Filem Tenet merupakan filem paling admin tunggu-tunggu tahun ini dan admin memang hilang sabar apabila tayangannya ditunda dua kali akibat pandemik COVID 19. Tetapi akhirnya filem ini mula ditayangkan di pawagam dan kerana sedikit sibuk, admin hanya berpeluang menonton filem ini petang tadi. Apa pendapat kami mengenai filem ini? Di sini admin kongsikan.
Tenet – Sebuah Filem Pengembaraan Masa Dengan Kelainan [Review]
Suatu masa jauh di masa hadapan, saintis telah menemui cara untuk menjadikan sesuatu benda atau orang bergerak melalui masa pada arah kebelakang. Benda-benda atau orang-orang ini dipanggil benda “inverted”. Seorang pengedar senjata bernama Andrei Sator ingin menggunakan konsep ini untuk mengubah dunia tetapi sebenarnya beliau ingin memusnahkan dunia.
Pertubuhan yang dinamakan Tenet menugaskan The Protagonis yang asalnya adalah agen CIA untuk menghentikan rancangan Andrei sebelum beliau mendapatkan semua dari 9 bahagian algoritma yang membolehkan beliau menguasai arah pergerakan masa. Dapatkah beliau menghentikan rancangan Andrei dan menyelamatkan dunia? Tontonlah filem ini di pawagam untuk mengetahui kesudahannya.
Review
Seperti kebiasaan dengan filem-filem karya agong sci-fi Chris Nolan yang selalu mencabar minda, filem Tenet ini turut mengetengahkan konsep pengembaraan masa dengan kelainan dan tidak pernah dilihat dalam filem-filem lain. Seperti biasa, penonton tentu kepeningan untuk memahami konsep ini, namun “tutorial” diselit-selitkan di sepanjang filem ini bagi memudahkan penonton memahami konsep paradox masa yang diketengahkan dalam Tenet ini. Bagi admin konsepnya masa ini agak kompleks dan memerlukan penonton terus fokus mendengar dan menonton dengan teliti untuk memahaminya, tetapi bagi admin, admin boleh memahami konsep ini dengan sekali lalu. Mungkin kerana admin telah menonton 3 musim siri TV Jerman “Dark” yang jauh lebih kompleks dari filem ini dan telah masak dengan selok belok filem dengan konsep masa.
Seperti dalam kebanyakan filem pengembaraan masa, setiap perincian yang dipaparkan dalam filem ini perlu diberi perhatian kerana di suatu ketika kemudian dalam filem ini, perincian tersebut akan menjadi penting dalam pemahaman jalan ceritanya. Bercakap mengenai jalan ceritanya, ia memang sangat menarik dan membuatkan penonton tidak mahu bergerak dari tempat duduk kerana takut terlepas isi penting dalam jalan ceritanya. Walaubagaimanapun, 30-45 minit pertama mungkin sedikit perlahan dan mendalam. Ini mungkin sedikit membosankan bagi sesetengah penonton, namun perincian dalam bahagian awal penting dalam jalan ceritanya. Babak aksinya juga mendebarkan dan kadang-kala memeningkan kerana ia melibatkan perlawanan antara orang biasa dengan orang “inverted”.
Apa pun, kekuatan utama jalan ceritanya ialah banyak babak dalam jalan cerita ini berulang, tetapi diambil dari sudut pandangan berbeza. Ia amat seronok untuk melihat orang yang sama, dalam babak yang sama, tetapi pada hala tuju masa yang berlainan. Sukar untuk admin gambarkan kepada anda, anda perlu menontonnya sendiri untuk memahaminya.
Mengenai watak-watak dan pelakonnya, admin mendapat satu perasaan di mana terdapat suatu yang tidak kena mengenai dua watak utama filem ini iaitu The Protagonist dan Niel. Seolah kedua-dua watak ini tidak berapa serasi. Admin pun tidak pasti kenapa. Fikir-fikir semula, admin berpendapat tiada seorang pun pelakonnya yang “outstanding” dalam filem ini, sebaliknya semuanya agak “average” .
Apa pun, secara keseluruhan filem Tenet ini sah sebagai sebuah lagi dilem karya agong Chris Nolan, tetapi jika dibandingkan dengan Inception, admin berpendapat Inception lebih menarik dan jalan cerita dan aksinya lebih menarik. Mungkin admin meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada filem ini dan apabila ia tidak mencapai tanggapan admin, filem ini tidak terasa tidak mencapati kepuasan maksima.
Positif vs Negatif
Positif
- Satu idea yang “fresh” dalam filem-filem sci-fi bertemakan pengembaraan masa
- Jalan cerita yang menarik dan membuatkan pelakon terlekat di tempat duduk
- Aksi-aksi yang mendebarkan
Negatif
- Watak-watak yang kurang menonjol
- 30 minit pertama agak perlahan dan mungkin mengelirukan
Kesimpulan
Kesimpulannya, filem Tenet adalah satu filem epik yang harus ditonton oleh semua. Ya, anda perlu memerah otak untuk memahami ceritanya, namun apabil anda telah memahami jalan ceritanya, anda akan terasa kepuasan menontonnya. Tontonlah bersama rakan-rakan anda yang merupakan peminat tegar filem Sci-fi. CUma admin tidak berasa ia cukup hebat untuk ditonton di IMAX selain jika anda mempunyai lebihan wang saku untuk menontonnya di IMAX.
Penilaian
Jalan cerita – 9/10
Lakonan/Rekaan watak-watak – 7/10
Nilai hiburan –8/10
CGI/Kesan Khas/Rekaan set – 10/10