[Review] Kingdom S1 & S2 – Siri TV Zombie Terbaik Setakat ini

Sepanjang Arahan Sekatan Pergerakan ini, rakyat Malaysia diarahkan untuk kekal di rumah dan hanya keluar jika benar-benar perlu. Dengan itu, banyak aktiviti yang dilakukan untuk mengisi masa lapang dan mengelakkan kebosanan. Antaranya menstrim siri TV dari perkhidmatan seperti Netflix. Sedang hangat sekarang ialah siri TV Korea bertajuk ” Kingdom ” yang baru memasuki musim kedua. Admin telah lama mengetahui tentang siri TV ini, namun belum berkesempatan menontonnya sehingga kini. Setelah menonton musim 1 dan musim 2, admin bersyukur menonton kedua-dua musim sekaligus, berbanding menonton musim pertama dan kemudian terpaksa menunggu hampir setahun untuk musim kedua.

kingdom

[Review] Kingdom S1 & S2 – Siri TV Zombie Terbaik Setakat ini

Kingdom mengisahan kerajaan Korea zaman Joseon di mana terdapat ura-ura bahawa Rajanya yang sakit tenat telah mangkat tetapi telah dirahsiakan oleh para menteri dan pemaisuri. Kerana bimbang, putera mahkota Lee Chang telah cuba berjumpa bapanya itu tetapi telah dihalang oleh orang-orang menteri kanan baginda, seolah-olah ingin merahsiakan sesuatu. Kerana ingin menyiasat, Putera Mahkota telah pergi ke Dongnae untuk mencari tabib Lee Seung Hui yang merawat Raja.

Dijadikan cerita, satu wabak telah melanda di negeri itu yang menjadikan orang yang dijangkitinya seperti zombie yang dahagakan daging manusia. Bermulalah perjalanan pedih Putera Mahkota untuk menyiasat apa sebenarnya telah terjadi kepada bapanya dan orang-orang yang bertanggungjawab ke atas konspirasi untuk menutup perkara tersebut daripadanya.

Untuk mengetahui kesudahan siri TV ini, tontonlah ia di Netflix.

Review (Tanpa Spoiler)

Pertama sekali, sebab mengapa siri TV ini perlu ditonton terus-menerus dari musim pertama dan musim kedua ialah kerana musim pertama dan musim kedua merupakan satu bab yang sama. Musim pertama berakhir pada satu saat yang sangat genting dan admin rasa jika anda menonton musim pertama semasa ia keluar dahulu, anda pasti tertunggu-tunggu musim kedua dengan penuh debaran. Jadi, untuk mengelakkan stress, menonton musim 1 dan musim 2 sekaligus sememangnya digalakkan.

Perkara paling menarik mengenai siri TV Kingdom adalah plotnya. Jika kebanyakan filem atau siri TV zombie berasaskan zaman moden, Kingdom berlatarbelakangkan zaman Joseon dan agak menarik kerana pada zaman ini selain pedang dan anak panah, senapang dan meriam sudah mula digunakan dalam peperangan. Ia menjadi ramuan kepada babak-babak perang yang sangat menarik dan mendebarkan. Ditambah pula dengan ciri-ciri zombie Korea yang berlari berbanding zombie The Walking Dead yang sangat lembab pergerakannya, siri TV Kingdom memang tidak menghampakan dari segi aksi.

kingdom

Seterusnya, plotnya yang berasaskan konspirasi untuk merampas takhta sememangnya menarik. Plotnya cukup kompleks dan tidak begitu mudah dijangka sepenuhnya. Jadi bagi mereka yang sukakan cerita yang menduka minda, siri TV ini sememangnya akan mencabar minda anda. Ia umpama plot teori konspirasi filem Holywood tetapi diaplikasikan pada zaman Joseon Korea. Memang menari dan unik.

Pacing setiap episod juga dirancang dengan baik untuk mendedahkan satu per satu elemen penting dalam plot filem ini dengan cara yang mudah difahami penonton. Untuk kepuasan maksima, tumpukan perhatian kepada butiran-butiran kecil dalam setiap episod kerana perkara kecil itu sekalipun ada kaitan dengan plot keseluruhan.

Terdapat juga flashback-flashback yang berlaku sepanjang filem ini, walaupun ia membantu dalam elemen suspen dalam siri TV ini, tiada cara dilakukan untuk membezakan antara flashback dengan garis masa sebenar, menyebabkan penonton mungkin keliru sebentar. Biasanya filem-filem akan menggunakan gred warna lain untuk membezakan babak flashback dengan garis masa sebenar.

Kesudahan musim kedua Kingdom menandakan kesudahan satu bab dalam keseluruhan ceritanya dan pada musim ketiga dijangka menampilkan perubahan besar dalam plotnya dengan yang pertama dan kedua. Tambahan satu watak misteri baharu dimainkan oleh Jun Ji Hyun juga akan memainkan peranannya. Apakah watak yang dimainkannya? Kita terpaksa tunggu musim ketiga.

kingdom

Positif vs Negatif

Positif

  • Plot yang hebat dan tidak mudah dijangka
  • Aksi yang mendebarkan
  • Kesan khas yang berkualiti

Negatif

  • Pembezaan antara flashback dengan garis masa sebenar tidak jelas dan mungkin mengelirukan

kingdom

Kesimpulan

Secara keseluruhan, Kingdom merupakan siri TV zombie terbaik setakat ini dengan menggabungkan plot yang hebat, aksi yang mendebarkan serta kesan khas yang berkualiti. Ia memang berbaloi untuk anda tonoton secara berterusan di rumah. tidak seperti filem dan siri zombie lain, ia mengetengahkan satu tema politik dan teori konspirasi politik dalam plotnya. Seram bukan tema utama siri TV ini, walaupun zombienya memang agak menjijikkan hasil menggunaan kesan khas yang berkualiti. Ia sangat mendebarkan sehingga kami pasti anda tidak mampu untuk berhenti menonton selagi belum habis episod terakhir.

Penilaian

Jalan cerita – 9/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 9/10

Nilai hiburan – 10/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 9/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *