Filem Transformers Age of Extinction merupakan salah satu filem yang sememangnya ditunggu-tunggu peminat filem dunia. Harapan yang diletakkan pada filem ini agak tinggi memandangkan 3 filem pertamanya merupakan suksess. Dapatkah filem ini memenuhi jangkaan para peminat filem?

Transformers Age of Extinction [Review]
Transformers Age of Extinction atau Transformers 4 merupakan siri keempat dalam francais filem Transformers arahan Micheal Bay. Filem kali ini mengisahkan kaum Transformers telah diburu sejak peperangan antara Autobots dan Decepticons yang melanda Chicago menyebabkan bandar tersebut musnah dan ramai yang mati.
Cade Yeager dan anak perempuan tinggal di sebuah ladang di Texas. Beliau seorang pencipta robot yang kurang berjaya menyebabkan keluarganya kesempitan wang. Beliau telah menjumpai dan membeli sebuah trak lama yang rosak dengan harapan untuk menjualnya sebagai besi buruk untuk menyelesaikan masalah kewangannya. Rupa-rupanya trak tersebut adalah Optimus Prime.

Penemuan ini kemudiannya menyebabkan squad rahsia CIA memburu keluarga tersebut dengan tujuan menangkap Optimus Prime untuk projek rahsia yang melibatkan sebuah syarikat swasta. Bermulalah pengembaraan mereka untuk menyelamatkan diri di samping menyiasat apa sebenarnya berlaku dan siapa disebaliknya. Dapatkah mereka menyelesaikan misteri tersebut dan seterusnya menyelamatkan diri? Tontonilah filem ini di pawagam berhampiran.
Jalan Cerita
Perkara paling utama yang membingungkan saya selepas menonton filem ini ialah jalan ceritanya. Mungkin 1 jam pertama filem ini tidak memperlihatkan masalah besar dalam jalan ceritanya, namun semakin plot filem ini berkembang, semakin kucar kacir susunan isi filem yang cuba disampaikan. Tambahan pula, Michael Bay telah mengubah sejarah jalan cerita Transformers dalam filem ini apabila memperkenalkan watak The Creator yang telah menciptakan Transformer. Ini secara tidak langsung telah merosakkan keseluruhan francais filem ini dan tidak keterlaluan juga jika dikatakan filem ini mempunyai unsur-unsur anti ketuhanan dan agama.
Kemuncak keanehan jalan cerita filem ini adalah apabila ia memperkenalkan watak dinosaur yang diperlihatkan dalam trailer filem. Ia dilihat sangat tidak kena dengan filem Transformers dan ia seperti sebuah gimik semata-mata. Babak aksi dalam filem ini juga terlalu panjang dan mendatar sehingga ia membosankan. Secara ringkasnya, Michael Bay ingin membawa francais filem Transformer ke satu arah yang saya jangkakan tidak akan disukai peminatnya.

Lakonan
Lakonan dalam filem ini antara paling buruk dalam francais Filem Transformers. Malah watak-watak utamanya kadang-kala kelihatan kaku dan kadang-kala juga mempunyai lakonan yang tidak kena dengan wataknya. Contohnya, CEO jutawan yang memiliki syarikat teknologi gergasi pada awalnya kelihatan sangat serious dan kejam, namun pada akhirnya menjadi watak lucu pula. Namun, mungkin ini bukan salah pelakon sepenuhnya, kerana hakikatnya, penulis skrip yang menulis skrip yang dilakonkan pelakon filem.

Produksi
Perkara paling menjengkelkan dalam filem pula ialah penempatan produk penaja dalam filem ini. Amat jelas sekali bahawa filem ini mempunyai banyak penaja dan hampir dalam setiap babak terdapat satu jenama produk dipaparkan kepada penonton. Jangan tersilap, seriap produk yang muncul dalam filem ini perlu membayar bayaran penajaan kepada pembikin filem. Sebagai contoh, dalam babak ini sahaja, kelihatan pemaparan jenama Samsung, Philips, Hitachi dan Epson.

Sesetengah babak juga tidak perlu, tetapi kerana memenuhi tanggungjawab kepada penaja, babak tersebut diwujudkan. Salah satu adalah apabila salah seorang watak berhenti untuk minum susu dan satu lagi apabila Cade Yeager berhenti untuk minum bir di tengah-tengah peperangan di Hong Kong.
Salah satu teori kami kenapa filem ini agak menghampakan ialah terlalu banyak telah dibelanjakan untuk animasi CGI sehingga tidak cukup bajet untuk membuat filem dengan baik. Itu cuma teori sahaja lah, tetapi memang terdapat terlalu banyak CGI dalam filem ini sehingga menjadikan filem ini kurang menarik.
Kesimpulan

Kebaikan
- Kereta Bumblebee dan Galvatron/Megatron yang baru ini agak cantik.
Keburukan
- Jalan cerita yang tunggang-langgang.
- Filemnya panjang (2:30 jam) tetapi isinya sedikit.
- Pelakon utama tidak memberangsangkan.
- Telalu banyak “iklan”.
- Babak aksi terlalu panjang
- Kualiti CGI tidak sehebat filem sebelumnya.
Mungkin anda membaca review ini dan memikirkan, “adakah benar ia begitu teruk?”. Bagi seorang yang telah menonton ketiga-tiga filem sebelum ini dan mempunyai jangkaan yang agak tinggi, filem ini sememangnya teruk dan tidak direkomen untuk ditonton peminat tegar Transformers. Namun jika anda buka peminat tegar filem transformers dan hanya mahu mengisi masa lapang, tidak salah menonton filem ini, bahkan mungkin anda akan terhibur. Namun ia bukan filem yang akan anda ingati untuk satu jangkamasa panjang. Jadi tontonlah fliem ini atas risiko sendiri.






