Admin sedang menonton satu siri TV bertajuk Resident Alien yang sedang disiarkan di saluran Fox di Astro. Filem Sci-fi komedi ini telah masuk ke episod ke 5 dan admin setakat ini terhibur dan merasakan anda juga patut juga menontonnya.
Resident Alien – Filem Sci Fi Komedi yang Melucukan [Pandangan Pertama]
Resident Alien mengisahkan seorang makhluk asing yang meninjau bumi, tetapi cuaca buruk menyebabkan kapal angkasanya terhempas di pergunungan sekitar sebuah pekan terpencil bernama Patience, Colorado. Bagi mengelakkan diri dari ditangkap beliau telah membunuh (sebenarnya tidak sengaja membunuh) dan mengambil identiti seorang yang bernama Dr Harry Vandarspeigle yang tinggal berseorangan di dalam sebuah kabin berhampiran tasik di pergunungan tersebut. Sementara beliau mencari semula komponen kapal angkasanya yang terhempas dan membaikinya untuk pulang semula ke planetnya, beliau terpaksa menyesuaikan diri kepada kehidupan manusia.
Satu hari, polis datang ke rumahnya. Mereka sedang mencari seorang doktor untuk menyiasat kematian satu-satunya doktor tempatan di pekan tersebut. Di samping itu, oleh kerana pekan itu tiada lagi doktor tempatan, Dr Vandarspeigle terpaksa dijadikan doktor sandaran sementara mereka mencari doktor pengganti. Memburukkan keadaan, seorang budak di bantar tersebut merupakan antara sejumlah orang yang boleh melihat rupa sebenar beliau dan tahu beliau seorang makhluk asing.
Pelbagai perkara lucu berlaku sepanjang episod-episod siri ini dan untuk mengetahui kisahnya, tontonlah siri ini di Astro saluran Fox.
Pandangan Pertama
Walaupun admin belum menonton habis siri ini, memandangkan ia menyiarkan satu episod setiap minggu dan bukannya semua episod sekaligus, admin merasakan siri ini amat lucu dan menghiburkan. Lawak jenakanya juga bukan jenis slapstick, sebaliknya lawak jenaka yang agak bijak dan paling penting menghiburkan. Jalan ceritanya mengisahkan perjalanan seorang makhluk asing, yang pada mulanya membenci manusia dan ingin menghapuskan mereka, sedikit demi sedikit mengenali manusia dan mula membuka mindanya terhadap berkawan dengan manusia. Dalam dunia sebenar mesej yang disampaikan adalah kita mungkin membenci suatu yang kita tidak kenal, walhal ia jauh lebih baik dari apa yang kita sangkakan atau pendek kata “tak kenal maka tak cinta”.
Watak-watak dalam siri ini juga sangat berkarakter. Lakonan watak utamanya Dr Vadarspeigle sangat berkesan. Makhluk asing yang dilakonkannya bersifat direct, genius dan tiada hati perut, tetapi naif terhadap budaya hidup manusia, jadi wataknya digambarkan seperti seorang yang mempunyai autism dan lakonannya memang meyakinkan dan lucu. Yang paling melucukan ialah segala ilmu perubatan dipelajarinya daripada internet, namun berjaya merawat pesakit-pesakitnya di klinik tempatan dimana beliau terpaksa ditempatkan akibat kematian doktor sebelum ini.
Terdapat juga dua watak kanak-kanak yang menjadi “musuh” utama Vandarspeigle kerana mereka tahu beliau adalah seorang makhluk asing. Lankonan mereka juga berkesan dan menambahkan nilai hiburan kepada siri TV ini.
Secara keseluruhannya dari 5 episod yang ditonton setakat ini, kekuatan siri Resident Alien adalah bukan sahaja kerana ia melucukan dengan cara yang bijak, malah ia juga mengetengahkan isu-isu kemasyarakatan dan peribadi watak-wataknya di mana penonton juga boleh mengambil iktibar darinya. Sukar untuk mengagak kesudahan siri ini dan adakah Vandarspeigal akan kekal di bumi atau pulang ke planet asalnya, tetapi apa pun, kisahnya pasti melucukan.
Tontonlah siri ini di saluran Fox di Astro 704.