Pertama kali menonton trailer filem Death Wish, kami menyangka ia hanyalah sebuah filem aksi murahan yang kebelakangan ini banyak muncul di pawagam kebelakangan ini. Tambahan pula Bruce Willis sejak akhir-akhir ini banyak berlakon dalam filem bajat. Namun jangkaan kami meleset. Di sini kami berkongsi pengalaman menonton filem ini di pawagam.
Death Wish – Filem Aksi Yang Melebihi Jangkaan
Death Wish merupakan pembikinan semula filem 70-an dengan tajuk yang sama. Ia mengisahkan Dr. Paul Kersey, seorang doktor yang mempunyai seorang isteri dan anak perempuan. Dalam kerjayanya, beliau banyak menerima pesakit yang menjadi mangsa keganasan senjata api, samada kejadian tembak-menembak oleh kumplan kongsi gelap, mahupun orang awam dan polis. Tidak hairanlah beliau sudah terasa lali dengan kes-kes sebegini.
Sehingga satu hari, rumah beliau dirompak oleh sekumpulan perompak ketika beliau bekerja syif malam. Akibatnya, isteri beliau mati ditembak dan anak perempuannya koma. Sejak itu beliau mula sedar mengenai kadar jenayah dan realiti polis yang memburu penjenayah sebegini. Beliau mengambil keputusan untuk memburu sendiri perompak-perompak yang membunuh isterinya, memandangkan polis mengendalikan terlalu banyak kes dan undang-undang berkaitan juga bersifat menghadkan kuasa polis.
Apakah beliau akan berjaya menuntut bela atas kematian isterinya? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Sebenarnya, walaupun filem ini tidak mempunyai bajet sebesar filem-filem aksi seperti The Avengers atau Mission Impossible, kami rasa filem ini merupakan salah satu filem yang diolah dengan paling baik untuk tahun ini. Ia seimbang 50% drama 50% aksi dan anda akan terasa puas dengan bahagian dramanya serta bahagian aksinya. Kadangkala sesetengah filem mempunyai terlalu banyak aksi sehingga penonton muak menontonnya dan kadang-kala terlalu banyak drama hingga penonton bosan menontonnya. Filem ini dengan tepat mempunyai keseimbangan antara keduanya.
Separuh pertama jalan cerita filem ini sangat penting diolah sebagai drama kerana ia menerangkan dengan jelas, latarbelakang keluarga Dr. Kersey, latarbelakang jenayah senjata api di Amerika, masalah berkaitan penguatkuasaan polis dan undang-undang serta reaksi orang awam mengenai isu-isu begini. Pengarah bijak menggunakan cerapan-cerapan pendek dari rancangan TV dan radio yang membincangkan isu jenayah yang berlaku di bandar tersebut bagi memperlihatkan kepada penonton reaksi masyarakat mengenai perkembangan yang berlaku dalam filem tersebut.
Sebab mengapa separuh pertama filem ini bersifat drama adalah penting kerana pengarah mahu penonton memahami dengan sepenuhnya mengenai situasi yang dialami Dr Kersey dan supaya penonton berada dalam mood yang betul semasa menonton separuh kedua filem ini yang lebih bersifat aksi.
Bahagian aksinya juga diolah dengan baik. Tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek serta mempunyai berbilang babak aksi. Formula ini dilihat menjadi bagi mengekalkan minat penonton dan pada masa yang sama tidak menyebabkan penonton muak dengan babak aksi yang terlalu banyak atau berjela-jela. Sesetengah babak aksi adalah agak ganas, jadi klasifikasi 18SG memang patut.
Cara jalan cerita ini diolah, terutamanya bagaimana filem ini tamat (happy ending) amatlah bijak. Walaubagaimanapun, ia memerlukan anda menumpukan perhatian kepada keseluruhan jalan cerita filem ini untuk benar-benar menghargai kebijaksanaan pengarah mengolah keseluruhan jalan cerita filem ini untuk mencapai kesudahan yang sebegitu. Jangan risau, filem ini tidak rumit, cuma memerlukan anda menumpukan perhatian kepada isi jalan cerita. Kami akui ia bukanlah sebuah filem epik, namun bagi sebuah filem dalam kategori dan bajet sebegini, ia sememangnya sebuah filem yang dilaksanakan dengan begitu teliti dan baik sekali.
Tetapi tidak semuanya sempurna mengenai filem ini. Satu perkara yang mungkin akan anda perasan jika menonton filem ini adalah watak Dr. Kersey yang dimainkan Bruce Willis. Umum mengetahui Bruce Willis sememangnya ikon filem aksi sejak berdekad lalu. Tetapi melihatnya sebagai seorang yang berkeluarga agak janggal. Untuk pengetahuan anda, dalam separuh pertama filem ini, Dr. Kersey memang langsung tidak pandai dalam berlawan atau menggunakan senjata, hanya dalam separuh kedua filem ini beliau cuba belajar menembak. Ia agak pelik melihat Bruce Willis tidak pandai berlawan dan dibelasah penyangak jalanan. Tambahan pula beliau tidak banyak bercakap, malah bercakap serupa hero aksi yang cool, jadi lakonannya kurang sesuai untuk watak yang dimainkannya.
Tetapi itu sahaja isu yang boleh kami lihat dalam filem ini.
Positif vs Negatif
Positif
- Jalan cerita yang diolah dengan baik dan disusun dengan rapi
- Keseimbangan antara drama dan aksi yang terbaik dalam sebuah filem yang pernah kami lihat tahun ini.
- Mesej yang jelas mengenai cabaran yang dihadapi semua pihak berkaitan jenayah senjata api di Amerika
Negatif
- Lakonan watak Dr Kersey sedikit tidak kena.
Kesimpulan
Kami sangat merekomen filem Death Wish ini kepada semua penonton dari semua lapisan masyarakat, kecuali yang berumur 18 tahun kebawah. Seperti yang kami katakan, ia bukanlah filem epik, namun, ia sebuah filem yang seimbang dari segi aksi dan drama serta tidak terlalu membebankan pemikiran. Sesuai bagi mereka yang ingin melepaskan tekanan, tetapi pada masa yang sama inginkan sesuatu topik yang boleh membuatkan penonton berfikir.