Admin telah menonton trailer filem News of The World sejak tahun lepas lagi. Admin rasa ia mahu ditayangkan di pawagam tetapi akibat COVID 19, ia disiarkan di beberapa saluran On-Demand sebelum masuk ke Netflix baru-baru ini. Admin telah menonton filem ini dan di sini admin akan mengulas tentang filem tersebut.
News of The World – Kisah Pengembaraan Di Wild West [Review]
News of The World berlatarbelakangkan bahagian selatan Amerika Syarikat tidak lama selepas perang saudara tamat. Captain Jefferson Kyle Kidd merupakan seorang bekas tentera Confederate yang kini mengambil upah bergerak dari satu bandar kecil ke satu bandar kecil untuk membacakan berita dunia kepada penonton yang membayar 10sen setiap seorang kepadanya untuk mendengar beliau bercerita mengenai berita dunia yang diperolehi dari akhbar-akhbar.
Satu hari beliau terserempak dengan satu kereta kuda yang telah terbalik di tengah jalan. Pemandunya, seorang kulit hitam telah dibunuh dan digantung oleh penjahat yang pada ketika itu masih lagi anti kulit hitam. Di samping itu beliau menjumpai seorang budak perempuan dan mengikut dokumentasi, beliau bernama Johanna Leonberger yang diculik ketika kecil oleh puak asli Kiowa. Beliau sedang dihantar kepada keluarganya semasa serangan berlaku. Oleh sebab telah lama diculik puak Kiowa, Johanna tidak tahu bercakap bahasa Inggeris dan hanya bercakap Kiowa.
Kerana sikap tanggungjawab, Captian Kidd terpaksa pergi menghantar Johanna kepada keluarganya yang berada jauh dari laluan perjalanan asalnya. Di sinilah pengembaraan mereka bermula. Tontonlah filem ini di Netflix untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Entah kenapa admin memang gemarkan filem-filem wild west seperti The Revenant, Cold Moutain dan kini News of The World. Filem-filem ini sememangnya memaparkan latarbelakang wild west dengan begitu baik dan perasaan adventure atau pengembaraan sangat dirasai dalam filem-filem ini. Jalan ceritanya sedikit perlahan tetapi tidak sama sekali membosankan.
Namun untuk benar-benar menhayati filem ini, penonton perlu memahami serba sedikit mengenai era selepas perang saudara Amerika Syarikat. Pada ketika itu, Negeri-negeri Selatan atau Confederate states berperang dengan negeri-negeri utara atau Union States atas dasar ideologi berbeza. Perbezaan paling menonjol adalah pandangan mereka terhadap sistem perhambaan golongan kulit hitam. Negeri-negeri confederate seperti Texas tidak mahu melepaskan sistem perhambaan, tetapi negeri-negeri Union ingin menghapuskan sistem perhambaan.
Peperangan saudara ini tamat dengan kemenangan negeri-negeri Union, di mana askar-askar mereka sinonim dengan warna biru. Oleh itu, negeri-negeri selatan dipaksarela menerima penghapusan sistem perhambaan. Tambahan pula, golongan kulit putih pula sedang bermusuh dengan puak-puak orang asli kerana pengembangaan pertempatan mereka dibuat dengan merampas tanah puak-puak ini. Pada ketika itu , berita tidak tersebar dengan pantas dan tidak semua orang tahu membaca, jadi pekhidmatan pembacaan berita seperti yang ditawarkan Captain Kidd sememangnya satu yang sangat berguna kepada masyarakat di pekan-pekan atau bandar-bandar kecil di hujung dunia.
Filem ini berjaya menggabungkan semua konflik-konflik tersebut ke dalam latarbelakang jalan ceritanya dengan begitu baik di samping tidak meneggelamkan tema utama filem ini ialah hubungan kebapaan antara Captain Kidd dan Johanna yang berputik sepanjang pengembaraan mereka. Pacing filem ini serta penceritaannya sangat menenangkan dan sebab itulah admin sangat enjoy menonton filem ini. Ia memberikan satu perasaan seperti anda telah pergi mengembara ke negeri yang belum pernah anda kunjungi.
Tetapi ia bukan sekadar drama sahaja. Terdapat juga babak-babak aksinya dan walaupun ia tidaklah sehebat FF8 atau Mission Impossible, ia mempunyai metodnya tersendiri yang menjadikan babak aksinya mendebarkan serta menghiburkan.
Secara keseluruhan, filem ini benar-benar untuk penonton yang ingin relax. Ia tidak begitu berat, penuh pengembaraan, babak menyentuh hati dan memberi inspirasi. Sangat direkomen untuk ditonton oleh mereka yang suka belajar tentang budaya asing dan gemarkan pengembaraan. Perasaan menonton filem ini lebih kurang sama dengan filem Midnight Sky yang pernah admin review tidak lama dahulu, cuma ia berdasarkan zaman berbeza dan filem News of The World lebih menonjol kepada kategori penonton yang lebih luas.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita yang memberi inspirasi dan menenangkan
- Lakonan hebat dua pelakon utama
- pemaparan realistik zaman wild west
- Kesudahan yang gembira.
Negatif
- Bagi mereka yang tidak meminati drama sebegini, mungkin akan merasa bosan
Penilaian
Jalan cerita – 8/10
Lakonan/Rekaan watak-watak –8/10
Nilai hiburan – 9/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 10/10