Transformers War For Cybertron Trilogy Part 1 – Anime 3D Transformers Terbaik Setakat Ini [Review]

Katrun dan animasi Transformers merupakan antara rancangan yang paling popular di kalangan penonton kanak-kanak zaman 80an dan 90an seperti admin. Siri filem Transformers juga boleh tahan, tetapi lama-kelamaan layu di bawah arahan Michael Bay. Namun Netfilx telah menerbitkan satu trilogi Transformers bertajuk Transformers War For Cybertron Trilogy yang merupakan himpunan 3 set siri animasi 3D yang menceritakan keseluruhan hikayat Transformers. Kali ini Netflix menerbitkan 6 episod 30 minit untuk musim pertama dan kami sempat menonton semuanya dalam masa sehari. Berikut pendapat kami mengenainya.

Transformers War For Cybertron Trilogy Part 1 – Anime 3D Transformers Terbaik Setakat Ini

Transformers War For Cybertron Trilogy Part 1 adalah musim pertama antara 3 musim filem animasi 3D dalam tajuk ini yang menceritakan kisah peperangan yang berlaku di Cybertron sehingga memaksa Autobots melarikan diri dari planet tersebut. Melalui kisah ini diketahui bahawa Autobots merupakan seperti golongan bangsawan dalam sejarah Cybertron dan Decepticons merupakan golongan bawahan yang dikatakan “ditindas” oleh Autobots.

Megatron kemudiannya mengetuai revolusi menentang Autobots yang membawa kepada peperangan besar di mana Autobots kehilangan kuasa dan diburu serta dibunuh oleh pihak Decepticons kerana “membelot” terhadap Cybertron. Musim pertama menceritakan usaha autobots untuk terus hidup di bawah pemerintahan kuku besi Megatron dan Decepticons. Untuk mengetahui apa yang berlaku seterusnya, tontonlah siri animasi ini di Netflix.

Transformers War For Cybertron Trilogy

Review

Sekitar tahun 80an, terdapat kartun Transformers yang menceritakan kisah Cybertron ini, tapi kerana admin masih kecil, admin tidak berapa ambil kisah tentang jalan ceritanya. Oleh itu, admin review siri animasi ini tanpa mengaitkan dengan mana-mana kartun Transformers terdahulu.

Pandangan pertama terhadap siri animasi ini ialah rekabentuk Transformers yang dipaparkan memang setia kepada rekabentuk asal transformers terdahulu. Kualiti animasi, termasuk efek letupan, tembakan dan lain-lain sememangnya berkualiti tinggi dan bukan dibuat ala kadar. Tidak banyak yang boleh dikomen mengenai kualiti animasinya kerana ia cukup mantap.

Namun apa yang admin agak takjub ialah kualiti jalan ceritanya serta latarbelakang budaya Transformers di Cybertron yang diperlihatkan dengan agak mendalam dengan mengambil inspirasi dari permasalah kelas dan kaum di dunia nyata. Menurut jalan ceritanya, pada mulanya Autobots boleh dikatakan sebagai bangsawan di Cybertron, manakala Decepticons merupakan golongan bawahan yang dilahirkan sebagai “hamba” atau golongan yang membuat kerja kasar. Menyedari ketidakadilan ini, Megatron mengetuai golongan Decepticon untuk menjalankan revolusi di Cybertron yang membawa kepada peperangan antara dua puak ini dan menjatuhkan Autobots dari kuasa. Setelah mendapat kuasa dan memusnahkan hampir keseluruhan Cybertron, Megatron kemudiannya menjalankan pemerintahan kuku besi dan memburu Autobots sehingga ke orang terakhir.

Sememangnya jalan ceritanya agak matang dan dipenuhi nilai-nilai kehormatan yang tinggi. Sebagai contoh, ada satu babak di mana sesorang telah mencadangkan kepada Megatron untuk menggunakan Allspark untuk “format” semula Autobots sebagai Decepticon. Tetapi Megatron menolaknya kerana perkara tersebut tidak bermoral dan tidak menepati nilai kehormatan (honor) sebagai seorang pemimpin, meskipun beliau seorang Decepticon. Terdapat juga beberapa Decepticon yang bertukar pihak, (seperti melompat parti) ke Autobots kerana tidak setuju dengan rancangan Megatron untuk menjalankan pembersihan etnik ke atas Autobot.

Jadi, poin yang admin ingin sampaikan adalah Transformers War For Cybertron Trilogy bukan, calang-calang animasi. Ia menggabungkan nilai moral, politik dan nilai kemanusiaan (keTransformeran?) dalam jalan ceritanya. Ia sememangnya bukan setakat golongan jahat melawan golongan baik. Tambahan pula, walaupun setiap dari 6 episod mempunyai durasi lebih kurang 30 minit, bila anda menontonnya, ia terasa lebih lama dari itu kerana setiap episodnya padat dengan jalan cerita.

Sejujurnya admin tidak sabar menonton Transformers War For Cybertron Trilogy musim seterusnya dan menurut sumber di internet, musim kedua akan memperlihatkan Autobot dan Decepticon akan tiba di bumi.

Transformers War For Cybertron Trilogy

Positif vs Negatif

Positif

  • Kualiti animasi yang terbaik
  • Jalan cerita yang padat dan mempunyai nilai-nilai yang matang
  • Kisah latarbelakang Cybertron yang agak mendalam

Negatif

  • Mungkin babak aksinya tidak sedramatik yang diharapkan
  • Agak pendek (6 episod 30 minit)

Transformers War For Cybertron Trilogy

Kesimpulan

Transformers War For Cybertron Trilogy merupakan siri animasi yang kami rekomen anda tonton jika anda mempunyai akaun Netflix. Mungkin dari luarannya, ia nampak seperti sebuah animasi kanak-kanak, tetapi jika anda betul-betul mengikuti jalan ceritanya, anda akan menyedari jalan ceritanya ditulis secara mendalam dengan mengambil kira latarbelakang dan nilai-nilai kaum Transformers di Cybertron. Ia mahu mewujudkan datu dunia yang lebih imersif berbanding kartun-kartun sebelumnya. Memandangkan ia cuma 6 episod, anda boleh habis menontonnya dalam satu hari sahaja.

Penilaian

Jalan cerita – 9/10

Lakonan/Rekaan watak-watak – 8/10

Nilai hiburan – 7/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10

Netflix

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *