Masa yang ditunggu-tunggu oleh peminat tegar Star Wars telah tiba. Sequel terakhir bagi trilogi Star Wars telahpun tiba. Star Wars The Rise of Skywalker memulakan tayangannya hari ini dan kami telah berpeluang menonton tayangan perdana filem ini di pawagam Onyx di I-Central, I City Shah Alam malam tadi dan berikut merupakan pendapat kami mengenai filem ini .
Star Wars The Rise of Skywalker – Penutup Trilogi yang Menyakitkan
Star Wars The Rise of Skywalker merupakan penutup kepada trilogi Star Wars di mana ahli-ahli pihak pemberontak akan berhadapan dengan keseluruhan tentera First Order dalam pertembungan terakhir.
Sementara Kylo Ren berusaha mencari Emperor Palpatine, ketua Sith untuk menghapuskannya dalam usahanya menghapuskan sesiapa yang berpotensi menghalangnya menguasai sepenuhnya First Order. Beliau juga tidak berputus asa mencari dan mengajak Rey bersamanya dalam “Dark Side“.
Pihak pemberontak juga mencari alat navigasi yang boleh membawa mereka ke markas Sith bagi menghapuskan angkatan kapal perang yang dibina secara rahsia oleh Emperor Palpatine untuk menguasai seluruh galaksi.
Apakah kesudahan pertembungan antara kuasa baik dan jahat ini? Tontonlah filem ini untuk mengetahui segalanya.
Star Wars The Rise of Skywalker – Penutup Trilogi yang Menyakitkan
Pertama sekali, admin bukanlah peminat tegar Star Wars, cuma admin mengikuti semua siri filem utama Star Wars. Admin tidak cukup berminat untuk mengikut siri-siri TV dan animasi Star Wars di TV ataupun perkhidmatan penstriman. Namun tidak dapat dinafikan trilogi asal episod 4, 5 dan 6 memang mempunyai tempat yang istimewa di hati admin kerana memori menontonnya semasa kecil dan berkongsi dengan rakan-rakan di sekolah.
Oleh itu admin ada juga sedikit harapan yang diletakkan pada The Rise of Skywalker ini. Cuma, oleh kerana admin bukan peminat tegar, admin masih menilai filem ini secara objektif dan tidak dipengaruhi sentimen “fanboy“.
Berbalik kepada filem ini, babak-babak pembukaan dalam filem ini sudah menampakkan masalah. Babak-babaknya begitu tergesa-gesa dan terlalu pendek, seolah sebuah karangan dalam bentu “point form”. Hanya isi penting diletakkan tanpa pengolahan panjang lebar untuk menjadikan babak tersebut lebih menarik. Anda boleh memahami apa yang berlaku, tetapi ia tidak menyumbangkan kepada nilai hiburan filem ini.
Corak ini diteruskan sepanjang filem ini di mana semua babak-babaknya pendek dan tidak diolah secara mendalam, termasuk pembinaan karakter-karakter baru dan penampilan istimewa watak lama. Ini menyebabkan penonton tidak berapa terasa rapat dengan mana-mana karakter selain Rey dan Kylo Ren aka Ben Solo.
Tetapi apa yang menghampakan bagi “non-fanboy” sebagai admin ialah bagaimana jalan ceritanya terlalu idealistik dan boleh dijangka. Admin lebih gemarkan jalan cerita The Last Jedi arahan Rian Johnson yang lebih realistik dan tidak dijangka. Tapi ini hanya pendapat admin, admin tidak pasti bagaimana pendapat para peminat tegar.
Salah satu ciri filem Star Wars adalah babak-babak peperangan angkasa yang epik. Namun, dalam filem ini babak-babak perangnya tidak begitu memberangsangkan. Ia pendek dan tidak mempunyai babak yang belih diingati. Pendek kata, bagi admin, admin tidak terasa untuk menonton semula babak-babak aksi dan peperangannya kerana ia tidak memberangsangkan.
Walaubagaimanapun, filem ini dipenuhi banyak rujukan kepada filem-filem trilogi asal, jadi para peminat tegar Star Wars tentu akan terhibur dengan semua rujukan ini. Filem ini lebih mengikuti citarasa peminat tegar Star Wars berbanding penonton biasa yang hanya ingin menonton sebuah filem yang baik.
Admin melihat bahawa pendapat mengenai filem ini akan berbeza bergantung kepada jika anda peminat tegar atau tidak.
Positif vs Negatif
Positif
- CGI yang baik, terutamanya dalam menghasilkan semula watak Princess Leia yang pelakonnya telah meninggal dunia.
- Banyak rujukan kepada trilogi asal Star Wars
Negatif
- Babak-babak yang tergesa-gesa dan tidak mendalam
- Jalan cerita yang idealistik dan terlalu berpaksikan peminat tegar
- Babak-babak perang yang tidak memberangsangkan.
- Pembinaan karakter yang lemah
Kesimpulan
Kesimpulannya filem Star Wars adalah filem bagi peminat tegar dan bila penonton biasa menontonnya dan menilainya sebagai sebuah filem sci-fi sejajar dengan filem-filem sci-fi lain, ia mula menampakkan kelemahannya. Jadi, gunalah pertimbangan anda samada mahu atau tidak menonton filem ini