Antarabangsa

Gundala – Adiwira Nusantara Menyaingi DC Universe

Jika Malaysia terkenal dengan adiwira animasi komputer, kini BumiLangit Studios ingin memperkenalkan satu universe adiwira nusantara yang berasakan satah satu watak komik pertama Indonesia, Gundala. Wayangkini diberi jemputan khas untuk menghadiri acara tayangan khas media yang berlangsung di TGV Suria KLCC Jumaat lepas. Jadi kami antara yang pertama di Malaysia menonton filem ini yang bakal menjadi asas kepada BumiLangit Universe di mana lebih ramai lagi filem dan watak adiwira / penjahat akan diperkenalkan.

Gundala

Gundala – Adiwira Nusantara Menyaingi DC Universe

Berikut merupakan kenyataan rasmi BumiLangit Studios berkenaan filem Gundala:

  1. Gundala adalah adaptasi daripada karektor komik pertama di Indonesia karya Harya “Hasmi” Suraminata yang diterbitkan oleh Jagat Sinema pada tahun 1969. Komik ini mendapat sambutan hebat oleh para pencinta komik di Indonesia dan telah diterbitkan sebanyak 23 edisi sehingga tahun terakhirnya pada 1982.
  2. Filem ini mengisahkan mengenai Sancaka yang hidup di jalanan sejak kecil setelah ditinggalkan oleh ibu-bapanya. Kesulitan hidup membuatkan Sancaka sering memikirkan bagaimana dia harus bertahan untuk meneruskan kehidupan. Ketika keadaan semakin buruk, Sancaka perlu memilih untuk hanya melindungi dirinya sendiri atau bangkit menjadi pahlawan membantu mereka yang ditindas.
  3. Filem ini dibintangi oleh Abimana Aryasatya, Tara Basro, Ario Bayu, Cecep Arif Rahman, Rio Dewanto dan Muzakki Ramdhan. Pelakon dari Malaysia, Bront Palarae turut membintangi filem ini dan memegang watak penjahat utama.
  4. Filem ini ditulis dan diarahkan oleh pengarah terkenal Indonesia, Joko Anwar. Antara filem terkenal arahan Joko Anwar adalah Janji Joni, Pengabdi Setan dan terbaharu, Perempuan Tanah Jahanam.
  5. Filem edaran Legacy Pictures dari Indonesia ini merupakan terbitan bersama Screenplay Films dan BumiLangit Studios.
  6. Filem ini akan ditayangkan di seluruh Malaysia pada 26 Disember 2019. Filem ini telahpun ditayangkan di Indonesia  pada 29 Ogos 2019.
  7. Bagi penghasilan kostum, filem ini bekerja sama dengan pereka kostum daripada Amerika Syarikat iaitu Quantum Creations FX yang telah menghasilkan kostum bagi filem-filem terkenal seperti Dare Devil, Supergirl, The Hunger Games, Star Trek dan Iron Man.
  8. Visual effect bagi filem ini dihasilkan oleh Anibrain VFX, India yang terlibat dalam pembikinan filem Doctor Strange, Guardians of Galaxy Vol 2, Fantastic Beast dan banyak lagi.
  9. Gundala telah berjaya menggondol tiga anugerah di Festival Film Indonesia 2019 menerusi kategori Pengarah Sinematografi Terbaik (Ical Tanjung), Penata Efek Visual Terbaik (Abby Eldipie) dan Penata Suara Terbaik (Khikmawan Santosa, M. Ikhsan & Anhar Moha)
  10. Buku komik Gundala akan berada di pasaran bermula 26 Disember 2019 di kedai buku MPH yang terpilih.

Review

Admin pernah melihat trailer filem ini beberapa minggu lalu semasa menonton filem-filem untuk diulas di Wayangkini.com. Pandangan pertama mengenai filem ini setelah menonton trailer berkenaan ialah ia agak klise, namun ada satu tarikan yang menjadikan admin tertarik untuk menonton filem ini, walaupun jika tidak diundang ke acara tayangan khas media ini. Mungkin koreografi lawannya atau tema politiknya yang menarik minat admin.

Gundala

Setelah menonton filem Gundala, secara umumnya admin berpuas hati dengan filem ini dan berikut adalah ulasan admin mengenai filem ini.

