Tribes of Europa – Siri Pasca-Apokaliptik Jerman [Review]

Siri Tribes of Europa sebenarnya telah lama ditayangkan di Netflix iaitu sejak penghujung tahun lepas. Namun admin hanya berpeluang menonton siri ini baru-baru ini. Menariknya, ia hanya sepanjang 6 episod dan ini membolehkan admin menontonnya dengan cepat. Berikut merupakan pendapat admin mengenainya.

Tribes of Europa – Siri Pasca-Apokaliptik Jerman [Review]

Tribes of Europe mengisahkan satu kisah pasca-apokaliptik di mana pada tahun 2029 satu kejadian misteri digelar Black December telah berlaku dan menyebabkan semua teknologi di muka bumi berhenti berfungsi. Komputer, tablet, telefon pintar, kapal terbang, kereta dan semua alat yang menggunakan mikrocip telah berhenti berfungsi, menjadikan dunia jatuh ke zaman gelap. Ke hadapan ke tahun 2074, di Eropah, negara-negara telah berpecah kepada beratus-ratus puak unik yang menguasai kawasan mereka tersendiri.

Tribes of Europa

Kiano, Liv dan Elja merupakan 3 adik beradik dari puak Originies, iaitu satu puak yang menyendiri di kawasan hutan belantara tanpa bercampur dengan puak-puak lain. Satu hari ketika memburu, mereka ternampak sebuah pesawat modern terhempas berhampiran kawasan hutan mereka. Setelah semalam berbincang dengan bapa mereka, iaitu ketua puak Originies, mereka pergi menyiasat kawasan kapal terbang terhempas. Di tempat kejadian, Elja menjumpai sebuah kiub canggih tetapi menyorokkannya dari pengetahuan yang lain.

Sementara itu, puak Crow, yang merupakan puak paling besar dan ganas juga pergi mencari pesawat yang terhempas itu dengan niat mendapatkan teknologi yang dimiliki pesawat tersebut bersama juruterbangnya. Ini menyebabkan konflik berlaku antara puak-puak di Eropah. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Tontonlah siri Tribes of Eurpoa di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Setelah menonton siri Dark, juga di Netflix, mungkin sesetengah orang sudah bertaubat dari menonton siri TV buatan Jerman. Namun admin boleh memberi jaminan bahawa siri TV Tribes of Europa merupakan sebuah siri yang jauh lebih santai dan mudah diterima berbanding siri Dark. Ia lebih berbentuk adventure sci-fi remaja di mana ia mengikuti kisah tiga adik beradik dari puak Originies yang terpisah akibat konflik dengan puak Crow. Namun, terdapat adegan ganas dan lucah yang mungkin tidak sesuai untuk remaja bawah umur.

Plotnya agak konvensional dan tidak terlalu kompleks untuk penonton umum dan anda tidak perlu menjadi seorang saintis angkasa untuk memahami plotnya sepertimana dalam siri Dark yang ditonton tempoh hari. Malah plotnya memang di tahap penonton remaja dan mungkin akan membosankan penonton yang lebih matang berumur 35 tahun ke atas. Memandangkan di Eropah tidak semuanya bercakap bahawa Jerman, jadi dialog-dialognya menggunakan samada bahasa Jerman atau bahasa Inggeris. Secara keseluruhan, jalan ceritanya mampu mengekalkan minat admin menonton, tetapi tiada apa-apa yang begitu luarbiasa mengenainya.

Tribes of Europa

Namun satu perkara yang boleh dipuji mengenai siri ini adalah cara ia membina set dan lokasi penggambaran. Ia memaparkan bangunan-bangunan usang dan teknologi lama dengan baik, selari dengan tema pasca apokaliptik. Selain itu, koreografi berlawannya juga boleh diberi pujian untuk sebuah filem Eropah yang tidak terkenal dengan koreografi berlawan. Babak-babak berperang juga dibuat dengan baik, cuma tidaklah sehabat filem aksi Holywood.

Kesimpulannya kedudukan filem ini agak pelik. Ia jelas sekali sebuah filem pengemabaraan remaja, namun babak ganas dan lucah dalamnya agak dipersoalkan dan sebenarnya babak-babak lucah tersebut, walaupun sedikit, tidak perlu apatah lagi tidak menambah nilai dalam siri ini. sukar juga untuk admin merekomen siri ini kepada remaja atau golongan bawah umur, jadi pandai-pandailah anda menonton.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang mudah difahami dan menarik
  • Babak berlawan dan berperang yang boleh tahan
  • Lakonan dan pembinaan karakter yang baik

Negatif

  • Babak lucah yang tidak perlu
  • Tiada apa yang begitu memberangsangkan mengenainya

Tribes of Europa

Penilaian

Jalan cerita – 7/10

Lakonan/Rekaan watak-watak –7/10

Nilai hiburan – 7/10

CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 7/10

Netflix

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *