[Review] Westworld Musim 3 – Berpotensi Menjadi Lebih Baik

Jika anda peminat sci-fi, tentu anda pernah mendengar mengenai siri TV HBO Westworld yang kini telah masuk ke musim ketiga. Jika anda mengikuti musim pertama dan kedua, siri ini dari segi konsepnya adalah satu siri yang berat. Tambahan pula dengan garis masa peristiwa yang berlaku bukanlah satu garis lurus. Episod-episod secara sendirinya boleh difahami, namun dari segi “bigger picture” kadang kala sukar sedikit untuk difahami. Hanya dengan menonton ulasan “pakar” di Youtube sahaja sesetengah penonton dapat memahami hala tuju jalan cerita keseluruhan kedua-dua musim tersebut. Namun, musim ketiga ini lebih “straight forward” dan mudah difahami. Berikut ulasan kami mengenai musim ketiga Westworld.

Westworld

[Review] Westworld Musim 3 – Berpotensi Menjadi Lebih Baik

Dalam musim ketiga Westworld, Deloras dan beberapa salinannya telah memasuki dunia manusia setelah melarikan diri dari Westworld dengan menyamar sebagai Charlotte Hale. Di dunia manusia, iaitu San Francisco, dunia telah dikuasai satu AI yang dinamakan Incite yang mencerap data analitik dari setiap rakyat dan membuatkan profil untuk setiap orang itu. Profil ini akan menentukan samada beilau akan mendapat peluang-peluang tertentu dalam hidup, berdasarkan strategi yang ditentukan pemilik Incite, iaitu Serac. Misi utama Deloras kali ini adalah untuk menjatuhkan Incite yang beliau percayai membelenggu kehidupan manusia, sepertimana taman tema Westworld telah membelenggu golongan “Host” atau android sepertinya.

Apakah beliau akan berjaya? Tontonlah siri ini di saluran HBO untuk mengetahui kesudahannya.

Westworld

Review

Secara keseluruhan kami berpuas hati dengan Westworld musim ketiga ini. Premisnya sangat releven dengan kehidupan masa kini yang serba canggih dengan data dan analitiks memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Keselamatan data dan penggunaan data juga satu isu yang besar pada masa kini. Banyak syarikat analitiks yang menyalahgunakan data yang mereka kumpul untuk kepentingan agenda mereka tersendiri samada untuk tujuan politik atau keuntungan dari segi kewangan. Dalam Westworld musim ketiga ini Serac menggunakan data ini untuk mengawal manusia dan meletakkan mereka di tempat mereka mengikut profil mereka. Sebagai contoh, watak Caleb yang merupakan seorang bekas askar yang mempunyai sejarah ditinggalkan ibunya dan cenderung kepada keganasan. Dengan profil berkenaan, Beliau sukar mendapat pinjaman, sukar mendapat kerja yang lumayan dan hanya bekerja sebagai buruh binaan dan mengambil upah membuat tugasan dari satu app bernama Rico yang menawarkan tugasan yang tidak begitu mematuhi undang-undang.

Cuma watak Bernard dan Stubbs tidak mendapat perhatian yang besar dalam musim ini. Namun watak Bernard dijangka akan memainkan peranan dalam musim 4 nanti berdasarkan episod pengakhiran. Bercakap mengenai watak, satu lagi perkara yang mencuri perhatian ialah bagaimana terdapat banyak watak yang mempunyai agenda tersendiri hingga menjadikannya mengelirukan untuk menentukan siapa yang jahat dan siapa yang merupakan hero.

Dari segi rekaan dunia masa depan, siri ini memang terbaik. Dari kenderaannya, aplikasi telefon pintar dan konsep teknologinya sememangnya nampak konsisten dengan hala tuju teknologi masa kini. Dari segi aksinya pula, kami rasakan ini antara musim yang paling penuh dengan aksi, cuma kali ini lebih banyak teknologi digunakan berbanding musim sebelumnya yang berlangsung di taman tema Westworld pada zaman “Wild West” dan zaman Shogun Jepun.

Westworld

Tetapi di sebalik semua yang tersirat, apa yang paling utama dalam siri Westworld ini adalah falsafah yang dibawanya iaitu, “free will” atau kebebasan memilih pada manusia. Dari pandangan Serac, manusia ini jika tidak dikawal, akan berpotensi menggugat keamanan dan kelangsungan kehidupan di muka bumi. Oleh sebab itulah beliau membina AI bernama Incite yang secara tidak langsung mengawal kehidupan manusia dari melakukan kekacauan atau lebih teruk, peperangan dan apabila beliau menemui golongan yang dipanggil “Outliers” iaitu golongan yang berfikiran tidak selari dengan manusia biasa dan sukar dijangka, Serac akan menangkap dan “memenjarakan” mereka dalam satu keadaan seakan koma. Dari pandangan Deloras pula, pada mulanya beliau disangka ingin menjatuhkan kaum manusia dengan cara menjatuhkan Incite, akhirnya tidak seperti dijangkakan. Bagaimana kesudahannya? Tontonlah sendiri untuk mengetahuinya.

Westworld

Pada akhirnya Westworld sejak musim pertama lagi secara asasnya adalah mengenai falsafah. Bagi anda yang minat falsafah, filem atau siri sebegini akan menepati citarasa anda. Namun, admin merasakan falsafahnya menarik tetapi implimentasinya kurang sedikit. Revolusi yang dianjurkan Deloras pada pendapat kami tidak cukup mendalam untuk memberi impak yang kami harapkan. Banyak watak juga tidak dibina secara mendalam. Contohnya tujuan Bernard dan Stubbs berada dalam musim ini juga tidak jelas dan tidak mempunyai banyak impak kepada jalan cerita.

Westworld

Positif vs Negatif

Positif

  • Falsafah dan premis yang kukuh
  • Babak aksi yang menarik
  • Rekaan dunia masa depan yang menarik.

Negatif

  • Kurang sedikit dalam pembinaan jalan cerita dan watak
  • agak pendek (8 episod) yang kami rasakan tidak cukup setelah mengambil kira pacing jalan ceritanya.

Kesimpulan

Secara umumnya musim ketiga Westworld memuaskan tetapi bukanlah yang terbaik. Ia tidak mempunyai putaran plot yang tidak dijangka dan jalan ceritanya mempunyai sedikit kelopongan yang menghalan ia mencapai potensi sepenuhnya. Namun, babak aksi dan rekaan dunia masa depannya memang terbaik. Bagi anda yang telah menonton musim pertama dan kedua, musim ini menjadi kewajiban. Bagi anda yang ingin mula menonton siri ini dari musim pertama, ada sedikit amaran terdapat banyak babak “tanpa pakaian”. Jadi berhati-hati.

Penilaian

Jalan cerita – 8/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10

Nilai hiburan – 8/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 10/10

Rotten Tomatos

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *