Jika anda membesar dalam tahaun 90 an atau awal 2000an, anda pasti mengenali watak Lara Croft atau the Tomb Raider sebagai watak permainan video. Sepertimana kebanyakan permainan video aksi pada ketika itu, ia tidak mempunyai jalan cerita yang mendalam mengenai latarbelakang watak tersebut. Mungkin kerana itu watak filem Tomb Raider awal 2000an lakonan Angelina Jolie lebih mirip sebuah filem Indiana Jones versi wanita, berbanding seorang watak pengembara yang lebih unik. Kini filem reboot Tomb Raider terbaharu lakonan Alicia Vikander memperkenalkan laterbelakang mendalam mengenai Lara Croft dengan harapa penonton lebih invested ke dalam watak pengembara ini. Kami sempat menonton filem ini dan di sini kami berkongsi pendapat mengenainya.
Tomb Raider – Permulaan Seorang Lagenda
Filem Tomb Raider kali ini dibikin berasaskan permainan video Tomb Raider yang diterbitkan pada tahun 2013 dan permainan Rise of the Tomb Raider keluaran tahun 2015. Admin memang telah bermain habis permainan pertama namun belum bermain permainan yang kedua. Namun, sebahagian besar jalan cerita utamanya berasaskan permainan video yang pertama.
Ternyata walaupun kedua-dua media ini (permainan video dan filem) mempunyai elemen yang sama, tetapi jalan ceritanya agak berbeza. Pendek kata, kedua-dua media ini mempunyai watak antagonis yang sama, iaitu Himiko, jalan cerita versi filem ini lebih berasaskan lagenda kuasa mistik yang mempunayi asas realiti/saintifik, manakala jalan cerita versi permainan video diasaskan sepenuhnya dengan kuasa mistik secara literal.
Secara ringkas, Lara Croft merupakan anak kepada seorang pengembara tempat bersejarah bernama Richard Croft. Semasa Lara kecil, bapanya itu pergi menyiasat mengenai satu lagenda ahli sihir Jepun bernama Himiko yang pada ketika itu mempunyai kuasa untuk membunuh ramai orang dengan sentuhannya. Himiko kemudiannya telah dipenjarakan oleh para generalnya dalam satu makam di sebulah pulau bernama Yamatai. Richard Croft pergi ke pulau itu untuk mencarinya, tetapi telah hilang. 7 tahun kemudian, bermulalah kisah Lara Croft dalam filem ini. Beliau diberi satu pembayang mengenai bapanya dan mengambil keputusan untuk mencari bapanya yang hilang itu. Adakah beliau akan berjaya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Tidak dapat dinafikan kita tidak boleh membandingkan filem dan permainan video Tomb Raider secara terus memandangkan filem hanya mempunyai durasi lebih kurang 2 jam, manakala permainan video mengandungi berpuluh-puluh jam masa bermain. Bermakna permainan video mempunyai lebih banyak ruang untuk jalan cerita yang lebih mendalam dan menarik, manakala filem perlu memampatkan jalan ceritanya dalam dua jam.
Jalan cerita filem Tomb Raider sama tapi tak serupa dengan permainan videonya. Ini mungkin kerana pihak produksi mahu menghasilkan sebuah filem yang lebih berasaskan realiti berbanding kuasa mistikal yang tidak logik. Ini membolehkan filem ini lebih menonjol kepada profil penonton yang lebih matang. Satu niat yang murni, namun disebabkan itulah isi kandungan filem ini terasa agak pendek dan tergesa-gesa.
Jalan ceritanya tidaklah teruk (dan ia tidaklah sehebat mana), tetapi dari segi kepuasan menonton, jalan cerita yang pendek ini terasa tidak memuaskan penonton yang ingin sebuah jalan cerita yang lebih mendalam dan panjang. Sungguhpun demikian, ia boleh dimaafkan memandangkan filem ini merupakan yang pertama dalam siri filem baharu Tomb Raider dan mereka hanyalah mahu membentangkan perkara asas dalam filem ini sebelum terus membikin filem-filem lain dalam francais ini.
Watak Lara Croft dilakonkan dengan agak baik. Jelas sekali Alicia Vikander terpaksa mengharungi latihan fizikal intensif bagi menyediakan dirinya untuk watak yang lasak ini. Seperti dalam permainan videonya, watak Lara Croft memang seorang yang mentah dan tidak berpengalaman memandangkan beliau belum pernah mengalami sebarang pengembaraan sebelum ini. Apa yang kurang memuaskan hati ialah watak Lu Ren lakonan Daniel Wu yang hanya diberi peranan kecil watak sokongan dalam filem ini. Tetapi kami dapat rasakan beliau akan menjadi sidekick setia Lara Croft dalam filem-filem akan datang.
Positif vs Negatif
Positf
- Jalan cerita yang, walaupun berbeza daripada permainan video, ia agak meyakinkan
- Produksi yang OK
Negatif
- Mutu lakonan dan pembinaan watak boleh diperbaiki
- Jalan cerita, walaupun meyakinkan, agak pendek dan tergesa-gesa
Kesimpulan
Filem Tomb Raider ini meminjam banyak unsur dari permainan video, namun, jalan ceritanya telah diubah untuk menarik kumpulan penonton filem yang lebih luas lagi. Jika anda pemain permainan videonya, anda akan terasa di kecewakan, namun jika anda bukan pemain permainan video Tomb Raider, silalah nikmati filem ini tanpa sebarang persepsi lain. Secara amnya filem ini tidaklah begitu baik, tetapi tidak lah begitu teruk. Ia di pertengahan.
Penilaian: 7/10












