya.

Ada Hantu – Filem Hantu yang Ditunggu-tunggu [Review]

Ada Hantu merupakan filem pertama arahan Hairul Azreen menceritakan kisah seorang Youtuber bernama Aliff dan rakan-rakan pembuat kontennya yang merancang untuk menyambut hari jadinya di sebuah banglo berhantu setelah dicabar oleh orang-orang yang komen di videonya. Maka pergilah Aliff bersama 4 lagi rakannya ke rumah berhantu itu untuk membuat konten serta membuktikan samada rumah itu benar-benar berhantu.

Apakah akan dialami mereka? Tontonlah filem ini di Disney+ Hotstar untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sejujurnya admin langsung tidak menonton trailer mahupun melihat poster filem ini sebelum admin menontonnya. Admin hanya nampak beberapa pos mengenenainya dan terus menonton filem Ada Hantu. Admin juga tidak membaca sebarang review orang lain mengenainya. Dengan kata lain, admin tak tahu sebarang apa mengenai filem ini sebelum menontonnya.

Babak pertama filem ini membuatkan admin menyangka filem ini satu lagi filem seram komedi sampah, tetapi rupa-rupanya ia merupakan video reaksi Aliff kepada video pemburu hantu orang lain di Youtube. Perkara pertama yang admin perasan mengenai filem ini ialah skripnya yang menggunakan bahasa natural, iaitu bahasa yang anda dan saya biasanya guna apabila bercakap dengan rakan-rakan. Itu menjadikan filem ini nampak lebih realistik dan bukan “skema”. Ia juga membuatkan kita lebih percaya kepada lakonan para pelakonnya.

Filem ini terbahagi kepada dua fasa, sebenarnya tiga fasa jika fasa ending diambil kira. Fasa pertama adalah fasa seram di mana filem ini benar-benar menjiwai filem seram. Fasa kedua adalah di mana elemen lawak jenaka menjadi keutamaan dan fasa ending di mana ia mencampakkan persoalan misteri kepada penonton. Admin tidak boleh mendedahkan banyak mengenai jalan ceritanya kerana jalan ceritanyalah yang menyediakan kejutan buat penonton dan menjadikannya lain dari lain. Jika admin dedahkan, habislah elemen kejutan itu dan anda pasti menyesal kerana mengetahuinya.

Dari segi teknikal filem ini hampir sempurna. Sinematografi, pembinaan watak, pilihan pelakon dan susun atur jalan cerita semuanya sukar untuk mencari kelemahannya. Penonton memang akan terjebak dalam jalan cerita dan watak-wataknya. Bercakap mengenai jalan ceritanya, pada mulanya ia nampak seperti sebuah filem seram yang tipikal sehingga anda masuk ke fasa 2 di mana lawak jenakanya didedahkan dan lawak jenakanya bukan jenis yang slapstick, malah lawak jenakanya jelas sekali dibuat oleh orang yang berfikir dan pandai merancang. Ia tidak “insult your intelligence“, bak kata orang putih.

Pendek kata sepanjang 1.5 jam++ durasi filem ini, tiada babak yang membosankan, malah admin sentiasa terhibur menonton filem ini dari awal hingga ke akhir. Ia benar-benar sebuah filem Bahasa Malaysia yang admin tunggu-tunggu selama ini di mana bukan sahaja ia mempunyai jalan cerita yang bijak, ia menghiburakan dan secara jujurnya membuatkan admin gelak bersungguh. Admin rekomen anda menonton filem ini tak kira tua atau muda.

(Tip lawak: Lagu Doremon)

Ada Hantu

Positif vs Negatif

Positif

  • Dialog/skrip dalam bahasa natural
  • Jalan cerita yang keratif dan bijak
  • Lawak jenaka yang benar-benar kelakar.

Negatif

  • ada juga lah beberapa lubang plot (plot holes) namun tidaklah merosakkan filem ini.

Penilaian

Jalan cerita – 9/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 9/10

Nilai hiburan – 10/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set/sinematografi – 9/10

Disney+ Hotstar

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *