Bila bercakap mengenai Jerman, filem dan siri TV bukan perkara pertama yang terlintas di fikiran kebanyakan rakyat Malaysia. Satu-satunya filem Jerman yang boleh kami fikirkan adalah filem “The Downfall” yang merupakan filem terkenal yang menjadi meme Hitler yang viral. Siri TV Jerman yang boleh kami fikirkan pula adalah Generation War, mengisahkan sekumpulan rakan yang menempuhi zaman Peperangan Dunia Kedua sebagai askar dan jururawat Jerman. Jadi apabila pembaca Wayangkini.com bernama Siti Aina menghantar mesej dan merekomen kami menonton dan review siri TV Netflix bertajuk “Dark”, kami agak skeptik. Namun atas permintaan, kami menonton juga siri tersebut yang telah masuk ke musim kedua dan dijangka akan menyiarkan musim ketiga (musim terakhir) dalam bulan Julai ini.
[Review] Dark – Siri Pengembaran Merentas Masa
Dark mengisahkan satu bandar kecil bernama Winden, Jerman di mana berlakunya kes kehilangan remaja secara misteri. Bandar Winden merupakan satu bandar yang menempatkan reaktor nuklear pertama Jerman barat. Disamping pihak pengurusan reaktor nuklear yang berkelakuan aneh, bandar tersebut juga mempunyai sebuah rangkaian gua yang dikatakan berkait rapat dengan misteri kehilangan remaja tersebut. Bagaimana ia berkait antara satu dengan lain? Semuanya akan dibongkarkan dalam siri TV ini. Tontonlah siri ini di Netflix.
Review
Jika anda mengenali orang Jerman, tentulah anda boleh mengaitkan sifat-sifat seperti sistematik, teratur, jitu dan teliti dengan budaya masyarakatnya. Siri Dark ini menggambarkan sikap-sikap tersebut dalam pembikinannya. Pertama sekali siri in mengambil teori-teori pengembaraan masa yang paling kompleks untuk dijadikan asas keseluruhan ceritanya. Akibatnya, jalan cerita siri ini akan mengikuti 3 garis masa berlainan dalam 3 generasi beberapa keluarga yang menjadi watak-watak utama dalam siri ini.
Tetapi walaupun teori pengembaraan masa yang digunapakai sangat kompleks, kelebihan utama orang Jerman ialah mereka sangat sistematik. Dengan mengambil kira sikap tersebut, setiap episod disusun secara sistematik bagi membolehkan penonton menangkap dan mengikuti jalan ceritanya. Setiap episod hanya mempunyai sedikit maklumat jalan cerita, tetapi diolah secara perlahan supaya penonton boleh benar-benar hadam maklumat tersebut.
Walaubagaimanapun kelemahan cara ini adalah jalan ceritanya berkembang dengan agak perlahan kerana adalah sangat penting bagi penonton mengenal setiap watak dan peranan mereka dalam jalan cerita. Bukan itu sahaja, setiap watak itu digambarkan pula pada zaman 3 zaman yang berbeza dipisahkan 33 tahun antara satu dengan lain. Tambahan pula, penonton prlu ingat siapa yang ada affair dengan siapa.
Jadi penonton bukan sahaja perlu cam setiap watak, malah perlu cam watak tersebut pada tahun 2019, 1986 dan datuk nenek mereka yang hidup pada tahun 1953 serta mengenalpasti kaitan mereka dengan apa yang berlaku pada setiap zaman. Ini kerana mengikut teori pengembaraan masa dalam siri ini, masa kini berkait dengan masa depan dan masa depan berkait dengan masa silam.
Dengar macam kompleks bukan? Tapi kami yakin dengan kebolehan anda memahaminya selagi kecekapan Bahasa Inggeris anda memuaskan.
Segala usaha anda untuk memahami jalan cerita akan berhasil apabila sedikit demi sedikit maklumat terungkai dan “the bigger picture” mengenai pengembaraan masa didedahkan. Anda akan berasa bangga dengan diri anda sendiri kerana dapat memahami jalan ceritanya yang pada 2 episod awal seolah-olah sangat membosan.
Jangan salah faham, siri ini adalah siri sci-fi thriller dan hampir tiada babak-babak aksi, tembak-menembak mahupun bergaduh. Kepuasan menonton ada pada memahami jalan ceritanya yang kompleks. Pendedahan pada penghujung episod terakhir musim kedua siri ini menambahkan lagi satu lapisan kompleksiti pada jalan cerita siri ini. Sungguhpun demikian kami berasa tidak sabar untuk menonton musim ketiga bermula bulan hadapan.
Jadi sebagai ringkasan, siri ini sesuai untuk ditonton oleh mereka yang suka filem yang mencabar minda dan bukan untuk mereka yang cepat bosan apabila tiada babak aksi.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita dan plot yang menarik serta mencabar minda
- Sukar mencari “plot hole” (mungkin sebab jalan cerita memang kompleks, apatah lagi nak mencari kelemahan dalam plot)
- Props yang digunakan dalam setiap zaman (2019, 1986 dan 1953) memang berkualiti tinggi dan jelas sekali pasukan produksi tidak menjimat bajet di situ.
Negatif
- Tidak sesuai untuk mereka yang sukakan aksi dan mempunyai tempoh perhatian yang pendek.
- Hampir tiada babak aksi
Kesimpulan
Memandangkan PKPP akan bermula, kami tidak pasti samada anda sempat atau tidak menonton siri TV ini. Walaupun setiap episod sepanjang 40-50 minit, disebabkan ia diolah dengan perlahan, anda akan merasakan setiap episod itu lebih lama dari siri TV lain. Ia sesuai untuk mereka yang gemarkan cerita yang berat dan mencari kepuasan dalam memahami teori dan jalan cerita kompleks. Kalau anda merasakan filem 9 Underground antara filem Netflix kegemaran anda, mungkin siri TV ini tidak sesuai dengan anda.
Penilaian
Jalan cerita – 9/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 9/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 9/10