How I Became A Superhero – Project Power Versi Perancis? [Review]

Sebuah filem baru yang dipromosikan dalam menu utama Netflix admin ialah filem Perancis How I Became A Superhero. Prebiunya nampak menarik, jadi tanpa berfikir panjang, admin pun menonton filem ini. Berikut adalah review admin mengenai filem ini.

How I Became A Superhero – Project Power Versi Perancis? [Review]

Filem How I Became A Superhero mengisahkan situasi di Paris, di mana orang yang mempunyai kuasa luarbiasa telah diperakui dan diterima secara rasmi oleh masyarakat umum. Sesetengah dari mereka menjadi adiwira dan sesetengah menjadi penghibur atau apa sahaja yang mereka mahu. Gary Moreau merupakan pegawai polis yang perantara antara Polis Paris dengan kumpulan adiwira bertiga yang dinamakan Pack Royale. Malangnya pasukan adiwira itu berhenti beroperasi setelah kematian ketuanya, Gigaman, 10 tahun lalu. Sejak itu Moreau terkesan dan prestasinya merudum menjadikannya seorang pegawai polis tidak berdisiplin.

Namun, kebelakangan ini polis menerima pelbagai kes di mana orang biasa mempunyai kuasa luarbiasa dengan menggunakan sejenis dadah baru yang mula dijual di pasaran gelap. Moreau dan rakan sepasukan barunya, Cécile Schaltzmann ditugaskan untuk menyiasat siapa di sebalik dadah itu. Apakah yang akan mereka temui? Tontonlah filem ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Sekilas pandang, filem ini mirip filem Project Power, di mana sejenis dadah boleh membangkitkan kuasa terpendam seseorang, namun dalam filem How I Became A Superhero, dadah ini memberikan penggunanya kuasa yang ditetapkan. Walaupun begitu, filem ini lebih kepada sebuah filem penyiasatan, siapa di sebalik bekalan dadah tersebut. Aksi merupakan perkara kedua. Dengan itu sebagai asas, jalan cerita filem ini tidak begitu berat. Ia boleh dikatakan memfokuskan kepada penonton remaja dan awal dewasa. Bagi mereka yang lebih tua dan berpengalaman dalam menonton filem aksi, filem ini hanyalah biasa-biasa sahaja.

Filem ini juga ternyata satu filem pengenalan memandangkan ia tidaklah memfokuskan kepada mana-mana adiwira secara spesifik, tetapi memberi pengenalan kepada dunia di mana terdapatnya orang yang mempunyai kuasa luarbiasa. Secara umumnya filem ini sebuah filem serious, namun terdapat juga watak-watak slapstik bagi menceriakan suasana. Walaubagaimanapun, watak-wataknya tidak begitu berkarisma dan pada pendapat admin tidak memberi impak yang besar kepada penonton. Admin tak yakin penonton mempunyai sebarang watak kegemaran selepas filem ini.

How I Became A Superhero

Tetapi kesan khas atau CGI yang digunapakai dalam filem ini boleh diberi pujian. Ia diintegrasikan dengan baik ke dalam persekitaran live action. Perkara ini dapat dilihat semasa babak-babak berlawan antara adiwira dengan orang biasa yang menggunakan dadah untuk memberikan mereka kuasa luarbiasa. Bercakap mengenai babak berlawan, babak berlawannya tiada apa yang istimewa, hanya seperti babak lawan filem barat biasa, cuma ditambah dengan kuasa seperti mengeluarkan api dari tangan atau mengeluarkan laser dari mata.

Kesimpulannya, tema dan jalan cerita filem ini mungkin akan lebih menarik minat golongan muda menontonnya, tetapi tidak golongan yang lebih berpengalaman dalam menonton filem aksi penyiasatan. Malangnya watak-watak utamanya agak tua, jadi golongan muda yang menontonnya mungkin tidak “diinspirasikan” oleh watak-watak utamanya. Di situlah paradoks dalam menonton filem ini. Bagi admin filem ini OK, cuma esok admin akan melupakan segalanya kerana tiada apa dalam filem ini cukup menarik untuk diingati.

How I Became A Superhero

Positif vs Negatif

Positif

  • Asas jalan cerita filem yang menarik
  • Kombinasi CGI dan practical effects yang baik
  • Idea cerita yang agak segar.

Negatif

  • Jalan cerita secara keseluruhan tidaklah begitu hebat
  • watak-watak yang tidak “menginspirasikan”

How I Became A Superhero

Penilaian

Jalan cerita – 7/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 7/10

Nilai hiburan – 7/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10

Netflix

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *