Filem terbaharu yang memasuki senarai filem aksi di Netflix adalah Project Power lakonan Jamie Fox dan Joseph Gordon-Levitt. Kami sempat menonton filem ini dan berikut pendapat kami mengenai filem ini.
Project Power – Filem Aksi yang Santai [Review]
Project Power mengisahkan sejenis dadah yang hasilkan oleh satu organisasi gelap digelar Teleios, telah sengaja diedarkan dengan meluas di New Orleans sebagai “ujian manusia” sebelum ia “dikomersialkan”. Dadah khas ini apabila diambil, memberikan penggunanya kuasa luarbiasa selama 5 minit. Namun, kuasa yang diperolehi tidak dapat dipastikan sehingga mereka pertama kali mengambilnya. Sesetengah orang mendapat kuasa kekebalan, sesetengah orang mendapat kuasa api dan ada juga yang badan mereka terus meletup setelah mengambil dadah berkenaan.
Frank, seorang anggota polis NOPD, yang juga pengguna dadah berkenaan, nekad untuk mencari orang di sebalik pengedaran dadah tersebut dan menghentikan mereka. Art pula ingin mencari anak perempuannya yang telah diculik Teleios untuk ujikaji.
Adakah mereka akan dapat mencapati hajat masing-masing? Tontonlah filem ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Pertama sekali, memandangkan filem ini merupakan filem Netflix, jangkaan perlu diletakkan pada satu tahap yang munasabah memandangkan kebanyakan filem dalam saluran ini mempunyai bajet yang telah ditetapkan dan ia tidak begitu tinggi. Secara keseluruhan filem Project Power ini menepati jangkaan ini. Ia boleh dikatakan sebuah filem Netflix yang tipikal dari segi bajet dan format.
Namun ia tidak bermakna filem in sampah. Sebaliknya ia mempunyai ramuan yang cukup untuk menjadi sebuah filem layar streaming yang menghiburkan untuk ditonton secara santai. Ia mengandungi babak-babak aksi yang menarik, jalan cerita yang ringkas dan kesan khas yang boleh diterima. Segmen awal filem ini tidak terus mendedahkan kisah di sebalik semua wataknya. Ia memberikan penonton sedikit perasaan suspens sebelum ia mendedahkan sedikit demi sedikit kisah latarbelakang watak-wataknya.
Sungguhpun jalan ceritanya disusun dengan agak baik, kami rasakan pembinaan karakter watak-watak dalam filem ini ridak sempurna dan belum lagi membolehkan penonton ada satu hubungan emosi dengan mereka. Watak Robin sebagai contoh mempunyai potensi untuk menjadi watak utama yang hebat, namun kami rasakan beliau tidak diberi peranan yang lebih besar dalam jalan cerita filem ini untuk memberi impak kepada penonton. “Chemistry” antara Art dan Frank juga tidak berapa jelas dan tidak memberi gambaran bahawa mereka merupakan satu “pasukan”.
Watak musuk juga kurang jelas. Tiada satu-satu watak yang boleh diletakkan sebagai watak antagonis utama dalam filem ini, melainkan organisasi Teleios itu sendiri. Sebagai contoh, dalam filem-filem Resident Evil, Albert Wesker merupakan satu watak antagonis utama, di mana organisasi Umbrella Corp merupakan organisasi jahat. Dalam filem Project Power ini, tiada watak yang setaraf dengan Albert Wesker. Ini menjadikan hala tuju watak-watak protagonis tidak kuat atau memberi impak kepada penonton.
Dari segi kesan khas pula, tidak banyak boleh dikatakan. Ia bukanlah yang terbaik, dan tidaklah begitu teruk. Ia boleh diterima. Dinilai bersama kesan khas dunia nyata yang digunapakai dalam filem ini, jelas sekali bajet filem ini tidaklah setinggi filem-filem yang memasuki pawagam.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita yang ringkas dan mudah
- Aksi yang mendebarkan
Negatif
- Pembinaan watak agak lemah, walaupun pelakon hebat.
- Jalan cerita kurang “solid” untuk peminat filem aksi tegar.
Kesimpulan
Kesimpulannya, filem Project Power ini jelas sekali sebuah filem santai yang tidak perlu ditonton dengan mindset penilaian yang begitu serious. Ia hanya untuk hiburan hujung minggu semata-mata dan dari segi itu, ia berjaya dalam misinya. Memang betul, pembinaan watak yang agak lemah, jalan cerita yang terlalu mudah dan pelbagai lagi kelemahan filem ini tidak begitu penting. Apa yang penting ialah ia telah menghiburkan kami yang menontonnya. Tetapi kami akan melupakannya menjelang esok.
Penilaian
Jalan cerita – 6/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 7/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 6/10