Sebuah drama Jepun sering terpampang di muka utama akaun Netflix admin menyebabkan timbul rasa ingin tahu admin mengenainya. admin pun menonton siri TV Jepun bertajuk School Cop ini. Ia hanya mempunyai 10 episod berdurasi sekitar 40 minit, jadi admin berjaya menghabiskannya dalam masa 2 hari sahaja. berikut pendapat admin mengenainya.

School Cop – Drama Menyingkap Masalah Sekolah Jepun [Review]
School Cop mengisahkan Ryuhei Shimada, seorang inspektor polis kanan yang memilih untuk mengikuti program perintis polis di sekolah sebagai seorang pegawai polis biasa. Tugas anggota polis ini adalah untuk menjaga keamanan sekolah serta memastikan pelajar mengikuti peraturan. Beliau ditempatkan di sebuah sekolah menengah rendah yang tidak ternama di pinggiran Tokyo.
Pelbagai ragam pelajar dan guru yang dihadapinya sepanjang bertugas di sana. Tontonlah siri Netflix ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review
Pertamanya admin ingin membuat satu penilaian awal mengenai siri ini dan admin berpendapat siri TV ini adalah satu siri TV Jepun tipikal. Jika anda biasa menonton siri TV Jepun, terutamanya dari zaman Beautiful Life, GTO, dan drama Jepun yang sewaktu dengannya, anda tentu faham ciri-ciri drama Jepun yang standard. Jika drama TV3 pukul 7 pm merupakan drama TV standard Malaysia, School Cop merupakan salah satu siri TV Jepun yang standard. Dengan plot yang bermain dengan streotaip orang-orang Jepun, lakonan yang biasa-biasa sahaja dan putaran plot yang tidak begitu mengejutkan.

Malah beberapa babak-babak dalam siri ini mengingatkan admin kepada drama-drama Melayu pukul 7 pm di mana setting dan outcome babak tersebut sangat boleh diagak, seolah-olah dibikin oleh pengarah Malaysia pula. Persamaannya memang mudah dilihat.

Walaubagaimanapun, apa yang menarik mengenai siri TV ini adalah ia menceritakan masalah-masalah yang dihadapi oleh para guru Jepun. Antaranya, dibebani kerja melampau, terpaksa melakukan kerja-kerja pentadbiran, buli oleh guru senior terhadap guru baharu dan masalah-masalah pelajar yang pelbagai. Masalah-masalah ini boleh dikatakan agak sama dengan apa yang admin lihat berlaku di kalangan guru Malaysia juga (sebelum PdPR). Admin juga merasakan kes-kes yang dipaparkan adalah berdasarkan kes sebenar.
Jadi admin berasa drama ini, walaupun tipikal, ia memberi ruang untuk membangkitkan masalah-masalah di kalangan warga pendidik di sekolah di Jepun dan admin berasa para pembikin drama di Malaysia boleh menggunakan formula yang sama untuk membangkitkan kesedaran mengenai isu-isu semasa yang membelenggu segenap lapisan masyarakat Malaysia dengan syarat pembikin filem itu membuat kerja rumah dahulu dan menyelidik latarbelakang masalah yang hendak mereka ketengahkan serta penyelesaian-penyelesaian yang mungkin.

Kesimpulannya, admin berasa siri TV ini santai dan mudah difahami. Admin sangat merekomen para guru untuk menonton siri ini dan mungkin mereka boleh mempelajari latarbelakang masalah-masalah yang berlaku di sekolah menengah rendah di Jepun. Pendedahan kepada budaya sekolah Jepun ini sahajalah yang paling menarik mengenai siri TV ini.

Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita yang mudah difahami dan santai
- Boleh mempelajari budaya persekolahan di Jepun
- Boleh lah juga menghiburkan penonton
Negatif
- Lakonan pelajar yang amatur
- Jalan cerita yang boleh diagak dan menyerupai drama TV3 pukul 7 pm, cuma tidak mengetengahkan tema cinta.

Penilaian
Jalan cerita – 6/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 6/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 6/10