Thor The Dark World merupakan sekuel kepada filem Thor dan juga The Avengers yang berkisar 2 tahun selepas kejadian dalam filem The Avengers.

Thor The Dark World [Review]
Thor The Dark World berlangsung dua tahun selepas kejadian dalam filem The Avengers di mana Loki telah ditangkap dan dipenjarakan oleh Raja Asgard, Odin yang juga merupakan bapa Thor.
5000 tahun dahulu satu kaun yang dinamakan Dark Elf telah berperang dengan 9 dunia untuk menguasai dunia-dunia tersebut supaya ia diselubungi kegelapan. Seperti manusia yang perlukan cahaya untuk hidup, Dark Elf memerlukan kegelapan untuk hidup. Untuk itu mereka mencipta satu senjata rahsia yang boleh memusnahkan dunia.
Tetapi senjata yang tidak boleh dimusnahkan itu berjaya dihalang dan disorokkan oleh bapa kepada Odin. Ketua Dark Elf pula melarikan diri.
Kini mereka kembali untuk menuntut senjata mereka serta memusnahkan 9 dunia yang ada dengan bantuan satu fenomena angkasa yang berlaku setiap 5000 tahun. Mampukah Thor dan rakan-rakannya menghalang kemusnahan dari berlaku? Saksikanlah Filem ini di pawagam.

Lakonan dan Jalan Cerita
Lakonan watak-watak dalam filem ini sememangnya baik, terutamanya Loki yang berjaya memperdayakan semua penonton dengan helahnya. Dari segi jalan ceritanya, ia sememangnya agak “straight forward” dan tidak ada banyak putar belit, kecuali dipihak Loki di mana beliau memang pakar berhelah dan helahnya memang amat penting dalam jalan cerita filem ini. Bila anda tonton filem ini, anda akan faham.
Filem kali ini juga memperlihatkan teknologi Asgard yang lebih maju selain pedang, perisai dan tukul. Buat pertama kali, pesawat udara dan senjata anti pesawat juga dipaparkan dalam filem ini. Senjata menembak dan grenad “dark matter” juga digunakan dengan meluas dalam dilem ini. Ini menjadikan babak-babak perangnya lebih menarik dan mendebarkan.

Walaubagaimanapun, babak terakhir yang sepatutnya epik, tidaklah begitu epik seperti filem transformers ataupun The Avengers, namun ia sangat menghiburkan dan lucu.
Terdapat juga babak rahsia yang diselitkan selepas penyiaran kredit-kredit filem ini. Jadi, pastikan anda tidak meninggalkan pawagam sebelum menonton babak tersebut.
Turut membuat penampilan ialah Stan Lee, iaitu pelukis komik Marvel terulung. Beliau selalu muncul dalam filem Marvel Comics sebagai watak tambahan dan dengan kemunculannya dalam filem ini, maka lengkaplah “trademark” Marvel dalam setiap filem keluarannya.
Kesimpulan
Filem ini merupakan salah satu filem mesti tonton tahun ini. Secara keseluruhan ia adalah satu filem aksi yang hebat yang diselitkan dengan adegan-adegan lucu yang bersahaja. Untuk merasai kepuasan maksima menonton filem ini, tontonlah di pawagam dan sama-samalah mengegarkan panggung.






