Sedang admin membelek-belek senarai rancangan di Netflix, terlintas di depan mata admin satu muka yang macam admin kenal. Admin tekan ikon rancangan tersebut dan mendapati tajuk dramanya Inhuman Resources. Lebih menarik watak utamanya dimainkan lagenda bolasepak Manchester United, Eric Cantona.
Inhuman Resources – Drama Ala Money Heist Lakonan Eric Cantona
Inhuman Resources adalah sebuah drama Perancis berlatarbelakangkan dunia korporat negara tersebut yang terpaksa membuang pekerja atas nama optimasi dan penjimatan kos. Ia mingikuti watak Alain Delambre, berumur 57 tahun, salah seorang yang telah dibuang kerja itu dan hanya mampu mendapat kerja-kerja sambilan setelah 6 tahun dibuang kerja. Ini juga menyebabkan belau sentiasa dalam keadaan marah disebabkan tekanan hidup dan kehilangan maruah kerana terpaksa bekerja dengan gaji rendah walaupun berumur serta mempunyai pengalaman luas.
Sementara itu, syarikat konglomorat Exxya di bawah CEO Alex Dorfmann, sedang mengahadapi tekanan untuk membuang lebih 1200 orang pekerjanya di salah sebuah kilangnya kerana kilang tersebut akan menjalani naiktaraf automasi bagi menjimatkan kos. Perkara tersebut dijangka akan menerima bantahan teruk dari pekerja kilang tersebut. Oleh itu syarikat itu memerlukan seorang pegawai yang “berhati kering” dan setia bagi menduduki jawatan tersebut.
Bagi melaksanakan pelan ini, Alex Dorfmann bersama perundingnya telah merancang satu ujian kepada pegawai atasannya untuk menguji ketahanan dan kesetiaan mereka kepada syarikat, di mana beliau akan melakukan satu kejadian penahanan tebusan olok-olok. Untuk memastikan ia berjaya, mereka memerlukan seorang “recruiter” yang boleh membentuk soalan-soalan dalam ujian tersebut yang membolehkan kredibiliti sebenar pegawai-pegawai atasannya terserlah.
Di sinilah peranan Delambre. Beliau antara beberapa calon yang telah disenaraipendek untuk jawatan tersebut. Walaupun kerja ini ternyata bertentangan dengan prinsipnya sebagai seorang yang anti-budaya korporat toksik, beliau terpaksa juga mencuba setelah dibuang kerja dan disaman beberapa pihak.
Apakah yang akan dilakukan Delambre? Tontonlah drama ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Perkara pertama yang admin sedar mengenai drama ini ialah ia hanya 6 episod. Sejujurnya ia agak pendek dan setelah menonton keseluruhan siri ini, jelas sekali sesetengah dari episodnya kelihatan tergesa-gesa dalam membentangkan jalan cerita. Mungkin lebih baik jika ia disiarkan dalam 8 episod supaya jalan ceritanya boleh diolah dengan lebih baik. Namun yang baiknya, kerana ia 6 episod, ia boleh ditonton dengan cepat.
Apabila menonton drama ini, meneliti lakonan Eric Cantona tentunya tidak dapat dielakkan. Admin tidaklah mengenali Eric Cantona secara peribadi, tetapi mengikut pengalaman terhad menonton beliau di TV semasa admin di bangku sekolah, karekter Delambre ini boleh dikatakan sangat bertepatan dengan personaliti Cantona dialam dunia sebenar. Lakonannya sebagai Delambre sangat membanggakan. Ini termasuklah lakonan para watak sampingan. Semua mereka serasi dan bersama-sama menjadikan drama ini satu drama yang menghiburkan.
Jalan ceritanya mempunyai tema ala Money Heist, iaitu protagonisnya mempunyai satu perjuangan melawan ketidakadilan yang dilakukan ke atas masyarakat. Sehingga pertengahan siri, itulah naratif yang diketengahkan, namun menjelang kesudahannya, drama ini mengajak penonton berfikir adakah semuanya yang dilakukannya berbaloi dan adakah benar beliau menentang ketidakadilan? Sungguhpun jalannya sedikit tergesa-gesa di bahagian tengahnya, ia tidak banyak mengurangkan suspen drama ini. Cuma mungkin pengakhiran siri ini sedikit tidak memberangsangkan. Tetapi itu dijangka kerana setelah menonton separuh pertama episod terakhir, penotonon sudah boleh membuat kesimpulan bahawa akan ada musim kedua Inhuman Resources yang akan merungkai isu-isu yang belum diselesaikan dalam musim pertama.
Secara keseluruan drama bersiri ini satu drama yang baik, walaupun bukan yang terbaik. Drama Money Heist lebih baik berbanding ini. Namun, jarang sekali kita lihat lagenda bolasepak berlakon dalam drama bersiri. Walaupun babak aksinya tidak banyak, ia mempunyai mesej yang global dan mudah difahami.
Positif Vs Negatif
Positif
- Eric Cantona!
- Jalan cerita yang menarik. Putaran plot juga tidak dijangka
- Lakonan mantap semua pelakon
Negatif
- Jalan cerita sedikit tergesa-gesa kerana ingin memuatkan cerita dalam 6 episod
- Pengakhiran yang tidak muktamad, mungkin kerana terdapat musim kedua.
Kesimpulan
Kesimpulannya drama Inhuman Resources adalah sebuah siri drama yang agak menarik, namun beberapa faktor menyebabkan ia tidak sampai ke tahap yang sama dengan Money Heist iaitu jalan cerita yang agak tergesa dan element melawan ketidakadilan korporat itu tidak begitu jelas. Walaubagaimanapun, dengan putaran plot dan lakonan mantap watak-wataknya, ia sudah cukup untuk membuat penonton merasakan drama ini berbaloi untuk ditonton.
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10
Nilai hiburan – 8/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10