iZombie merupakan satu siri TV terbaharu yang akan ditayangkan di WarnerTV HD, HyppTV saluran 613 bermula 22 Mac pukul 9 malam. Ia dibikin berasaskan buku komik yang ditulis oleh Chris Roberson dan Michael Allred dan diterbitkan oleh DC Comics Vertigo bermula tahun 2010 hingga 2012.
Pandangan Pertama : iZombie [DramaTV]
iZombie mengisahkan seorang pelajar perubatan bernama Liv Moore yang teleh bertukar menjadi zombie selepas satu parti yang mana pengunjungnya telah menggunakan dadah eksperimen yang dijangkiti virus zombie itu.
Beliau yang masih hidup dan masih boleh berfikir (tidak seperti zombie yang digambarkan dalam siri Walking Dead) terpaksa menjalani kehidupan seharian dengan bekerja di bilik mayat dan memakan otak mangsa pembunuhan. Beliau mendapati dirinya mempunyai kuasa luar biasa selepas memakan otak mangsa pembunuhan di mana beliau mempunyai memori orang yang beliau makan otaknya. Kemudian beliau menggunakan kuasanya itu untuk membantu polis menyelesaikan kes pembunuhan berkaitan mangsa.
Saya telah menonton episod pertama siri ini dan mendapati ia sangat menyeronokkan. Ianya bukanlah siri yang terlalu berat, namun ia tidaklah siri yang kosong dan tiada makna. Jalan ceritanya padat dan bersifat “straight to the point” di samping lakonan mantap oleh watak utamanya. Dengan kata lain pandangan pertama saya positif dan saya merasakan ia sememangnya satu siri TV yang berbaloi untuk diikuti. Diharap siri TV ini dapat mengekalkan standardnya dalam siri yang akan datang.