Walaupun bulan Ogos ini merupakan musim “Hungry Ghost Festival” dan banyak filem seram ditayangkan, admin lega terdapat juga filem yang bukan dari genre berkenaan ditayangkan di pawagam. Hari ini kami menonton filem Steel Rain Summit, sebuah filem thriller geopolitik Korea Selatan yang agak menarik. Admin tidak menonton filem asal Steel Rain, namun admin difahamkan pelakon yang menjadi Presiden Han dalm filem baru ini melakonkan agen Korea Utara, manakala pelakon yang melakonkan Presiden Korea Selatan dalam filem asal, memainkan watak ketua angkatan tentera Korea Utara dalam filem baru. Kiranya pelakon protagonis dan antagonis dalam filem baru bertukar tempat dari filem lama. Ini juga bermakna filem baru ini bukan sekuel filem asal. Apa pun, berikut merupakan pendapat kami mengenai filem berkenaan.
Steel Rain Summit – Filem Thriller Geopolitik Yang Juga Penuh Aksi [Review]
Amerika Syarikat sedang dalam proses rundingan damai dengan Korea Utara yang bakal memperlihatkan negara diktator berkenaan menyerahkan senjata nuklear miliknya kepada AS sebagai tukaran untuk pembukaan dagangan antara kedua buah negara tersebut.
Namun menjelang sidang kemuncak yang akan dihadiri ketua negara US, Korea Utara dan Selatan itu, pihak risikan Korea Selatan mengesan pergerakan wang yang banyak antara pihak nasionalis Jepun dan wakil dari negara China. Mereka mengesyaki sesuatu yang aneh sedang berlaku. Apakah yang merungsingkan mereka? Tontonlah filem ini di pawagam berhampiran.
Review
Bagi anda yang mahu menonton filem ini, harus diketahui bahawa filem ini agak berat. Untuk benar-benar “appreciate” atau menghargai nilai filem ini, ada baiknya anda mengetahui sedikit sebanyak mengenai latarbelakang konflik antara Korea Utara, Selatan dan bagaimana US memainkan peranannya di semenanjung Korea sejak tamatnya perang Korea dahulu. Kaji juga sejarah konflik berkaitan Jepun dan Korea, terutamanya isu pertindihan hak milik pulau Senkaku/Diaoyu serta tindak-tanduk presiden Trump berkaitan Korea Utara semasa beliau mula menjadi presiden US dahulu. Filem ini mengambil ilham dari isu-isu ini dalam plotnya.
Admin yang memang gemar mengikuti perkembangan geopolitik dunia sangat terhibur dengan filem ini, walaupun terdapat kelemahan dalam adaptasi isu-isu ini dalam plot Steel Rain The Summit.
President Amerika dalam filem ini adalah Presiden Smoot dan memang jelas sekali pembikin filem ini ingin menyamakan personalitinya kepada Presiden Trump. Satu percubaan yang baik, tapi jelas sekali mereka melebih-lebihkan kejengkelannya bagi tujuan hiburan. Begitu juga dengan Pengerusi Korea Utara yang diilhamkan oleh Kim Jung Un, cuma lebih kurus. Protagonis utama, iaitu Presiden Korea Selatan pula kami percaya tidak diilhamkan mana-mana watak dalam dunia nyata.
Apa yang menarik ialah pelakon-pelakon bukan Korea yang diambil berlakon dalam filem ini melakonkan watak dengan baik. Anda tentu tahu admin selalu merungut pelakon barat yang berlakon dalam filem Asia biasanya kaku dan tidak seperti orang barat dalam dunia sebenar. Tetapi kali ini mutu lakonan mereka agak baik. Tidak sempurna, tapi jauh lebih baik dari filem Asia lain.
Harus ditekankan, filem ini bukanlah sebuah filem aksi semata-mata, sebaliknya sebuah filem thriller di mana plotnya menjadi fokus utama. Dari segi itu ia tidak menghampakan. 30 minit pertama penonton diberikan cebisan-cebisan maklumat bagi menggambarkan plot yang bakal dihidangkan kepada mereka. Penonton perlu menangkap dan memikirkan apa yang sedang berlaku. Filem sebegini memang menjadi kegemaran admin kerana ia memerlukan penonton berfikir berdasarkan pembayang yang diberikan. Sedikit demi sedikit plot akan didedahkan dan memberi laluan kepada jalan cerita serta babak aksi kapal selam yang mendebarkan. Kami rasakan penantian kami berbaloi walaupun CGI yang digunakan mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan.
Positif vs Negatif
Positif
- Plot dan jalan cerita yang menarik dan diilhamkan perkembangan Geopolitik semasa
- Babak aksi yang “compliment” babak-babak jalan cerita yang lebih berat.
- Terdapat perkembangan positif dari segi mutu lakonan pelakon bukan Korea.
Negatif
- Walaupun plot dan jalan ceritanya baik, execution-nya boleh diperbaiki.
- Kami kurang pasti sejauh mana orang Korea Utara dalam filem ini mewakili orang Korea Utara dalam dunia sebenar.
Kesimpulan
Admin memang seorang yang gemar mengikuti filem Korea yang bertemakan Korea Selatan vs Korea Utara, jadi filem Steel Rain Summit memang menepati citarasa admin. Namun ia bukan filem aksi ala Fast and Furious atau siri filem Marvel. Ia berasaskan konflik geoGeopolitik Asia timur melibatkan kedua-dua Korea, Jepun, China dan Amerika. Kami rekomen filem ini untuk anda yang gemarkan filem thriller geoGeopolitik yang mempunyai aksi yang mendebarkan. Jika anda ingin tonton filem yang lebih santai, ada boleh menonton filem Project Power yang telah admin review sebelum ini.
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 7/10
Nilai hiburan – 7/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 6/10