Beberapa hari lalu admin terpandang sebuah siri Jepun dari 2015 bertajuk I’m Home lakonan Takuya Kimura yang mula ditayangkan di Netflix. Memandangkan admin sudah agak tepu dengan filem/siri Korea dan Holywood, admin pun mula menontonnya. Maklum lah, siri Jepun boleh dikatakan sebagai “detox” kepada penonton memandangkan ia memaparkan nilah moral yang baik dan jalan cerita yang mudah difahami serta boleh dijangka. Berikut merupakan pendapat admin setelah menonton 4 episod dari 10 episodnya.
I’ m Home – Filem Kekeluargaan Yang Menarik [Review]
I’m Home mengisahkan Ieji Hisashi yang telah mengalami satu kemalangan tempat kerja yang teruk menyebabkan memorinya dari 5 tahun sebelumnya hilang atau menjadi samar-samar. Beliau seorang pekerja teratas di sebuah syarikat sekuriti (berurusan dengan saham, pengambilalihan syarikat dan sebagainya) dan sebahagian dari pasukan jualan nombor 1 di dalam syarikatnya. Tetapi kerana kemalangan tersebut, beliau diturunkan ke pasukan jualan tercorot, iaitu pasukan jualan nombor 13 yang terdiri dari pekerja yang telah jatuh pangkat disebabkan perkara tertentu dan sudah tidak mempunyai dorongan untuk bekerja keras.
Kisah yang ingin diketengahkan ialah sebelum kemalangan, beliau adalah seorang yang terlalu mementingkan kejayaan, hasilnya adalah seorang yang berperwatakan yang tidak berhati perut. Tetapi setelah kemalangan dan hilang ingatan, sifatnya bertukar 180 darjah. Tambahan pula beliau mempunyai beberapa kunci di tangannya, tetapi tidak tahu kunci tersebut untuk apa. Setiap siri menunjukkan usaha Hisashi untuk mengetahui kegunaan setiap kunci dan isu-isu yang berkaitan dengannya serta bagaimana beliau menyelesaikan isu tersebut.
Secara keseluruhan pula, sejak kemalangan tersebut membuatkan Hisashi mempunyai trauma yang menyebabkan beliau tidak dapat melihat wajah isteri dan anak terkini beliau sebaliknya hanya nampak topeng sebagai ganti. Berlainan pula dengan bekas isteri dan anaknya dari perkahwinan sebelum yang beliau boleh melihat seperti biasa. Jadi, di samping isu-isu per episod, Hisashi perlu merungkai misteri kenapa beliau tidak boleh melihat wajah isteri dan anaknya serta apakah kaitannya dengan bekas isteri dan anaknya.
Review
Sebab utama admin ingin review siri I’m Home ini walaupun belum habis menonton 10 episodnya adalah kerana dulu sekitar tahun 2011-2012 atau mungkin 2013, admin sudah lupa, admin pernah menyertai satu acara untuk membentangkan idea untuk filem atau siri TV di DFKL. Walaupun idea admin gagal meyakinkan juri, premis idea siri admin adalah serupa dengan idea siri I’m Home ini. Bezanya I’m Home ini lebih bertemakan kekeluargaan, manakala idea admin lebih kepada persahabatan. Dan dari apa yang dilihat dalam siri TV Jepun ini, executionnya agak sempurna dan admin amat sukakannya.
Jalan ceritanya mudah difahami, menarik dan misterinya juga dibentangkan dengan baik. Tambahan pula, selain misteri berasaskan episod, misteri jangka panjangnya juga didedahkan sedikit demi sedikit pada setiap episod membuatkan penonton teringin menonton episod seterusnya dan mula membuat spekulasi apakah misteri yang akan dirungkai pada setiap episod.
Admin belum lagi dapat komen banyak mengenai jalan ceritanya, namun admin yakin daripada menonton hanya 4 episod, admin sudah mendapat rentak siri TV Jepun ini dan boleh mengagak struktur jalan cerita yang akan ditayangkan dalam episod seterusnya. Admin juga yakin jika anda menonton episod pertama dan sukakannya, anda tentu akan dapat menonton sehingga ke penghujung kerana tahap tarikan siri TV ini dilihat konsisten dalam 4 episod admin tonton setakat ini. Bermakna tiada episod yang tak menarik berbanding yang lain pada pandangan admin.
Tidak dinafikan admin memang sukakan siri TV sebegini, namun admin tidak merasakan ia sebuah siri yang luarbiasa. Tambahan pula, admin merasakan siri TV ini hanya akan menarik minat golongan 30 tahun ke atas kerana tema kekeluargaannnya dan bukan bertemakan cinta. Tetapi kerana itu jugalah ia boleh ditonton oleh sesiapa sahaja kerana tidak mempunyai unsur ganas atau lucah.
Positif vs Negatif
Positif
- Plot dan premis cerita yang menarik
- Prestasi episod yang konsisten
- Misteri-misteri yang menyebabkan penonton sentiasa tertarik untuk menonton
- Secara tidak langsung memaparkan budaya kerja orang Jepun dan satu percubaan untuk mengubah budaya buruk terlebih kerja.
Negatif
- Tiada revolusi dari mana-mana sudut
- Mungkin tidak menarik bagi golongan 30 tahun ke bawah atau golongan fanatik K-Drama
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10