Kami mendapat tajaan untuk menonton sebuah filem yang tidak kami kenali iaitu Crawl. Daripada trailer yang kami tonton ia sebuah filem survival buaya yang sama genre dengan filem Jaws. Kami menerima jemputan menonton ini dan berikut adalah pendapat kami mengenai filem ini.
Crawl – Filem Survival ala Jaws
Crawl mengisahkan Haley, seorang perenang remaja yang tinggal di kawasa Florida. Pada ketika itu, kawasannya dilanda ribut dan risiko kawasan itu banjir tidak dapat dielakkan. Ibu bapa Haley telah bercerai dan bapanya tinggal di kawasan dijangka bakal dilanda banjir.
Setibanya Haley di sana, didapati bapanya berada di bahagian bawah rumah yang semakin ditenggelami air dalam keaadaan tidak sedarkan diri serta patah kakinya dan bukan mereka sahaja spesis hidupan di situ. Dapatkah mereka menyelamatkan diri? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Kami terkejut juga apabila mendengar berita mengenai filem ini mendapat kritikan baik 100% di Rotten Tomatoes, bermakna ramai yang sukakan filem ini. Bukan kami katakan filem ini tidak bagus, tetapi kami rasakan ia tidaklah sampai 100% kritikan baik.
Pertama sekali sebahagian besar filem ini berlangsung di satu kawasan sahaja iaitu di bahagian bawah rumah bapanya dan kawasan sekelilingnya. Jadi tidak banyak variasi dari segi persekitaran kejadian. Filem ini mengambil masa untuk memperkenalkan watak-watak utama kepada penonton membolehkan penonton membina satu hubungan dengan penonton.

Kebanyakan aksi yang dipaparkan mendebarkan di mana Haley dan bapanya hampir-hampir dibaham buaya dalam usaha mereka melepaskan diri dari bahagian bawah rumah yang dikerumuni buaya. Namun, agak menghampakan kerana penonton boleh mengagak setiap pelakon yang bukan pelakon utama pasti akan mati, sepertimana semua filem-filem sebegini.
Kami rasakan kekuatan utama filem ini adalah debarannya, kerana kalau hendak dikatakan filem ini seram, ia tidak kerana ia melibatkan pemangsa yang dikenali dan bukan yang tidak dikenali seperti makhluk asing. Apa yang pasti, ia tiada jalan cerita yang kompleks. Ia cuma sebuah filem bagaimana watak-watak utamanya menyelamatkan diri dari dimakan buaya. Seperti biasa, watak-watak utama mempunyai kuasa dan nasib luarbiasa membolehkan mereka tidak mati walaupun digigit beberapa kali.
Positif vs Negatif
Positif
- Mendebarkan
- Mempunyai momen-momen menginspirasikan antara anak dan bapa
- Tidak kompleks
Negatif
- Jalan cerita boleh dijangka
Kesimpulan
Filem Crawl adalah filem survival yang dibuat khas untuk penonton yang inginkan debaran dan bukan dalam mood untuk jalan cerita yang berjela-jela. Ia bukanlah sebuah filem yang epic, sebaliknya hanya untuk menghiburkan semata-mata.