Filem Gundala, ataupun BumiLangit Universe secara umumnya, lebih mirip kepada DC Universe dalam erti kata ia lebih gelap dan banyak berlatarbelakangkan kecelaruan sosioekonomi dan politik setempat. Kita tidaklah boleh mengharapkan jalan cerita sedalam dan seteliti filem Holywood, namun latarbelakang watak utamanya Sancaka dan latarbelakang masyarakat setempat yang ditampilkan dalam filem ini diolah dengan baik dan berjaya memberikan “vibe” Gotham City dalam filem Batman.

Gundala

Namun, tidak seperti filem Batman, watak-watak polis digantikan dengan ahli politik dalam kabinet yang menjadi fokus perjuangan antara pihak baik dan jahat. Watak Commisioner Gordon digantikan dengan watak Ridwan Bahri, salah seorang ahli politik yang masih ingin memperjuangkan kebenaran dan keadilan antara lautan ahli politik yang telah dirasuah oleh Pengkor (Bront Palarae), ketua kumpulan jenayah terancang yang menguasai bandar tersebut.

Admin agak kagum juga dengan pembinaan watak dan jalan cerita filem ini. Jalan ceritanya tidak lurus bendul sahaja, sebaliknya terdapat putaran plot yang tidak dijangka. Terdapat juga lawak jenaka bersahaja di celah-celah babak-babak lawannya yang memang lucu tetapi tidak “terdesak“. Selain itu kuasa yang dimiliki Sancaka juga mempunyai kompleksitinya tersendiri. Sesetengah perkara tentang kuasa yang dimiliki Sancaka memerlukan pemahaman saintifik untuk difahami. Sebagai contoh, beliau boleh mematahkan atau memecahkan sesuatu jenis barang menggunakan kuasa resonans.

Gundala

Koreografi lawannya juga harus diberi pujian. Bagi mereka yang pernah menonton filem Indonesia “The Raid”, tentu tahu betapa hebatnya koreografi lawannya. Filem Gundala boleh dikatakan mempunyai babak lawan yang berada di tahap yang sama. Mungkin tidak sehebat, tetapi sangat hampir di tahap sama.

Mutu lakonan watak-wataknya juga baik dan Bront Palarae juga memainkan watak jahatnya dengan baik sekali. Tahukah anda nama sebenar Bront Palarae ialah Nasrul Suhaimin bin Saifuddin? Admin pun baru tahu.

Mungkin satu perkara yang admin rasakan kurang mengenai filem ini ialah perincian latarbelakangnya contohnya dalam babak-babak dalam tempat awam yang sepatutnya dikerumuni orang, pelakon-pelakon tambahan yang tidak mencukupi menjadikan babak nampak kosong. Tetapi itu perkara kecil sahaja dan bukan “deal breaker“.

Secara keseluruhannya filem Gundala berjaya membangkitkan “vibe” filem adiwira DC Universe, walaupun dalam skala yang lebih kecil. Memang menipu jika saya kata ia boleh menandingi filem-filem DC atau Marvel Universe, tetapi jika dilihat dari latarbelakang nusantara, ia merupakan usaha terbaik setakat ini dalam mewujudkan satu francais filem adiwira Nusantara.

Gundala

Positif vs Negatif

Positif

  • Jalan cerita dan karakter yang dirancang dengan baik.
  • Koreografi berlawan yang baik
  • Lawak jenaka bersahaja sedikit sebanyak menceriakan suasana

Negatif

  • Mungkin perincian latarbelakang yang tidak mencukupi

Kesimpulan

Gundala adalah filem pengenalan kepada BumiLangit Universe dan bergantung kepada pendapat anda mengenai filem ini, anda samada akan menonton filem-filem seterusnya ataupun tidak. Setakat apa yang kami tonton dalam filem Gundala, ia bukan sebuah filem yang super mengujakan, namun ia sebuah filem yang latarbelakangnya dirancang dengan rapi, mempunyai koreagrafi berlawan yang baik dan tidak “insult your intelligence” dengan plot yang simplistik dan mudah dijangka. Bagi kami tidak rugi untuk anda cuba menonton filem ini untuk menilai sendiri. Sejujurnya babak pasca kreditnya paling mengujakan kerana ia memperlihatkan potensi sequel yang penuh dengan kemungkinan.

Penilaian: 8/10

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

The Latest

To Top