The Unforgivable merupakan salah satu filem yang admin tonton secara spontan setelah melihatnya dipromosikan di muka hadapan Netflix. Berikut pendapat admin mengenai filem ini.
The Unforgivable – Filem yang Ringkas Tetapi Berimpak [Review]
Filem The Unforgivable mengisahkan Ruth Slater yang baru dilepaskan dari penjara setelah menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana membunuh seorang anggota polis. Semasa kejadian, beliau tinggal bersama adiknya yang berumur 5 tahun sebelum beliau ditangkap.
Kini setelah dilepaskan, beliau berazam untuk mencari adiknya yang telah lama hidup bersama keluarga angkat. Namun kerana statusnya sebagai bekas banduan, banyak kekangan yang dihadapinya. Tontonlah filem ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Secara keseluruhan, filem ini merupakan sebuah filem drama yang sangat ringkas. Ia mengenai seorang bekas banduan yang ingin mencari adiknya setelah dipisahkan akibat dipenjarakan selama 20 tahun. Namun kelebihan filem ini adalah cara kisahnya disampaikan.
Filem ini disampaikan dalam dari dua sisi, satu pada sisi masa sekarang dan satu lagi kisah flashback pada hari kejadian pembunuhan anggota polis tersebut. Kedua-dua kisah ini akan bertumpu dan bertembung pada klimaks filem ini.
Sejujurnya jalan ceritanya bukanlah kompleks dan boleh memenangi Oscar. Ia bermula dengan perlahan dan memerlukan sedikit kesabaran untuk menempuhi bahagian awal. Tetapi jalan ceritanya cukup bijak untuk mempengaruhi penonton pada awalnya untuk mempunyai satu anggapan atau jangkaan terhadap halatujunya, tetapi terbukti salah pada klimaks filem ini dan kebenaran yang terdedah sangatlah menyedihkan.
Ternyata juga lakonan mantap oleh pelakon-pelakon filem ini juga menyumbang kepada kehebatan filem ini. Sudah lama admin tidak menonton filem lakonan Sandra Bullock dan filem ini memang sebuah filem yang terbaik untuk admin berkenalan semula dengan lakonan beliau.
Seperti admin katakan filem ini adalah sebuah filem yang ringkas tetapi berimpak. Ia sesuai ditonton semua lapisan masyarakat tetapi admin berpendapat filem ini akan lebih menonjol kepada penonton perempuan. Apa pun lelaki pun masih boleh menontonnya dengan mudah.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita dan teknik bercerita yang menarik
- Putaran plot yang tidak disangka
- lakonan mantap
Negatif
- Plot yang ringkas dan bukanlah calon Oscar
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 7/10
Nilai hiburan – 8/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10