Fukushima 50 – Kisah Di Sebalik Kemusnahan Fukushima Daiichi [Review]

Pada mulanya admin malas mahu menonton filem Fukushima 50 kerana terbaca komen negatif dari seorang yang telah menonton filem tersebut. Namun setelah mendengar pendapat lain yang mengatakan filem itu bagus, admin telah pergi menontonnya di pawagam. Hasilnya agak mengejutkan. Berikut merupakan pendapat admin mengenai filem tersebut yang berdasarkan kisah benar.

Fukushima 50 – Kisah Di Sebalik Kemusnahan Fukushima Daiichi [Review]

Fukukshima 50 menceritakan semula detik-detik cemas di kala berlakunya tsunami yang meranapkan pusat reaktor nuklear Fukushima Daiichi dan staf-staf pusat reaktor tersebut yang telah bertungkus-lumus menghalang ia dari menjadi malapetaka nuklear lebih dahsyat dari kejadian di Chernobyl. Walaupun dalam dunia sebenar, Fukushima 50 ini tidak menggambarkan bilangan sebenar staf TEPCO yang berusaha menyelatkan keadaan di Fukushima Daiichi, namun terma inilah yang digunakan pihak media untuk merujuk kepada wira-wira ini. Mereka memilih untuk tinggal di pusat nuklear itu dan membantu yang terdaya, walaupun pihak HQ telah mengarahkan staf-staf supaya menyelamatkan diri.

Untuk mengetahui kisah di sebalik kejadian tersebut, tontonlah filem ini di pawagam berhampiran.

Fukushima 50

Review

Pertama sekali, sebelum menonton filem ini, pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya. Kerana filem ini terdapat banyak fakta yang perlu anda ikuti bagi memahami apa yang sedang berlaku. Jika anda dalam keadaan mengantuk, anda pasti akan tertidur kerana filem ini agak berat dalam penyampaian faktanya. Sungguhpun demikian, admin yang telah mendapat tidur yang secukupnya mendapati filem ini mudah difahami dan agak mengejutkan kerana ia lebih menarik dari jangkaan.

Perkara pertama yang membuatkannya menarik ialah sepanjang malapetaka tersebut, kita boleh nampak bagaimana heirarki korporat dan politik di Jepun menjadi faktor besar yang menghalang usaha menyelamat berjalan dengan lancar. Pihak HQ yang tidak memahami bahagian teknikal, namun memandai dalam perhubungan mereka dengan pejabat Perdana Menteri sememangnya membuatkan pihak yang berada di lapangan hilang akal. Pertama kali kita boleh lihat dalam sebuah filem orang Jepun hilang kesopanan terhadap pihak atasannya dan mencarut secara bersemuka dengan mereka. Ia tidak mengejutkan memandangkan tekanan yang tinggi yang dialami mereka.

Fukushima 50

Ken Watanabe melakonkan wataknya sebagai ketua di pusat nuklear Fukushima Daiichi dan lakonannya sememangnya terbaik, seperti dijangkakan. Filem ini menjadi hidup kerana watak-watak seperti beliau yang tidak skema dan berani membantah golongan atasan yang mengarut kerana nak menjaga air muka. Tetapi seperti biasa, dalam sebuah filem Jepun atau filem Asia secara umum, pelakon-pelakon bukan Jepun (atau Asia) yang di ambil berlakon semuanya ke laut dari segi mutu lakonannya.

Perkara kedua yang menarik ialah kita dapat melihat betapa pentingnya golongan muda kepada negara Jepun. Di kalangan staf pusat reaktor nuklear itu, golongan ketua dan veteran bersepakat, jika terdapat tugasan yang berbahaya dan melibatkan pendedahan radiasi, staf di bawah 40 tahun tidak dibenarkan pergi walaupun mereka bertegas mahu membantu. Ini boleh difahami kerana Jepun sudah kekurangan penduduk, dan golongan muda inilah yang mampu melahirkan generasi Jepun yang baru.

Secara keseluruhan, filem ini sangat baik. Walaupun berfakta, ia mampu menyelitkan elemen menyentuh hati dan mendebarkan yang berjaya menghidupkan filem ini dan menyelamatkannya dari tergolong dalam filem fakta yang membosankan. Tontonlah filem ini jika anda ingin tahu kisah di sebalik kejadian di Fukushima Daiichi. Kalau anda tidak berminat nak tahu, mungkin filem ini akan jadi bosan untuk anda,

Positif vs Negatif

  • Pengolahan cerita yang menyentuh hati dan juga mendebarkan
  • Lakonan mantap pelakon-pelakon utama.

Negatif

  • Filem fakta bukan untuk semua orang

Fukushima 50

Kesimpulan

Kesimpulannya kami merekomen filem ini untuk mereka yang berminat untuk mengetahui kisah di sebalik kejadian di Fukushima Daiichi. Walaupun filem ini filem fakta, ia berjaya diolah dengan baik dengan menyelitkan elemen kekeluargaan, tanggungjawab kepada negara dan babak-babak mendebarkan. Ini jarang dapat dilakukan dengan baik dalam sebuah filem Jepun.

Penilaian

Jalan cerita – 7/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10

Nilai hiburan – 6/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *