Walaupun banyak filem antarabangsa yang membanjiri pasaran tempatan, namun kami sememangnya mengharapkan filem-filem tempatan menyerlah, walaupun hanya satu atau dua buah filem. Filem KL Special Force dikhabarkan telah berjaya mengutip RM4.3 juta dalam 4 hari pertama tayangannya membuatkan kami tertarik untuk menontonnya dan hari ini, kami memberikan pendapat kami mengenai filem tersebut.
KL Special Force: Filem Serious Yang Membuat Satu Panggung Gelak Ketawa
KL Special Force mengisahkan seorang polis khas bernama Roslan (Rosyam Nor) yang ditugaskan menangkap kumpulan perompak bernama Anarchist yang diketuai Asyraff (Syamsul Yusof). Akibat telah tewas dalam kes rompakan pertama, Roslan telah ditawarkan rasuah oleh Asyraff supaya menghalang pihak polis dari menangkapnya. Sebagai pertukaran, beliau akan memastikan perompaknya tidak membunuh anggota polis pula. Harus dinyatakan bahawa Roslan tidak menolak wang rasuah yang dihantar setiap bulan ke rumahnya.
Zul pula adalah anggota polis baru yang ditugaskan ke dalam pasukan Roslan. Memandangkan kontroversi yang menyelubungi Roslan, Zul tidak berapa mempercayai Roslan dan menganggap beliau merupakan “hantu” (pemberi maklumat) untuk Asyraff. Wujudlah permusuhan di antara dua polis itu sepanjang filem ini.
Pada masa yang sama kumpulan Anarchist terus menjalankan rompakan di sekitar Kuala Lumpur. Dapatkah pasukan Roslan dan Zul menangkap kumpulan Anarchist ini? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Kami rasa untuk review filem ini, adalah sesuai jika kami membahagikan kepada dua bahagian. Pertama, apa yang kami suka mengenai filem ini dan kedua apa yang kami tidak sukai mengenai filem ini.
Apa yang kami suka:
Sejujurnya jalan cerita filem ini kami rasakan menggunakan template filem polis – gangster ala Hong Kong atau mungkin juga Holywood. Tapi apa yang pasti ia adalah sebuah template jalan cerita yang kami yakin semua peminat filem pernah tonton sebelum ini, dari watak polis yang terlalu sibuk dengan kerja dan mengabaikan keluarga, sehinggalah ke perompak yang mempunyai sejarah lampau yang menyebabkannya menjadi perompak. Namun, itu tidak mengapa kerana kami ingin melihat bagaimana pengarah dan sutradara mengolah filem ini untuk memenuhi citarasa penonton tempatan.
Apa yang kami suka mengenai filem ini adalah dari awal sehingga saat terakhir, kita tidak pasti dengan yakin siapakah di antara anggota polis yang sebenarnya bekerjasama dengan Asyraff. Suspensnya memang terasa. Jalan ceritanya juga tidak linear dan mempunyai banyak putaran plot (plot twist) yang mengubah arah pemikiran penonton mengenai plotnya. Ia tidak seperti kebanyakan filem tempatan yang boleh dijangka jalan ceritanya.
Babak aksinya juga boleh tahan, dengan banyak babak tembak menembak yang menarik yang menggunakan senapang dan efek yang realistik. Kadar kemusnahan kereta juga tinggi sekaligus memperlihatkan kos tinggi yang dicagarkan kru produksi untuk filem ini. Ini termasuklah kemusnahan Mazda RX9, BMW 5 series serta sejumlah besar kereta polis. Tetapi kami rasakan kereta polis yang dimusnahkan merupakan harta polis yang memang ingin dilupuskan yang terdiri kebanyakannya dari Proton Waja.
Babak berlawan juga boleh diberi pujian dengan gerakan kamera dinamik yang membuatkannya lebih dramatik. Dilihat bahawa usaha lebih digunakan untuk mempercantikkan babak-babak berlawan dalam filem ini.
Apa yang kami tidak suka:
Ada banyak perkara yang kami tidak suka mengenai filem ini dan yang paling ketara sekali ialah skripnya yang memang tak boleh belah. Siapalah yang bertanggungjawab menulis skripnya? Jika anda menonton filem ini, anda akan dapati beberapa babak suspens, yang tiba-tiba disusuli oleh dialog yang memang langsung tak kena, menyebabkan seluruh panggung berguling-guling tergelak. Ini bukan satu babak, malah beberapa babak berlainan. Tapi dari sudut pandangan yang lain, babak-babak sebegini sedikit sebanyak menceriakan filem ini supaya tidak membosankan.
Ada juga banyak babak aksi di mana polis seolah-olah dibuli oleh kupulan Anarchist ini ke tahap yang memalukan pasukan polis. Ini termasuk babak HQ CCTV di mana operatornya tenggelam dengan masalah ketika rompakan sedang berlaku. Ia memberi gambaran seolah-olah pihak polis tidak mempunyai kredibiliti dalam mengendalikan pusat operasi CCTV. Ditambah pula dengan skrip dialog yang melucukan, seluruh panggung tergelak menonton babak aksi berkenaan.
Tapi, seperti yang dikatakan sebelum ini, babak sebegitulah yang menceriakan suasana dalam filem ini. Kami andaikan selepas membaca review ini, ramai akan menonton filem KL Special Force untuk menonton babak-babak dialog yang tak boleh belah itu. Ia hanya boleh ditonton sekali, kerana jika ditonton kali kedua, elemen kejutan tiada lagi.
Satu lagi perkara lagi yang kami tidak suka mengenai filem ini adalah susunan dan pengolahan babak yang agak kelam kabut. Walaupun mesej yang hendak disampaikan berjaya disampaikan, namun pengolahannya yang kurang berkesan menyebabkan aliran ceritanya sedikit kabur.
Dari segi lakonan pula, tidak dapat dinafikan lakonan mantap Rosyam Nor, Fattah Amin dan Syamsul Yusof dalam filem ini terserlah, namun pelakon sokongan dan tambahan kurang meyakinkan lakonan mereka. Ditambah pula dengan penggunaan darah palsu yang kurang meyakinkan dalam babak tembak-menembak tidak membantu dalam “menggempakkan” filem ini.
Sebenarnya banyak lagi kekurangan yang ingin kami ketengahkan mengenai filem ini, tetapi cukuplah setakat ini.
Positif vs Negatif
Positif
- Suspens dari awal hingga akhir mengenai siapa sebenarnya jahat
- Babak aksi tembak-menembak, kejar mengejar dan letup-meletup berkos tinggi
- lakonan mantap pelakon utama.
- Jalan cerita yang tidak linear dan penuh dengan plot twist
Negatif
- Skrip yang memang tak boleh belah
- olahan aliran babak kurang berkesan
- Lakonan pelakon tambahan yang meragukan
Kesimpulan
Filem KL Special Force ini sememangnya lain dari yang lain dari segi penilaian dari kami. Kami tahu kami akan memberikan mata yang rendah untuk filem ini, namun, pada masa yang sama, kami sangat rekomen anda menonton filem ini di pawagam (bukan cetak rompak di media sosial) kerana ia kami yakin anda pasti akan terhibur, walaupun bukan di atas sebab-sebab yang betul. Ia seperti filem tamil di mana anda tertunggu-tunggu untuk menonton babak aksi yang tak masuk akal dan walaupun ia tidak masuk akal, itulah babak yang paling menghiburkan yang ingin anda tonton. Kesimpulannya, sokonglah filem tempatan.