Apabila disebut tajuk Kingdom, ramai keliru kerana terdapat banyak filem dan siri TV yang menggunakan tajuk berkenaan. Kali ini filem yang dimaksudkan adalah filem Jepun Kingdom yang dibikin berasaskan komik manga dengan tajuk yang sama. Filem ini telah ditayangkan di pawagam tahun 2019, tetapi admin tidak sempat menontonnya. Ia telah mula disiarkan di Netflix, sekaligus memberikan peluang admin menontonnya.
Kingdom (2019) – Filem Epik China Dibikin Produksi Jepun [Review]
Kingdom adalah sebuah filem produksi Jepun yang berlatarbelakangkan China pada zaman dinasti Qin. Ia mengisahkan dua orang hamba bernama Shin dan Hyou yang bercita-cita menjadi general hebat suatu hari nanti. Mereka bersungguh-sungguh berlatih Kung-fu ciptaan mereka dan berlatih pedang kayu tiap-tiap hari.
Kegigihan mereka akhirnya membuahkan hasil. Satu hari orang kanan raja Eisei, iaitu raja Qin pada ketika itu ternampak mereka berlatih dan kagum melihat mereka. Beliau menawarkan Hyou untuk datang ke istana untuk bekerja bagi pihak raja. Namun beliau tidak mahukan Shin. Setelah berfikir, Hyou menerima tawaran raja Eisei.
Setelah sekian lama, satu malam, Hyou telah pulang ke rumah bekas tuannya untuk berjumpa Shin. Beliau dalam keadaan separuh mati berkata adik kepada raja telah menggulingkannya. Hyou memberikan satu peta kepada Shin dan menyuruhnya pergi ke tempat yang ditandakan sebelum orang-orang raja sampai ke rumah mereka. Apakah yang ada di tempat berkenaan dan bagaimana Shin akan menyelamatkan diri dari konco-konco raja jahat? Tontonlah filem ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Memandangkan filem ini telahpun ditayangkan di pawagam, mungkin ramai telahpun menontonnya. Oleh itu anggaplah review ini hanya untuk berkongsi pendapat mengenai filem ini tanpa memberikan banyak spoiler.
Pada pandangan pertama, filem ini kelihatan agak epik. Dengan pemaparan tentera-tentera besar, aksi kung fu yang mendebarkan dan pemakaian serta prop yang agak realistik. Namun admin berasa agak janggal kerana watak-watak semua memakai pakaian fesyen China tetapi bercakap dalam bahasa Jepun. Agak lama juga admin untuk membiasakan diri dengan keadaan ini kerana orang China dan orang Jepun mempunyai budaya yang berbeza dan menggabungkan pakaian China dan perwatakan Jepun memang mengelirukan.
Dari segi jalan cerita, ia agak biasa bagi sebuah filem epik zaman dahulu. Seorang raja dirampas takhtanya oleh adik beradiknya sendiri dan beliau ingin merampas semula takhta tersebut. Tetapi apa yang hebat mengenai filem ini dan menjadi kekuatannya ialah koreografi lawannya yang hebat. Ia agak terlebih dalam penggunaan tali dalam babak lawannya, tetapi secara keseluruhannya ia boleh dikatakan hampir setanding dengan kehebatan babak lawan dalam filem Rurouni Kenshin.
Namun, admin agak meluat melihat pelakon utamanya Kento Yamazaki yang melakonkan watak Shin kerana sangat overacting. Setiap reaksi dan lakonannya dibuat secara overacting. Memang meluat setelah 2 jam menontonnya sebagai watak utama. Nasib baik gaya lawannya yang hebat berjaya menebus gaya overactingnya. Gaya ini dilihat juga semasa beliau berlakon dalam siri Alice in Borderland.
Secara keseluruhannya, filem Kingdom ini tidak syak mempunyai ciri-ciri filem Jepun adaptsi manga dan bagi anda yang biasa menonton filem genre in tentu boleh mengagak kesudahan filem ini. Ia mungkin menarik bagi peminat manga, tetapi bagi peminat filem secara umum, filem ini bukanlah yang terbaik di pasaran terutamanya kerana jalan cerita yang agak cetek.
Positif vs Negatif
Positif
- Props dan set dibuat dengan baik, begitu juga dengan pakaian yang mencerminkan China pada zaman tersebut.
- Babak lawan yang memang mendebarkan.
- Jalan cerita yang mudah difahami
Negatif
- Watak Shin yang overacting.
- Jalan cerita yang boleh diagak dan cetek
Penilaian
Jalan cerita – 6/10
Lakonan/Rekaan watak-watak –6/10
Nilai hiburan – 6/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 8/10