Sejak tersiarnya trailer filem Space Sweepers tidak lama dahulu, admin memang tertunggu-tunggu permulaan siaran filem Space Sweepers di Netflix. Filem ini telah mula ditayangkan di platform penstriman tersebut dan ia tidak menghampakan. Berikut pendapat admin mengenai filem ini.
Space Sweepers – Pengembaraan Angkasa Lepas yang Hebat [Review]
Kisah Space Sweepers berlangsung pada tahun 2092 di mana bumi telah terlalu tercemar dari segi udara, tanah dan air. Kehidupan di bumi sukar. Sebuah syarikat konglomorat, UTS merupakan syarikat terbesar dan terkaya dunia. Ia telah membina kawasan-kawasan penempatan dalam orbit angkasa. Bergantung kepada status kewangan seseorang, seseorang itu boleh tinggal di sebuah “syurga” atau di penempatan golongan pekerja yang sempit dan padat. Presiden UTS, James Sullivan merancang untuk terraform (mengubah atmosfera menjadi seperti bumi) planet Marikh menggunakan teknologi Tree of Life untuk membolehkan manusia tinggal di planet tersebut.
Sementara itu, sepasukan pengutip sampah angkasa yang dianggotai Tae-ho, Captain Jang, Tiger Park dan Robot Bubs, mencari rezeki harian dengan membawa mengutip dan menjual sampah sarap angkasa yang terdiri daripada besi-besi buruk, serta kapal angkasa dan satelit rosak. Hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Satu hari, mereka berjaya mengutip satu kapal angkasa rosak. Di dalamnya rupa-rupanya terdapat seorang budak perempuan 7 tahun dan budak yang digelar Dorothy itu sedang dicari oleh UTS Space Guards kerana dikatakan dia sebuah robot yang mempunyai bom didalamnya.
Tetapi, didapati organisasi Black Foxes juga mencari budak itu. Mereka merancang untuk menjual budak tersebut kepada kumpulan Black Foxes untuk 2 juta dollar, wang ini lebih dari cukup untuk mereka memabayar hutang-hutang dan cukai yang dikenakan ke atas mereka. Segalanya tidak mengikut perancangan. apakah yang akan terjadi kepada budak itu? Tontonlah filem in di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Dari pandangan pertama, admin agak kagum dengan beberapa perkara mengenai filem ini. Latarbelakang masa hadapan distopianya telah dihasilkan dengan baik. Tidak sebaik filem Holywood dengan bajet besar, tetapi cukup baik untuk sebuah filem asia. Admin agak kagum dengan cara mereka mengantarabangsakan filem ini. Biasanya kerana setiap bangsa mempunyai cara ekspresi berbeza dalam bahasa mereka, jadi agak sukar untuk menyeragamkan bahasa pengantar sesebuah filem. Dalam Space Sweepers, setiap orang mempunyai alat penterjemah bahasa, jadi mereka boleh bercakap apa bahasa sekalipun dan semua orang boleh faham.
Ini satu cara kreatif untuk menghapuskan tembok bahasa dalam komunikasi antara setiap watak. Jadi ada orang Arab, Perancis, Russia dan lain-lain dalam satu pasukan dan mereka boleh bekerjasama serta saling memahami percakapan antara mereka. Tambahan pula kebanyakan orang akan membaca sarikata, jadi berapa banyak bahasa pun yang digunakan, tidak mengapa.
Rekaan set, peralatan teknologi masa depan dan animasi CGInya juga above average untuk sebuah filem asia. Biasanya Holywood merupakan juara dalam CGI dan rekaan teknologi masa hadapan, namun filem ini, walaupun tidak setanding Holywood, boleh dikatakan terbaik yang pernah admin lihat dalam sebuah filem asia.
Kemudian, setiap watak mempunyai latarbelakangnya dan konflik dalamannya sendiri dan setiap konflik ini akan diselesaikan sepanjang jalan cerita filem ini. Bermakna di penghujung filem ini, setiap watak akan ada penyelesaian kepada konflik masing-masing. Ini menjadikan setiap watak relatable kepada penonton.
Bercakap mengenai jalan ceritanya, sebenarnya jalan ceritanya bukanlah satu revolusi atau apa. Malah jalan cerita seperti Space Sweepers ini seperti penah digunakan dalam filem-filem Holywood. Ia seperti campuran filem Guardians of the Galaxy dengan Avatar, dari segi jalan cerita. Namun pengolahan yang lucu dan menyentuh hati memang tipikal menggambarkan sentuhan pembikin filem Korea yang pasti membuat ramai beremosi menonton filem ini. Elemen kemanusiaan inilah yang biasanya kurang menonjol dalam filem sci-fi Hollywood.
Secara keseluruhan, jika anda gemar filem seperti Guardians of the Galaxy, filem ini mesti anda tonton dan kebarangkalian anda menyukainya adalah tinggi.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita dan pengolahan yang menghiburkan
- Watak-watak yang ada karakter dan karisma tersendiri
- Rekaan set, teknologi dan CGi yang baik
Negatif
- Jalan cerita bukanlah idea baru.
- Watak-watak bukan Korea masih sedikit kaku walaupun ia antara yang terbaik dalam sebuah filem Asia.
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 9/10
Nilai hiburan – 10/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 9/10