Topik pengabaian kanak-kanak memang satu topik yang sensetif, terutamanya bagi rakyat Malaysia. Bila timbulnya sebarang berita mengenai pengabaian kanak-kanak di berita, rakyat Malaysia akan bangkit mengutuk tindakan tersebut. Namun, tahukah anda masalah ini juga merupakan satu masalah sosial yang agak besar di Jepun, sehingga digambarkan dalam beberapa buah filem. Berikut adalah 3 buah filem terbaik Jepun yang menyentuh topik tersebut. Kesemua 3 filem ini merupakan filem genre indie, bermakna ia menceritakan kisahnya dalam gaya yang lebih realistik dan bukan idealistik seperti dalam filem-filem biasa. Kesemua filem ini admin telah tonton dan memang sukar untuk melupakan filem ini jika anda seorang yang mempunyai kelemahan kepada kanak-kanak. Filem-filem ini bukan setakat sedih, malah boleh menyebabkan penontonnya kemurungan (depressed).
3 Filem Jepun Terbaik Mengenai Pengabaian Kanak-Kanak
- Daremo Shiranai (Nobody Knows) – 2004
Ini merupakan filem pertama tontonan admin berkenaan topik pengabaian kanak-kanak. Ia dibikin dengan diinspirasikan kisah sebenar kes pengabaian kanak-kanak Sugamo yang berlaku di Tokyo, Jepun sekitar tahun 1988. Filem ini menceritakan sekeluarga 4 adik beradik bawah umur yang mana ibu mereka merupakan orang yang tidak bertanggungjawab dan kaki jolly. Setiap adik beradik mempunyai bapa berlainan dan lahir luar nikah, malah dua adik bongsu mereka tidak didaftarkan. Ibu mereka dari masa ke semasa akan meninggalkan anak-anaknya itu mengikut teman lelaki berlainan, kadang-kala berbulan lamanya tanpa khabar berita. Tinggallah abang mereka yang hanya berumur sekitar 12 tahun untuk menjaga mereka dengan wang yang tak cukup hingga terpaksa meminta-minta dari teman lelaki ibu mereka.
Sediakan tisu semasa menonton filem ini kerana ia sangat sedih lagi menyedihkan. Tiada pengakhiran baik bagi filem ini dan tiada siapa yang menjadi penyelamat. Bagi kita ia nampak seperti terlalu melampau untuk dipercayai, tetapi ia menceritakan realiti sebenar golongan kanak-kanak yang terabai itu. Admin tidak pasti di mana anda boleh menonton filem ini memandangkan ia berusia lebih 17 tahun, tetapi admin pasti Google boleh membantu.
- Mother (2020)
Filem ini sedang ditayangkan di Neflix, mengisahkan Shuhei (sekitar 8 tahun) yang tinggal bersama ibunya, Akiko, yang merupakan kaki jolly, kaki judi, kaki arak dan tidak bekerja. Mereka bergantung kepada wang yang dihantar oleh bapa Shuhei serta wang yang dipinjam dari ahli-ahli keluarga ibunya yang semakin lama semakin menyisihkannya kerana tabiat buruknya. Akibat Akiko yang selalu menggunakan wang yang diperolehi mereka untuk berjoli dan berjudi Pachinko, mereka hidup bergelandangan, terutamanya apabila teman lelaki Akiko lari apabila mengetahui beliau mengandungkan anaknya.
Fokus utama filem ini ialah bagaimana sejak kecil Shuhei telah dikongkong secara psikologi oleh perangai ibunya yang tidak menentu dan kesannya sepanjang proses pembesarannya dan peremajaannya. Walaupun filem ini dibikin dengan gaya indie dan tiada pengakhiran baik, lakonan pelakon-pelakon utamanya memang terbaik. Terutamanya watak Shuhei semasa muda. Dah lah kurus dan kecil, memang nampak seperti seorang kanak-kanak comel yang teraniaya. Pelbagai perasaan akan anda alami semasa menonton filem ini, tetapi satu pun bukan satu perasaan yang baik. Semasa menonton, anda sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik akan berlaku, namun perkara buruk sentiasa berlaku kepada protagonis. Seperti yang admin katakan, filem-filem ini sedih lagi menyedihkan.
- The Shoplifters (2018)
Filem ini tidaklah terlalu “memurungkan” berbanding yang lain. Ia mengisahkan sekeluarga (bukan keluarga biologi) pencuri yang terdiri dari seorang nenek Hatsue yang menyara, sepasang suami-isteri (Osamu dan Nobuyo), Aki yang bekerja di pusat hiburan dan Shota, seorang kanak-kanak berumur sekitar 11-12 tahun. Bagi menampung kehidupan mereka yang susah akibat kemiskinan, mereka mencuri dari pasar raya-pasar raya dan mereka sangat mahir dalam kerja mereka.
Tetapi walaupun mencuri, keluarga mereka sangat bahagia dan penuh kasih sayang. Satu malam yang sejuk, Shota dan Osamu terserempak dengan Yuri, seorang kanak-kanak perempuan yang sering dilihat dibiarkan berseorangan bermain di beranda rumah oleh ibunya yang sibuk bekerja.
Mereka membawanya pulang dan diberikan makan. Asalnya mereka mahu menghantarnya pulang selepas makan, tetapi selepas menemui bukti Yuri didera, mereka mengambil keputusan untuk menjaganya. Di situlah Yuri menemui kebahagian mempunyai “keluarga” sebenar. Namun, selepas beberapa bulan, Polis masih mencari Yuri yang dilaporkan hilang. Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya. Seperti admin katakan, tidak ada satu pun filem dalam post ini yang mempunyai pengakhiran yang baik. Filem ini menyentuh persoalan apakah makna sebenar menjadi seorang ibu dan mempunyai keluarga?
Admin merekomen anda menonton filem-filem ini, tetapi admin memberi amaran awal, filem ini akan menruntun jiwa. Pada admin, perkara yang paling menyedihkan adalah melihat bagaimana kanak-kanak yang berdosa bergelut untuk menghadapi situasi yang sepatutnya hanya perlu dihadapi golongan dewasa. Tambahan pula, filem-filem ini bertemakan realiti, jadi tiada hero yang akan menjadi penyelamat keadaan. Yang ada hanyalah masalah dan masalah satu selepas yang lain. Hati anda tidak lagi akan tenteram selepas menonton filem-filem ini.