The Grudge – Sebuah Filem Seram Agak Tipikal

Selamat tahun baru 2020! Walaupun kereta terbang masih belum kelihatan, tapi terdapat beberapa filem dalam pemerhatian Wayangkini dalam bukan Januari 2020. Kali ini kami berkesempatan menonton filem remake, The Grudge. Daripada trailernya yang disiarkan penghujung tahun lepas, ia kelihatan seperti sebuah filem yang sekurang-kurangnya perlu ditonton demi nostalgia kisah lalu. Berikut merupakan pendapat kami mengenai filem seram ini.

Grudge

The Grudge – Sebuah Filem Seram Agak Tipikal

Filem remake The Grudge mengisahkan detektif Muldoon, seorang ibu tunggal yang baru berpindah ke sebuah pekan kecil di kawasan luar bandar Amerika. Pada hari pertama beliau sudah menerima satu laporan terjumpanya sebuah kereta yang tersadai di dalam hutan di mana satu mayat wanita telah dijumpai didalamnya. Setelah mengorek, dipercayai mayat itu ada kaitannya dengan kes pembunuhan keluarga Landers.

Sejak itu, detektif Muldoon mula menyiasat latarbelakang kes tersebut. Apakah yang bakal beliau jumpai? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Review

Filem The Grudge atau dalam bahasa Jepun, Ju-On, merupakan filem seram yang terkenal semasa admin belajar di universiti. Gaya rambut dan kelibat kanak-kanak dalam filem tersebut selalu dijadikan bahan rujukan dalam karya-karya samada parodi mahupun filem seram lain. Terdapat pelbagai versi dan sekuel yang terbit dari filem asal Ju-On ini.

Secara umumnya, dalam filem remake kali ini, seorang wanita Amerika, Fiona Landers tinggal di rumah berhantu yang ditampilkan dalam filem Ju-On asal semasa beliau bekerja di Tokyo. Dipendekkan cerita, sumpahan pada rumah itu mengikutinya pulang ke Amerika. Selebihnya, anda perlu tonton filem ini.

Grudge

Berbeza dari filem Ju-On sebelum ini, filem The Grudge memfokuskan kepada jalan cerita dan penyiasatan latarbelakang, berbanding babak-babak seram dan terkejut. Babak seram dan terkejut masih ada, namun jalan cerita memainkan peranan lebih dominen dalam filem ini. Pengolahan jalan ceritanya juga menarik di mana kisah latarbelakang sejarah kes pembunuhan keluarga Landers dan kes-kes berkaitan hanya didedahkan seiring dengan siasatan detektif Muldoon. Ini bermakna terdapat banyak babak flashback digunapakai. Babak-babak tersebut dibikin dengan baik supaya penonton faham jalan cerita yang hendak disampaikan.

Grudge

Walaubagaimanapun, disebabkan fokus filem ini kepada jalan cerita, watak protagonis dilihat kurang berhadapan secara langsung dengan hantu The Grudge ini. Beliau seperti kurang diketengahkan dan hanya sekadar penyampai kepada kisah-kisah yang berlaku dalam kes pembunuhan keluarga Landers. Pengarah juga cuba sedaya upaya untuk tidak membikin babak-babak seram dan terkejut yang klise.

Secara keseluruhannya, filem The Grudge bukanlah sebuah filem luarbiasa. Jalan ceritanya dibikin dengan baik, namun tidak memiliki satu plot yang begitu luar biasa. Tetapi, jika dibandingkan dengan filem seram lain, plot dan jalan ceritanya lebih luas dan menarik. Mungkin bagi anda yang mahu tonton filem seram, tetapi tak mahu sebuah filem yang terlalu seram, filem ini sesuai untuk anda.

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita yang agak menarik berbanding filem seram lain
  • Terdapat justifikasi yang masuk akal tentang bagaimana sumpahan berpindah dari Jepun ke Amerika

Negatif

  • Tidaklah begitu seram kerana lebih menumpukan pada jalan cerita berbanding babak seram

Grudge

Kesimpulan

Umum mengetahui bulan Januari bukanlah satu bulan yang baik untuk perfileman. Kebanyakan filem yang ditayangkan pada bulan Januari ialah filem yang tidak mahu ditayangkan pada bulan Disember sebelumnya kerana saingan pada bulan tersebut adalah sangat sengit. Walaupun filem ini tidaklah sehebat mana (admin pun bukanlah peminat tegar filem seram), jalan ceritanya yang penuh simpang siur bolehlah diberi pujian dan berjaya mengelakkan filem ini menjadi sebuah filem buangan.

Penilaian: 6/10

IMDB

 

 

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *