The Rain – Drama Sci-Fi Remaja Denmark [Review]

Sejak bermulanya pandemik Covid-19, banyak filem-filem dan siri TV berkaitan virus telah timbul, sesetengahnya filem/drama TV lama, sesetengahnya baru. The Rain merupakan salah satu Siri TV Denmark yang telah bermula pada tahun 2018 dan kini ia baru sahaja menerbitkan musim ketiga dan terakhirnya. Kami sempat menonton siri TV ini di Netflix dan berikut merupakan pendapat kami mengenainya.

The Rain – Drama Sci-Fi Remaja Denmark [Review]

The Rain mengisahkan sepasang adik beradik, Rasmus dan Simone Anderson yang merupakan anak kepada sepasang pakar biology sebuah syarikat biotek bernama Apollon. Pada permulaan siri ini, mereka dibawa oleh ibu bapa mereka ke sebuah bunker bagi menyelamatkan diri dari hujan yang dicemari virus misteri yang membunuh sebahagian besar penduduk Scandinavia (Denmark dan Sweden).

Apabila ibu mereka mati terkena hujan virus dan bapa mereka lari entah ke mana, mereka tinggal di dalam bunker tersebut selama 6 tahun. Satu hari oleh mereka diserang sekumpulan orang dan terpaksa keluar dari bunker mereka ke dunia nyata. Apakah yang bakal mereka temui? Tontonlah siri ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.

The Rain

Review

Pertama sekali, ia amat melegakan kerana siri TV ini bukan mengenai zombie. Sesiapa yang terkena virus tersebut akan mati serta merta dengan terkena sawan dan berbuih di mulut. Tamat. Sejujurnya admin telah muak dengan kisah-kisah zombie yang tidak masuk akal. Dari awal lagi jelas sekali ia melibatkan satu virus dan organisasi bernama Apollon.

Dalam tajuk review ini admin menyatakan The Rain merupakan drama Sci-Fi remaja kerana kebanyakan watak utamanya merupakan remaja atau muda-mudi sekitar awal 20an dan kebanyakan konflik dialami mereka berkisar mengenai pendewasaan dari remaja kepada dewasa, terutama pasangan adik beradik Anderson. Jalan ceritanya juga tidak terlalu tinggi tahap saintifiknya, sesuai dengan citarasa remaja. Ia lebih fokus kepada konflik dan drama.

Setiap episod penuh dengan isi kandungan jalan cerita dan kisah latarbelakang setiap watak utama baru. Ini membolehkan penonton merasakan durasi episod 40 minit seperti lebih lama dari itu. Ia padat dengan isi dan kurang babak membazir. Setiap episod juga ditamatkan pada saat yang genting menyebabkan penonton ingin sahaja menonton episod seterusnya.

Secara keseluruhannya, musim pertama dan separuh musim kedua jalan ceritanya memang berpaksikan saintifik, namun selepas itu, ia lebih mirip seperti filem “antagonis mendapat superpower dan mula lupa diri” yang biasa kita tonton. Ini ketara dalam musim ketiga dan admin rasa peminat sci-fi yang tegar mungkin akan mula hilang minat kerana ia sudah mirip filem ala Harry Potter kerana segala elemen sains telah seolah-olah bertukar menjadi magik. Asas sainsnya telah hilang. Walaubagaimanapun, para remaja mungkin akan kekal menontonnya kerana admin merasakan drama sebegini akan menonjol kepada golongan remaja, golongan dewasa mungkin perlu jalan cerita yang lebih matang untuk meyakinkan mereka untuk terus menonton. Namun harus beringat, seperti digambarkan dalam siri TV ini, remaja di barat telah dinormalisasikan dengan unsur seks dan dadah, jadi dinasihatkan remaja supaya tidak terikut-ikut dengan budaya ini.

The Rain

Siri ini juga mempunyai banyak babak aksi dan tembak-menembak, namun ia bukanlah sebahagian besar atau fokus utama siri ini. Secara keseluruhannya, jalan ceritanya menarik dan tidak membosankan, namun terdapat juga banyak segmen jalan ceritanya yang menghampakan, terutamanya kesudahannya yang agak tidak munasabah. Agaknya perkataan pertama yang keluar di minda penonton setelah menonton konklusi siri ini ialah “What…………….?”. Jika ingin digambarkan dalam bentuk graf siri ini bermula agak tinggi di permulaan musim pertama, kemudian mendatar dan naik turun di musim kedua, dan kemudian agak merudum di musim ketiga sebelum menjunam di penghujungnya.

Positif vs Negatif

Positif

  • Plot dan jalan cerita yang menarik dan tidak membosankan.
  • Semua watak dibina dengan baik bersama dengan kisah latarbelakang yang kukuh.
  • Tidak terlalu teknikal dan tidak terlalu mudah.

Negatif

  • Jalan ceritanya mula hilang fokus pada penghujung musim kedua.
  • Kesudahan yang agak hambar.

The Rain

Kesimpulan

Kesimpulannya drama sci-fi The Rain ini lebih menepati citarasa golongan remaja 18 tahun ke atas dan awal dewasa bawah 30 tahun. Golongan melebihi 30 tahun boleh menontonnya juga, namun admin tidak jamin drama ini boleh mengekalkan minat anda melebihi musim kedua. Apa pun ia satu siri yang agak pendek, musim pertama 8 episod dan musim 2 & 3 masing-masing 6 episod. Anda boleh habis menontonnya dalam sekitar seminggu dua jika anda tonton secara santai dan tidak terus menerus. Selamat menonton.

Penilaian

Jalan cerita – 7/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10

Nilai hiburan – 7/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10

Netflix

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *