Siri Lupin telah lama disiarkan di Netflix, malah sejak awal Januari lagi. Namun admin pada mulanya kurang berminat untuk menontonnya. Admin pun tidak tahu kenapa. Tetapi entah kenapa juga, admin tergerak untuk menontonnya juga minggu lepas. Nasib baik ia hanya sepanjang 5 episod, jadi admin telah menontonnya dalam masa 2 hari sahaja. Berikut pendapat admin mengenai siri tersebut.
Lupin – Kisah Lelaki Pencuri Budiman [Review]
Lupin merupakan satu watak dari buku novel klasik Perancis di mana beliau adalah seorang pencuri yang budiman. Beliau menggunakan daya tarikkannya dan kata-kata manis untuk mempengaruhi mangsanya untuk menyerahkan harta mereka samada wang atau barang berharga. Watak ini pernah diadaptasi sebagai sebuah Anime yang terkenal namun, adaptasi Netflix ini mengisahkan Assane Diop, seorang anak imigran dari Senegal. Bapanya bekerja dengan keluarga kaya bernama keluarga Pellegrine.
Keluarga ini memiliki sekalung berlian beharga jutaan Euro yang merupakan harta peninggalan ratu Perancis terdahulu. Semasa Assane kecil, bapanya dituduh mencuri berlian tersebut dan dipenjara di mana beliau telah membunuh diri. 25 tahun kemudian berlian tersebut muncul semula dalam satu lelongan. Assane mula mengatur rancangannya.
Apakah yang beliau akan lakukan? Tonton siri ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Sejujurnya, setelah menonton siri Money Heist, standard untuk filem curi-mencuri berstrategi telah meningkat dengan drastik. Admin kini lebih sukar untuk “dikagumkan” oleh helah bijak daripada watak filem atau drama. Oleh kerana itulah dalam episod pertama di mana ia mengisahkan strategi Assane untuk mencuri kalung berlian keluarga Pellegrini tidak mengagumkan admin. Helah dan strategi yang digunapakai, walaupun bijak tidak cukup bijak untuk mengagumkan admin. Admin pun berhenti menonton selama seminggu sebelum sambung dan menghabiskan semua episod.
Setelah siri memasuki episod kedua dan seterusnya, ia mula menceritakan latarbelakang Assane dan segala keperitan yang dilaluinya akibat bapanya dituduh mencuri, walaupun sebenarnya dia tidak mencuri dan dipaksa menandatangai pengakuan bersalah. Sejak itulah admin mula minat semula menonton siri ini. Sungguhpun demikian, admin masih tidak begitu kagum dengan strateginya, tetapi masih terhibur. Dengan kata lain strategi dan helah yang dipaparkan dalam Money Heist lebih mengagumkan.
Dengan kata lain apa yang memberikan siri ini kekuatannya, bukan hanya babak-babak mengatur strategi dan penggunakan tipu helahnya, tetapi mesej disebaliknya. Ia mengetengahkan bagaimana golongan dari koloni Perancis, terutamanya dari Afrika sering dipandang serong dan menjadi kambing hitam kepada perkara buruk yang berlaku. Kebijaksanaan Assane melalui pembacaan novel Lupin digunakan untuk mencari keadilan untuk arwah bapanya, Babakar Diop. Di sinilah bezanya dengan Money Heist di mana gang Professor mencuri sebagai bantahan kepada sistem ekonomi berat sebelah, manakala Lupin pula menggunakan skilnya untuk menuntut keadilan untuk bapanya. Asas Lupin lebih relatable kepada penonton secara umum berbanding Money Heist.
Kesimpulannya, filem ini menonjol kepada penonton dari pelbagai lapisan. Ia tidak sekompleks plot Money Heist dan lebih relateable kepada penonton. Penonton tentu akan terhibur menonton siri ini, walaupun mereka kurang berminat dengan filem yang bergenre sebegini.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita yang mudah difahami dan relatable .
- Plot yang menarik dan mendebarkan.
- Watak-watak yang dibina dengan asas yang kukuh.
Negatif
- Helah dan strategi tidak sehebat Money Heist
Penilaian
Jalan cerita – 9/10
Lakonan/Rekaan watak-watak –9/10
Nilai hiburan – 10/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10