Antarabangsa

The Lion King 2019 – Satu Pameran Teknologi CGI Hebat

Admin masih di sekolah rendah ketika filem animasi The Lion King yang asal diterbitkan pada tahun 1994. Ketika itu kami menonton filem tersebut dalam format VHS memandangkan wayang tidaklah sebanyak seperti hari ini. namun tidak banyak admin ingat mengenai jalan ceritanya. Apabila diumumkan filem live action filem tersebut akan ditayangkan ia agak mengujakan. Kami sempat menonton filem ini di pawagam dan di sini kami ingin berkongsi pendapat kami mengenainya.

The Lion King 2019 – Satu Pameran Teknologi CGI Hebat

The Lion King 2019 merupakan pembikinan semula kartun animasi dengan tajuk yang sama yang pertama kali ditayangkan pada tahun 1994. Ia menggunakan teknik CGI terkini untuk menghasilkan satu animasi foto-realistik. Namun dari segi jalan cerita, ia mengikut sepenuhnya jalan cerita filem asal.

Tontonlah filem ini di pawagam untuk melihat sejauh mana kehebatan CGI filem ini.

Review

Tidak banyak boleh dikatakan mengenai filem ini dari segi jalan cerita memandangkan filem ini mengikut sepenuhnya jalan cerita filem asal. Namun apa yang kami akan ulas ialah keputusan membikin semula filem ini menggunakan CGI.

Sebenarnya pembikinan semula dalam bentuk CGI harus dipuji. Kualiti CGI yang digunakan sangat hebat sehingga sukar untuk membezakan samada ia filem live action ataupun CGI, terutamanya landskap yang sangat foto-realistik. Watak-watak binatang juga sangat realistik tetapi penonton yang berpengalaman dapat melihat ia merupakan CGI.

Namun kami berpendapat para pembikin terlalu memfokuskan kepada membikin sebuah filem yang foto-realistik sehingga mereka melupakan filem ini untuk tontonan kanak-kanak. Segalanya dibikin secara realistik sehingga tiada warna-warni babak-babak nyanyian yang meriah. Ia seolah-olah menonton tayangan dokumentari haiwan National Geographic.

Sepatutnya mereka mengorbankan sedikit realisme untuk memuatkan babak-babak nyanyian yang lebih meriah dan berwarna-warni. Kami rasa jika anda membawa anak-anak ke tayangan ini, mereka mungkin tidak akan menikmati filem ini sepertimana kami menontonnya ketika kecil dahulu.

Secara ringkasnya filem ini secara teknologinya, sangat memberangsangkan, tetapi sebagai sebuah filem animasi untuk kanak-kanak yang menghiburkan, ia gagal. Semudah itu.

Positif vs Negatif

Positif

  • Kualiti animasi yang memberangsangkan
  • Mengikut jalan cerita asal

Negatif

  • Terlalu realistik sehingga tidak mempunyai babak meriah berwarna-warni
  • Mungkin tidak menyeronokkan bagi kanak-kanak

THE LION KING – Featuring the voices of JD McCrary as Young Simba, Billy Eichner as Timon and Seth Rogen as Pumbaa, Disney’s “The Lion King” is directed by Jon Favreau. In theaters July 19, 2019. © 2019 Disney Enterprises, Inc. All Rights Reserved.

Kesimpulan

Kesimpulannya kami kurang pasti apa sebenarnya tujuan Disney membikin semula filem The Lion King dalam bentuk CGI. Barangkali mereka membikinnya khas untuk golongan yang menonton filem asal ketika kecil dan kini telah dewasa dan ingin mengembalikan nostalgia menonton filem ini.

Tetapi apa yang pasti, anak-anak generasi kini mungkin tidak akan seronok menonton filem ini malah mungkin akan bosan. Ia terlalu realistik hingga ia umpama menonton dokumentari haiwan. Tontonlah filem ini jika anda seperti admin mempunyai nostalgia menonton filem ini semasa kecil. Tapi kami tak janji anda akan suka menonton filem ini pun.

Penilaian: 5/10

IMDB

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

The Latest

To Top