The Night Comes for Us – Filem Aksi Indonesia Yang Ganas [Review]

Kalau anda mengikuti perkembangan filem aksi Indonesia terutamanya The Raid dan The Raid 2, anda tentu menyedari satu trend filem-filem Indonesia yang seumpama filem-filem berkenaan. Terdapat beberapa filem yang dalam pemerhatian admin, tetapi hari ini admin mahu mengulas filem yang baru admin tonton, The Night Comes for Us, satu filem aksi yang dibintangi oleh Iko Uwais, Joe Taslim dan Asha Kenyeri Bermudez di Netflix.

The Night Comes for Us – Filem Aksi Indonesia Yang Ganas [Review]

The Night Comes for Us adalah sebuah filem aksi Indonesia yang mengisahkan satu rangkaian kongsi gelap di Asia Tenggara yang diketuai 7 orang pemimpin digelar  Seven Seas. Sekumpulan gangster kecil-kecilan telah menyertai kongsi gelap ini dan meningkat naik dalam kumpulan itu. Ito merupakan salah seorang dari mereka yang telah naik sehingga menjadi salah seorang Seven Seas di Indonesia dan Arian seorang lagi rakan gangsternya yang ditempatkan di Macau untuk menjaga satu kelab malam yang diusahakan kongsi gelap.

Satu hari, Ito diarahkan menghapuskan penduduk satu kampung yang telah mencuri dari kongsi gelap tersebut, semua penduduk kampung telah dibunuh kecuali satu kanak-kanak perempuan bernama Reina. Ito tidak sampai hati untuk membunuh beliau, malah telah serik dengan semua kerja membunuh itu. Oleh itu beliau telah membunuh semu anak buahnya dan melarikan diri dengan budak perempuan itu.

 

Ito mencari semua rakan-rakan gangsternya dahulu Bobby dan Fatih dengan harapan mereka boleh membantunya keluar dari negara. Bobby dan Fatih dahulunya tidak mahu mengikut Ito dan Arian menyertai kongsi gelap dan kekal di “kampung halaman” mereka. Sementara itu ketua kongsi gelap bernama Chien Wu mengarahkan Arian untuk membunuh Ito. Beliau serba salah antara pangkat dan rakan lama. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Tontonlah filem ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.

Night Comes for Us

Review

Untuk memudahkan review, admin ulas dahulu perkara-perkara kurang penting mengenai filem ini. Secara keseluruhan, filem ini mempunyai jalan cerita yang mudah iaitu gangster bertaubat sambil menyelamatkan kanak-kanak, kemudian beliau melarikan diri demi melindungi kanak-kanak tersebut tetapi dikejar kongsi gelap. Rakan karibnya pula diletakkan sebagai orang yang bertanggungjawab untuk membunuhnya. Jalan ceritanya ringkas dan tiada putaran plot yang kompleks. Sangat straight forward. Ia kelihatan seperti sebuah filem bajet sederhana. Tiada CGI, tetapi menggunakan banyak aksi lagak ngeri yang melibatkan physical effect.

Kekuatan atau isi utama filem ini adalah babak-babak aksinya yang banyak. Boleh dikatakan 80% filem ini adalah babak aksi samada berlawan atau tembak menembak. Dan babak-babak lawan dan aksinya memanglah terbaik! Jika anda telah menonton filem The Raid dan the Raid 2, anda boleh banyangkan tahap aksi yang dipertontonkan, cuma gandakan kehebatannya dan keganasannya sebanyak 10 kali.

Bukan itu sahaja, tahap keganasan (blood and gore) filem ini kalau diukur dengan sekala 1-10, ia mungkin mendapat 12 dari 10. Percayalah, babak aksinya ganas gila! Namun bukan ganas sebarangan. Koreografinya dibuat dengan sangat baik dan agak realistik, walaupun efek darah palsu dan anggota badan palsu mungkin tidak dapat menandingi Hollywood. Apa yang pasti kesengsaraan yang dipaparkan di skrin amat terasa dan segala macam kata-kata kesat Indonesia boleh anda pelajari melalu filem ini. Jadi tanpa syak, filem ini tidak sesuai untuk kanak-kanak dan golongan di bawah 18 tahun.

Night Comes for Us

Bagi penonton yang pertama kali menonton filem aksi Indonesia, terutamanya yang dibintangi Iko Uwais atau Joe Taslim mungkin akan terkejut dengan tahap keganasannya (macam ayah admin yang turut menotnon filem ini), tetapi admin telah menonton filem The Raid, jadi tidak terkejut, malah memang mengharap tahap keganasan sebegini.

Kesimpulannya, review filem The Night Comes for Us amat mudah. Bagi mereka yang gemarkan filem aksi yang melibatkan banyak gerakan seni mempertahankan diri yang berkelas dunia, di samping aksi tembak menembak  yang mendebarkan, filem ini untuk anda. Admin jamin anda pasti puas hati,  malah lebih dari itu. Seolah anda suka makan nasi arab dan anda diberi satu bufet nasi arab, kemudian taukeh restoran itu menjemput anda tambah lagi nasi walaupun anda telah kenyang. Walaubagaimanapun, ia tiada jalan cerita kompleks dan oleh sebab itu pada pendapat admin jalan ceritanya terlalu ringkas untuk mempunyai sebarang sekuel. Semuanya hiburan semata-mata.

Tapi satu perkara yang mungkin anda sedari selepas menonton filem ini adalah betapa jauhnya industri perfileman Indonesia telah meninggalkan Malaysia. Kalau anda lihat komitmen para pelakon terhadap lakonan mereka dalam filem ini, memang tak dapat di bandingkan dengan lakonan pelakon Malaysia.

Night Comes for Us

Positif vs Negatif

Positif

  • Aksi berlawan dan menembak berkelas dunia
  • Jalan cerita yang OK walaupun ringkas. Sungguhpun ringkas, ia tidak menjejaskan nilai filem ini.
  • Lakonan terbaik dari pelakon-pelakon utama

Negatif

  • Sangat ganas dan banyak kata kesat digunakan
  • Penampilan watak LGBT

Night Comes for Us

Penilaian

Jalan cerita – 7/10

Lakonan/Rekaan watak-watak –8/10

Nilai hiburan – 9/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10

Netflix

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *