Ip Man 4 The Finale – Penamat Epik Kisah Lagenda

Dewasa ini, filem-filem bertemakan Kung-fu sejati sudah ketara berkurangan berbanding zaman admin kecil-kecil dahulu. Tetapi, ada juga kebaikannya dalam kerana filem Kung-fu yang dihasilkan, walaupun sedikit, tetapi berkualiti. Siri filem Ip Man salah satu yang terbaik. Filem-filemnya biasanya mengambil formula yang lebih kurang sama dengan filem-filem Kung-fu seperti filem-filem Bruce Lee, di mana satu pihak menindas pihak hero, dan hero perlu mempertahankan hak-hak pihak yang ditindas. Bezanya filem-filem baru ini biasanya mengambil pendekatan memperkenalkan elemen peribadi dan kekeluargaan bagi memerangkap emosi penonton. Filem Ip Man 4 The Finale merupakan salah satu filem yang memgunakan formula berkenaan. Kami sempat menonton filem ini dan berikut ulasan kami mengenainya.

Ip Man 4

Ip Man 4 The Finale – Penamat Epik Kisah Lagenda

Dalam Ip Man 4 The Finale, Master Ip Man mendapati dirinya terkena kanser dan tidak mempunyai banyak masa untuk hidup. Jadi beliau cuba mencari sekolah yang baik untuk anaknya di San Francisco supaya beliau boleh mendapat masa depan yang lebih cerah. Kebetulan pula, beliau menerima jemputan dari ank muridnya, Bruce Lee ke pertandingan Kung-fu yang diadakan di sana.

Ip Man 4

Setibanya di sana, barulah beliau mempelajari tentang keadaan imigran China yang berhijrah ke Amerika yang sering ditindas warga tempatan dan dilehat dengan penuh syakwasangka. Untuk mendaftar masuk anaknya ke sekolah di Amerika, Ip Man perlu mendapatkan surat sokongan daripada pengerusi Persatuan Cina di Chinatown. Malangnya kedua-dua mereka mempunyai pendapat bercanggah mengenai peranan Kung-fu dalam kehidupan imigran China di Amerika. Oleh sebab itu timbul konflik antara mereka berdua. Dapatkah beliau berdamai dengan tuan pengerusi persatuan cina dan menghantar anaknya ke sekolah di Amerika? Tontonlah filem ini untuk mengetahui kesudahannya.

Ip Man 4

Review

Umum sudah sedia maklum apa yang boleh diharapkan apabila terbitnya filem kung-fu seperti filem Ip Man 4 The FInale ini. Jalan ceritanya tidak banyak berbeza dan boleh diagak. Namun itu bukan sebab utama peminat filem kung-fu menonton filem genre ini. Penonton dan peminat filem Kung-fu ingin melihat kehebatan Kung-fu dan bagaimana kuasa pihak yang baik mengalahkan yang jahat. Admin juga peminat filem genre begini dan memandangkan jarang-jarang filem Kung-fu epik dihasilkan kebelakangan ini, memang terasa perasaan rindu kepada filem genre ini diubati semasa menontonnya.

Dalam filem ini, fokus utamanya adalah nasib imigran China di San Francisco dan peranan Kung-fu dalam kehidupan mereka di sana. Memandangkan mereka berada di San Francisco, maka Bruce Lee juga akan memainkan peranan yang agak besar dalam filem ini.

Ip Man 4

Jalan cerita filem ini agak ringkas, namun berkesan menyampaikan mesejnya. Tetapi, seperti yang disebut sebelum ini, jalan cerita bukan fokus utama dalam filem ini. Tema filem ini ialah Kung-Fu vs Karate, atau lebih spesifik lagi, Kung-fu+orang cina vs Karate+orang USA. Ya, ternyata pembikin filem ini mahu “kill two birds with one stone” dengan menyerang secara halus dua musuh utama China, iaitu Jepun dan Amerika. Namun, lantak lah politik, admin hanya mahu menonton sebagai peminat filem Kung-fu.

Ip Man 4

Ternyata babak-babak berlawanya tidak menghampakan. Ia tidaklah memaparkan pihak aliran Kung-fu kuat melampau, sebaliknya seimbang. Ip Man pun tidak terlepas dari dibelasah teruk dalam perlawanan terakhir. Tiada gerakan terbang-terbang yang tidak realistik dipaparkan dan gerakan Kung-fu dan karate dalam perlawanan antara mereka dikoreaograf dengan begitu baik dan memang terasa kesakitannya. Anda tontonlah sendiri untuk melihat hasil kerja Donnie Yen dan rakan-rakan.

Apa yang kurang menarik cuma sifat anti-cina yang dipaparkan penduduk asal USA terlalu ketara dan kadang-kala nampak tidak realistik dan dibuat-buat. Namun, mungkin begitulah diskriminasi yang dihadapi golongan bukan kulit putih di Amerika pada ketika itu. Admin tidak hidup di zaman 70an, jadi tak boleh komen banyak.

Positif vs Negatif

Positif

  • Koreografi berlawan yang terbaik
  • Jalan cerita yang walaupun ringkas, berjaya menyampai mesej
  • Babak-babak feeling yang juga berkesan.

Negatif

  • Jalan cerita boleh diagak

Kesimpulan

Kesimpulannya bagi peminat tegar filem Kung-fu, tak sah kalau tak tengok filem ini. Filem epik sebegini bukan selalu diterbitkan. Tambahan pula filem ini adalah filem penamat bagi siri filem Ip Man, jadi rugilah anda tidak tahu kesudahannya.

Penilaian: 8/10

IMDB

About iMyn

Seorang peminat tegar filem Sci-Fi, Aksi, Thriller dan Epik Sejarah. Tidak tahan kepada lakonan yang lemah atau tidak realistik. Percaya bahawa untuk mengelak cetak rompak, filem harus ditonton di wayang.
View all posts by iMyn →

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *