Umum mengetahui bahawa filem epik sejarah adalah antara genre yang sukar dilakukan dengan baik. Perlu ada keseimbangan antara fakta, dramatisasi dan jalan cerita yang menarik. Kisah Ford V Ferrari ini bukan perkara asing, malah ia pernah diceritakan oleh History Channel dan juga diceritakan Jeremy Clarkson dalam The Grand Tour tidak lama dahulu. Namun itu merupakan rancangan dokumentari bukan filem wayang. Kami berpeluang menonton filem Ford V Ferrari baru-baru ini dan berikut merupakan pendapat kami mengenai filem tersebut.
Ford V Ferrari – Filem Epik Sejarah Sukan Permotoran
Ford V Ferrari merupakan sebuah filem kisah benar mengenai persaingan antara Ford dan Ferrari dalam menghasilkan kereta lumba terunggul dalam perlumbaan Le Mans 24 jam sekitar tahun 60an. Filem ini mengikuti watak pereka kereta sport Carrol Shelby dan rakan karibnya pelumba luarbiasa Ken Miles yang mempunyai perangai menjengkelkan tetapi sangat hebat berlumba. Shelby telah diupah pihak Ford Motor Company untuk mereka dan membina sebuah kereta lumba Le Mans untuk bersaing dengan pasukan Ferrari yang telah menghina syarikat tersebut secara terang-terangan.
Filem ini mengisahkan segala pancaroba yang perlu dilalui mereka dalam penghasilan kereta tersebut dan kemudian berlumba dengan Ferrari. Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kisahnya.
Review
Jarang sekali sebuah filem sejarah atau biografi disampaikan dengan begitu baik. Tidak seperti filem epik sejarah “Midway” minggu lepas, filem Ford V Ferrari ini jauh lebih menghiburkan, tanpa mengorbankan fakta sejarah. Walaupun segala kisah mengenai Ford V Ferrari boleh anda tonton di Youtube atau di History Channel, filem ini dibikin dengan begitu baik sekali, menjadikannya sebuah filem yang menghiburkan, lucu dan penyampaian faktanya berkesan.
Pertama sekali, watak-wataknya memang berkarakter, maklumlah pelakon-pelakon yang memainkan watak-wataknya sememangnya berpengalaman dan berbakat. Kemudian, pengolahan babak-babak dan jalan ceritanya sungguh berkesan dan langsung tidak membosankan. Ditambah lagi dengan babak-babak berlumba yang dibikin dengan terbaik sekali dan sungguh mendebarkan. Kesudahannya yang agak sedih kami tidak jangka kerana kami tidak mengingati kesemua fakta mengenai kisah Ford V Ferrari ini.
Fokus atau sudut pandang yang diketengahkan dalam filem ini ialah pertembungan antara fahaman teknikal (Shelby dan Miles) dan fahaman perniagaan (Ford Motor Company) di mana Shelby dan Miles merupakan golongan yang sangat mencintai bidang kerja mereka, manakala Ford Motor Company hanya mementingkan keuntungan, nama baik mereka dan memasarkan jenama Ford mereka. Mereka bukan kisah sangat tentang bidang perlumbaan kereta, sebaliknya hanya melihatnya sebagai batu loncatan untuk menjual lebih banyak kereta.
Bagi mereka yang meminati sukan permotoran, filem ini adalah wajib ditonton, namun jika anda bukan peminat sukan permotoran pun, filem ini tetapi menghiburkan dan mendebarkan dalam masa yang sama. Anda tidak akan bosan menontonnya. Namun harus diingat, filem ini satu filem yang panjang. Sepanjang dua jam setengah, jadi, pastikan anda mempunyai pop corn dan air yang secukupnya serta pergi ke tandas sebelum menonton filem ini .
Positif vs Negatif
Positif
- Watak-watak dengan karakter yang kuat
- Jalan cerita mendebarkan
- Penyampaian fakta secara menghiburkan
Negatif
- Agak panjang (2 jam setengah)
Kesimpulan
Bagi peminat sukan permotoran yang ingin mengetahui apa yang menjadikan pelumba kereta zaman dahulu begitu hebat, filem ini untuk anda. Filem ini berjaya menyampaikan kisah Ford V Ferrari secara baik dan sangat menghiburkan. Kami percaya jika anda bukan peminat kereta pun, anda tetap akan menyukai filem ini. Cuma mungkin anda tidak tertarik untuk menonton filem ini sehingga diajak rakan.