Jarang sekali kita dengar tentang filem atau siri TV keluaran Iceland dan oleh kerana itulah admin tertarik untuk menonton sebuah siri drama misteri Sci-Fi Iceland bertajuk Katla yang mula ditayangkan di Netflix baru-baru ini. Sebenarnya admin pun tak pasti siri TV ini dalam kategori apa. Ia mempunyai elemen drama, misteri, sci-fi, cerita dongeng dan seram. Apa pun, berikut adalah pendapat admin mengenai siri TV ini.
Katla – Drama Misteri Sci-Fi dari Iceland [Review]
Katla merujuk kepada sebuah gunung berapi yang terletak di selatan Iceland. Dalam siri ini, gunung berapi ini meletus dan menyebabkan pekan kecil bernama Vik yang berada berhampirannya dilitupi debu gunung berapi dan tidak lagi boleh didiami dengan selamat. Sepasukan penyelamat pelancong telah ditugaskan menyelamatkan pelancong yang berada di sekitar gunung berapi tersebut dan mengosongkan pekan Vik semasa gunung berapi tersebut meletus. Grima dan adiknya Asa menganggotai pasukan ini, namun dalam usaha menyelamat, Asa telah hilang dan dianggap mati.
Setahun kemudian, gunung berapi Katla masih memuntahkan debu dan pekan Vik masih tidak boleh didiami seperti biasa. Akses ke pekan itu disekat dan sesiapa yang mahu masuk ke pekan itu perlu memohon permit. Namun, sekumpulan kecil penduduknya mengambil keputusan untuk tinggal di Vik bagi menghidupkan pekan tersebut dan menyelamatkannya dari menjadi bandar mati. Ini termasuk Grima, suaminya, bapanya bernama Thor, ketua polis, pemilik hotel Vik dan beberapa anggota pengkaji geologi yang ditempatkan di sana.
Satu hari, pasukan geologi menemui seorang wanita yang kesejukan dan dilitupi debu gunung berapi berjalan berseorangan menuju ke pekan Vik. Disangkakan pelancong yang memasuki pekan itu secara haram, mereka membawa wanita tersebut ke hospital di Vik untuk rawatan. Apabila disoal, wanita tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Gunhild, seorang wanita Sweeden.
Anehnya beliau mengaku bekerja di hotel Vik. Namun pemilik hotel itu mengatakan beliau mempunyai seorang pekerja dengan nama Gunhild, tetapi itu 20 tahun lalu. Lebih aneh lagi apabila polis menghubungi rumah Gunhild di Sweeden, beliau ada di rumahnya. Jadi siapakah wanita tersebut? Tontonlah siri ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Siri TV Katla ini sebenarnya dibikin berasaskan cerita dongeng orang Iceland yang berkaitan dengan letupan gunung berapi Katla yang berlaku pada kurung ke 15 di mana ladang-ladang di sekelilingnya terpaksa ditinggalkan. Setahun kemudian seorang pekerja ladang yang miskin telah mengandung di luar nikah. Beliau telah meninggalkan anaknya yang baru lahir di kawasan berpasir di situ. Setelah masa berlalu, beliau berasa sangat menyesal akan perbuatannya dan menjadi obses tentang anaknya yang ditinggalkan.
Pada satu hari di musim sejuk, beliau dan rakan-rakan pergi mengembala kambing di kawasan tanah tinggi dan menjumpai mayat seorang bayi yang telah beku. Perkara ini akan berlaku tiap musim sejuk di mana satu mayat bayi dijumpai di tanah tinggi. Tetapi pekerja ladang itu mengecam itu anaknya itu. Pada musim luruh berikutnya (sebelum musim sejuk) beliau pergi ke tanah tinggi dan menjumpai bayinya itu, baru beberapa hari lahir dan masih hidup. Namun, setelah 13 tahun membesarkannya, anaknya telah membunuh ibunya dan lesap begitu sahaja. Dikatakan anaknya itu sebenarnya adalah “Change-ling” dan bukan manusia sebenar. Begitulah kisah dengangnya. Ia akan diceritakan dalam siri TV ini oleh pemilik Hotel Vik.
Berbalik kepada review, siri TV ini agak perlahan dalam perkembangan plotnya. Jadi penonton yang kurang sabar menonton filem yang perlahan mungkin tidak tahan menontonnya. Namun, ia tidaklah perlahan dan bosan, ia perlahan dan berisi. Setiap episod ada sahaja perkara baharu yang menjadi teka-teki. Ia juga bukanlah satu siri yang terlalu berat, cuma ia membuatkan penonton berfikir. Walaubagaimanapun, ia bukan siri aksi, jadi penonton tidak boleh mengharapkan babak aksi yang mendebarkan. Ia juga bukan siri TV seram. Tiada hantu mahupun raksasa. Apa yang ada adalah Change-ling. Ia lebih kepada misteri daripada seram. Jika ada sebarang perasaan takut pun, ianya datang dari penonton tertanya-tanya apa yang berlaku tidak mengetahui apa yang berlaku.
Apa yang menariknya dengan plot siri ini adalah, bukan satu sahaja Change-ling muncul di pekan Vik, malah ada beberapa orang. Setiap satu mempunyai kisahnya tersendiri, dan mencetuskan drama berlainan di kalangan watak-watak utama siri ini. Mereka mempunyai sebab tersendiri untuk muncul dan ada kaitannya dengan penduduk di situ. Di sinilah dramanya menjadi semakin menarik.
Admin tidak mahu mendedahkan lebih banyak mengenai jalan ceritanya kerana tidak mahu merosakkan pengalaman menonton anda, tetapi secara ringkasnya episod penutupnya akan membuatkan anda berfikir dan membuat kesimpulan sendiri berdasarkan outcome setiap watak-watak utama yang berkomunikasi dengan Change-ling dalam siri ini yang berlainan. Admin tidaklah teruja sangat dengan penutupnya, namun penutupnya semamangnya menutup kisah watak-watak dalam siri ini. Tetapi babak terakhir agak kabur, tetapi menunding kepada musim kedua. Mungkin juga tidak.
Kesimpulannya, siri Katla sesuai untuk orang yang sukakan drama, misteri dan mengenali satu budaya yang agak asing dengan Malaysia, iaitu budaya Iceland. Ia tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan. Ia juga tiada babak aksi yang mendebarkan, walaupun ada satu babak kemalangan kereta yang agak dramatik.
Positif vs Negatif
Positif
- Unsur misteri dan drama yang membuatkan penonton berfikir tetapi dramanya tidaklah sampai ke tahap telenovela.
- sinematografi yang menarik ditambah dengan sokongan Dolby Vision.
Negatif
- Bukanlah sebuah siri aksi
- Agak perlahan dalam perkembangan plotnya.
Penilaian
Jalan cerita – 7/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 7/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10