Sejujurnya admin telah lama menonton trailer filem 21 Bridges di pawagam pada tahun lepas. Rupa-rupanya, Malaysia adalah antara negara terakhir filem ini ditayangkan. Ia telahpun ditayangan di negara-negara lain seawal penghujung September tahun lalu. Namun bak kata pepatah, biar lambat asal selamat. Kami selamat menonton filem ini di pawagam dan kami sedia berkongsi pendapat mengenai filem ini.
21 Bridges – Filem Aksi Konspirasi Yang OK
21 Bridge mengisahkan seorang detektif Andre Davis yang ditugaskan mengetuai operasi menjejak sepasang pembunuh polis yang telah membunuh 8 orang anggota polis dalam satu rompakan bekalan dadah. Tanpa disangka, sedikit demi sedikit beliau membongkarkan satu konspirasi besar.
Apakah konspirasi itu? Tontonlah filem ini untuk mengetahui jawapannya.
Review
Setelah menceritakan latarbelakang Detektif Andre Davis, filem ini tidak membuang masa untuk masuk ke babak-babak aksi. Babak tembak menembak pertama ini memang gempak dan menjadi premis kepada situasi psikologi anggota polis yang terlibat. Mereka marah dan ingin balas dendam. Jadi, sepanjang filem ini penonton boleh lihat anggota polis dalam mod “tembak dulu, tanya soalan kemudian”.
Secara keseluruhannya, filem ini menghidangkan aksi tanpa henti di samping jalan cerita konspirasi yang menarik. Namun, kelakuan polis sejak awal filem ini sedikit sebanyak memberi petunjuk awal bahawa terdapat konspirasi dalam filem ini dan segalanya bukan setakat memburu pembunuh polis. Dengan kata lain elemen kejutan tidak kuat dalam filem ini dan sejak awal lagi penonton boleh jangkakan terdapat suatu konspirasi, cuma tidak tahu apa konspirasinya.
Walaupun 21 Bridgesi menghidangkan aksi tanpa henti, jalan ceritanya agak pendek sehinggakan anda terasa tidak puas menonton babak aksi dan pembongkaran konspirasi. Namun, setelah konspirasi terbongkar, ia sesuatu yang mungkin tidak ramai menjangkakan. Persoalan di sebalik konspirasinya sedikit sebanyak menimbulkan satu persoalan di minda penonton. Admin agak memahami kenapa konspirasi tersebut berlaku, walaupun tidak bersetuju dengannya. Jika anda menonton filem ini, kongsilah pendapat anda mengenai konspirasi dalam filem ini. Anda di pihak yang mana?
Sebenarnya tidak banyak admin mahu ulas mengenai filem ini. Ia penuh aksi, plotnya menarik dan berjaya mengekalkan minat penonton sehingga ke penghujung. Tetapi durasi filem sedikit pendek dan penonton seperti admin tidak berapa puas menontonnya. Mungkin penyiasatan konspirasinya terlalu pendek dan tidak diolah sepenuhnya bagi meningkatkan suspens filem ini.
Positif vs Negatif
Positif
- Babak aksi yang mengancam
- plot dan jalan cerita yang menarik
Negatif
- Agak pendek durasinya
- Lakonan pelakon tambahan kadang-kadang terlalu ketara berlakon (tidak natural).
Kesimpulan
Memandangkan ini bulan Januari dan biasanya tidak banyak filem besar diterbitkan, filem 21 Bridges mungkin boleh memenuhi gap filem para kaki wayang di Malaysia. Ia penuh aksi dan mempunyai plot yang agak menarik untuk ditonton. Tontonlah dengan rakan-rakan (memandangkan ia hanya untuk penonton 18 tahun ke atas) jika anda minat genre filem aksi dan konspirasi.